Pages

February 28, 2014

I Lap You Ukhti Kerana Allah




Pernahkah anda mengalami situasi atau insiden yang membuatkan anda sangat gembira sampai mekar berbunga-bunga hati anda? Sampai rasa nak meloncat-loncat seperti kanak-kanak riang yang baru disuakan lolipop? Sampai rasa nak berguling-guling seperti kucing debab anda biasa lakukan? Erk. Melebih-lebih pula. Tapi poin pentingnya adalah setiap orang akan pernah mengalami perkara mengembirakan yang sukar dilupakan sepanjang hidup mereka. Walaupun sekali cuma. Sehinggalah mereka tua dan mula menghidap penyakit Alzheimer. Hahaha.

Ada sesetengah gembira apabila menerima hadiah daripada kakak usrahnya. Ada yang gembira pergi ke famili gathering (baca: usrah) berjumpa dengan akhawat-akhawat comel. Ada yang gembira apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun atau semester. Ada yang gembira sepupu merangkap sahabat-karib-sejak-umur-tiga-tahun sudah ingin mendirikan rumah tangga. Dan sudah tentunya paling ramai akan berbunga-bunga hatinya apabila ada kumbang datang ingin menyunting dirinya. 

Ewah-ewah. Hamboi Awak. Awak tak lama lagi nak jamu orang makan nasi minyak ke?

Erk. Lari menyorok bawah selimut.

Okay. Itu agak kontroversi. Maaf. Ini bukanlah jemputan tidak rasmi ke kenduri kahwen saya, dan bukan juga post berani mati saya mengaku diri sudah berpunya atau bahasa mat sallehnya 'unavailable'  atau yang seangkatan dengannya. Tetapi memandangkan usia kini sudah agak meningkat dan semakin ramai di antara rakan sebaya yang sudah berkahwen dan  mempunyai anak, tangan ini terasa gatal pula ingin menaip pasal kahwen. Huhu.

Okay. Kembali ke alam realiti. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, setiap orang pasti akan ada perkara atau insiden berlaku yang membuatkan mereka tersenyum lebar sampai ke telinga dan tersengih-sengih macam kerang busuk. Bagi saya sendiri, perkara yang paling membahagiakan yang membuatkan saya tersenyum memanjang adalah apabila berjumpa dengan saudara-saudara seagama dan kemudian berbual-bual dengan mereka. Agak janggal bunyinya bukan? Anda pasti terfikir, apa Awak ini duduk dalam hutan ke sampai excited bebenor bila terjumpa muslim lain.

Bukan macam tu, okay? Tetapi memandangkan di tempat saya menuntut ilmu sekarang teramatlah sedikit populasi muslimnya jika dibandingkan Malaysia di mana di setiap ceruk tempat anda pasti akan bertembung mata, berselisih bahu, dan berurusan dengan muslim. Maka setiap kali saya bertembung dengan wanita yang bertudung (sisters lagi senang dikenali berbanding brothers) ianya tidak pernah gagal membuatkan saya berasa sangat gembira. Gembira kerana ia membuatkan saya berasa saya tidak bersendirian dalam kalangan manusia berkulit putih dan berambut perang ini. Gembira kerana bukanlah hanya saya seorang sahaja makhluk aneh yang bertutup-litup di bawah terik mentari musim panas di bumi koala ini. Gembira kerana terasa seolah-olah saya bertemu kembali dengan 'long-lost sisters' yang sebelum ini tidak pernah ditemui. Ya. Suatu perasaan yang sangat sukar untuk dirungkaikan dengan tulisan dan juga sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Hanya dapat diselami dan dirasai apabila diri sendiri mengalami perasaan itu.

Perasaan ini akan sering dirasai apabila anda berada di negara bukan islam atau