Pages

February 22, 2014

Koleksi Resepi Daging Untuk Penghuni Neraka




(Erk.. Cik Meerkat, awak tak takut makan daging saudara sendiri ke?)

Daging Housemate Masak Lemak Cili Api




Bahan-Bahan



1. Housemate untuk bercerita - seorang (boleh juga dua atau tiga. Mengikut citarasa masing-
    masing.)   
2. Housemate yang diumpat - seorang (boleh juga dua atau tiga. Mengikut citarasa masing-
    masing.)


Cara-Cara



Mulakan dengan duduk di meja makan bersama housemate(s) bersama seteko milo panas. Kemudian tambah sepinggan biskut Marie untuk dicecah bersama-sama milo panas untuk menghangatkan lagi suasana memasak masak lemak cili api.

A: Weh, aku ni kan bukan nak apa lah. Aku takde niat nak burukkan housemate kite si C tu. Tapi aku rasa kau patut tau la siapa dia tu sebenarnya memandangkan kita ni duduk serumah kan.

B: Aku rasa C tu baik je. Tapi aku ni baru jugak kenal dia jadi perangai dia yang sebenar tu aku tak tahu lah.  Cuma setakat ni aku ok je dengan dia.

A: Ha. Tu la kau. Semua orang kau jangan rasa baik sangat. Ni aku nak cerita kat kau tapi kau janganlah cerita kat siapa-siapa pulak. Nanti mengumpat pulak.

B: Oh. Tak ada hal punya. Ceritalah-ceritalah aku nak tahu jugak. 

A: Ni bukan dari aku lah tapi kawan dia cerita kat aku masa lunch hari tu. Kau tahu tak yang C tu nampak je lembut. Sopan. Pijak semut pun tak mati. Tapi sebenarnya dia tu keras kepala tau. Semua benda nak kena ikut kata dia. Aku ulang balik. Semua benda. Dan dia akan buat apa-apalah asalkan hajat dia tu tercapai. 

Yang kawan dia cerita tu macam ni. Hari tu dia dua orang ni ada la berjanji nak pergi dinner sama-sama dekat Tando's. Ye lah. Sebab dah lama tak makan kat luar. So, kawan dia pun cakap la yang nanti dia akan pick up C kat rumah lepas maghrib. Tapi entah macam mana, sebab ada due date untuk assignment, kawan dia ni sibuk dekat library sampai terlupa pasal dinner tu. Dia tak datang walaupun dah almost pukul 8. C ni pun apa lagi. Call la tanya bila nak datang jemput dia kat rumah. Dia dah bersiap-siap dah. Dah lama tunggu. 

Kawan dia ni teringatlah pasal dinner tu. Dia minta maaf sangat-sangat sebab terlupa. Busy sangat. So    minta postpone hari lain. Tapi si C ni tak nak bertolak ansur. Nak pergi jugak Tando's tu. Kesian pulak aku kat kawan dia tu.

B: Amboi. Boleh tahan jugak perangai. Ingat lembut. Tapi keras jugak rupanya. 

Dah tu apa yang jadi? Kawan dia pergi tak?

A: Ha! Ni yang aku nak sambung ni. Kau jangan ingat sampai situ je. C tu buat lagi lebih dari tu tau.

B: Apa dia? Ceritalah. Ceritalah, Excited jugak nak tahu ni.

A: Sabarlah. Nak cerita lah ni. 

Lepas tu kau tau ape C buat bila kawan dia tak jadi pergi? Dia call mengadu kat kakak angkat dia cerita pasal semua tu. Kakak angkat dia ni pun satu hal. Ada ke dia pergi text kawan C tu tanya kenapa tak jadi nak pergi dinner. Kawan si C ni sebab kenal dan respect kakak angkat tu, last-last keluar jugak pergi Tando's walaupun assignment dia still tak siap. 

B: Ish. Ish. Ish. Buruknya perangai si C tu. Ada ke patut dia buat kawan dia macam tu. Kalau aku la, memang lama dah aku putus kawan.




Daging Kawan Se'office' Masak Halia




Bahan-bahan:



1. Teman untuk bergosip - seorang atau dua orang (anda boleh memilih sesiapa sahaja untuk dijadikan teman bercerita mengikut citarasa masing-masing.)
2. Kawan se'office' untuk diumpat.


Cara-cara:



Di pantri pejabat, sambil membuat semug kopi atau teh, cuba untuk berbual-bual dengan rakan sekerja. Mula dengan bertanya bagaimana dengan kerja. Kemudian perihal keluarga. Akhirnya selitkan cerita rakan sekerja yang lain.

Bedah: Joyah. Tadi you cakap you tak pernah bagi makanan tak berkhasiat untuk anak you kan. I pun memang tak bagi. Semuanya I akan make sure makan makanan yang sihat. makanan kantin sekolah pun I tak bagi anak-anak I beli. I akan suruh bibik I siapkan bekal yang lengkap nutrition untuk dia orang. 

Tapi kan, I dengar orang yang duduk sebelah meja you tu tak pandai sangat jaga anak tau. Teruk betul.

Joyah: Siapa pulak yang you cakap ni? Si Peah ke si Minah yang you maksudkan?

Bedah: Alah you ni. Mana boleh sebut nama. Nanti mengumpat pulak. Yang duduk sebelah kanan you tu la. 

Joyah: Ohhh. Yang tu ke. Now I tahu. Kenapa dengan dia? You cakap dia tak pandai jaga anak?

Bedah: Aah. You tau, hari tu dia cakap kat I yang anak dia jatuh tangga tau. I tanya lah tinggi ke tak. Dia cakap ada lah dalam 5 anak tangga. I macam terkejut giler. Anak jatuh dari tangga kot. Dah la tinggi pulak tu. Tapi yang paling I terkejut, muka dia selamba je cerita pasal anak dia jatuh. Tak ada la muka sedih ke, bimbang ke. I ni kalau anak jatuh sikit pun dah risau tapi dia boleh muka tenang je.

Lepas tu I tanya la dia ada bawa anak dia ke hospital tak. Dia cakap dia tak bawa. 

Boleh you bayangkan? Dia tak bawa anak ke hospital. Dah la anak dia demam lepas jatuh tu. Dia cakap demam sebab terkejut kot. Dia cakap macam tu je. Macam anak dia tu tak ada apa-apa. 

Joyah: Ishh. Teruknya kalau macam tu. Anak dia tu bukan ke baru umur setahun? Kecil lagi kot anak dia. Buatnya jadi apa-apa. 

Ke, dia tak ada duit nak hantar pergi klinik?

Bedah: A'ah. Anak dia tu baru setahun. Baru pandai bertatih. Dah dia tahu anak baru pandai bertatih, pagarlah tangga tu supaya anak tak panjat. Ni tidak. Dia ni memang tak sayang anak lah I rasa. 

Dan takkan lah dia tak ada duit. Dia dengan husband kan kerja. Anak pun baru seorang. Tak ada duit apanya? Kalau tak ada duit pun, pinjamlah dari parents ke. Anak dah sakit sampai demam macam tu boleh biarkan je. Kalau I memang tak sanggup la tengok anak I sakit macam tu sebab I memang sayang anak-anak I. 

Joyah: Betul lah kata you tu. Dia tak sayang anak kot. I pun takkan buat anak I macam tu.




Daging Pemimpin Panggang Bermadu




Bahan-Bahan:


1. Sekumpulan teman untuk berbincang. (Lagi ramai lagi sedap. Tapi dicadangkan agar tidak lebih daripada 4 orang.)

2. Pemimpin. (Boleh dari pihak pembangkang atau kerajaan atau ahli keluarga mereka.)


Cara-cara:



Pergi ke warung kopi yang berdekatan. Duduk di meja yang kelihatan beberapa orang kawan-kawan anda sedang rancak berdebat. Pesan secawan kopi kaw. Kemudian dengar perbincangan mereka dan mencelah pada masa yang sesuai.

Labu: Pemimpin A tu memang suka memecah-belahkan kaum. Statement dia memang berunsur perkauman. Saja nak cari pasal. Aku memang dari dulu tak berkenan dengan dia tu. Tapi orang undi jugak dia. Tak paham aku.

Labi: Aku tak berapa suka jugak dia tu. Tapi aku lagi tak suka bini dia. Apa bini dia ingat duit rakyat ni harta dia punya. Sesuka hati buat beli segala kehendak hati dia. Beli kereta tu lah. Tak lama lepas tu beli kereta lain pulak. Tu duit rakyat lah. Cukai yang rakyat bayar lepas penat bekerja. Lepas suka hati mak bapak dia pulak nak perhabis. Kalau dia bini aku, dah lama aku cerai talak tiga. 

Lubu: Aku setuju dengan Labi. Tapi aku lagi tak suka kaum kerabat dia. Semua projek pun dapat dekat kerabat dan kroni dia. Habis rakyat lain nak dapat projek apa nya kalau semua dah disapu keluarga dia. Tapi walau apa pun bini dia paling aku tak tahan. Dah la tu. Ingat cantik sangat. Muka macam gorila tapi perasan cantik. Panas aku. Panas.

Labu: Tu lah. Weh. Kau tak baca dekat internet yang pemimpin A tu ada skandal dengan seorang artis ni. Dah kalau bini pun macam tu, padan la makan kat luar. Artis tu memang bergetah la. Seksi pulak tu. Tapi dengar cerita artis tu sebenarnya nak duit je. Ye lah. Kalau setakat gaji berlakon, takkan lah dia mampu duduk rumah baru dia tu. Besar gedabak kot. Umur baru 20-an. Berlakon pun baru setahun jagung. Tapi kaya-raya. Ada lah tu buaya darat tanggung. 



*****


Dialog-dialog di atas adalah rekaan semata-mata dan tiada yang terlibat dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Tetapi perbualan dan perbincangan sebegini pasti tidak asing bagi sesetengah orang. Malangnya perbualan biasa ini atau juga biasa dikenali sebagai gosip, perbualan kedai kopi dan seumpamanya, sebenarnya adalah ghibah atau dalam Bahasa Melayunya mengumpat atau bahasa kiasannya menganyam ketupat.



Apa itu mengumpat?  Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Dalam hadith Rasullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud, 



"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"
(Hadis Riwayat Muslim)



Jadi ini bermakna segala apa yang orang yang diceritakan itu benci ianya akan dipanggil mengumpat walaupun bagi kita kadang-kadang perkara yang diceritakan dirasakan remeh. Tidak kisah apa topik sekalipun tetapi jika perkara itu akan dibenci maka ianya adalah umpatan. Senang cerita, cuba kita letakkan diri kita dalam diri orang yang sedang kita bercerita. Adakah kita akan suka jika orang bercakap sedemikian mengenai kita kepada orang lain? Jika ya, berhentilah. Kerana anda sedang memasak daging kawan anda sendiri untuk dimakan di akhirat. Nauzubillah. 





Mengumpat dianggap kecil bila digantikan dengan nama glamournya, gossip. Kita akan rasa kurang bersalah apabila bergossip sedangkan bergosip itu sama ertinya dengan mengumpat. Dan berjaga-jaga. Mengumpat tidak terkecuali jika nama orang yang diumpat itu tidak disebut. Asalkan  orang yang mendengarnya mengetahui siapa yang sedang diceritakan, maka ertinya itu adalah mengumpat.

Kadang-kadang saya rasa hairan betapa ramai yang merasa kecilnya dosa ghibah ini. Sedangkan dosanya lebih besar daripada zina kerana hanya orang yang diumpat sahaja dapat mengampunkan kita. Jika dosa zina atau dosa lain kita boleh memohon keampunan Allah, mengumpat lagi sukar kerana kita perlu memohon dari orang yang diumpat. Dan jika tidak, makanlah kita daging saudara-saudara kita di akhirat kelak. Dan tidak dilupakan, orang yang mendengar juga mendapat dosa yang sama seperti orang yang bercerita. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

 "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat." 

(Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)



Lebih menggerunkan di zaman moden ini adalah medium penyebaran gosip ini sungguh mudah. Hanya dengan satu klik di hujung jari, segala fitnah, umpatan, gosip begitu mudah tersebar. Malah untuk mendapatkan segala gosip terbaru juga begitu mudah kini. Maka saham dosa juga akan cepat meningkat dan saham pahala akan merudum dengan mendadaknya. Jangan terkejut di akhirat kelak jika banyak amalan yang kita rasa kita lakukan tiba-tiba kering dan hilang.


(Photo speaks louder than words)


Konklusinya, jauhilah ghibah ini. Tidak perlulah kita nak perah otak dan buang karan untuk menjustifikasikan perbuatan ini kerana perbuatan ini amat terkutuk. Berdzikirlah di masa senggang daripada mencari cerita untuk berceloteh dengan rakan. Jika ingin berbicara, berbicaralah perkara-perkara yang bermanfaat untuk diri dan ummah. Jika tidak, berdiam diri dan cari aktiviti yang berfaedah. Dan bilamana ada yang mula bercerita perihal keburukan orang lain, minta izin untuk berundur diri dan menjauhkan diri daripada terlibat sama mendapat resepi daging saudara anda untuk akhirat kelak. Tetapi jika mampu, nasihatilah mereka kerana itu adalah yang lebih baik.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...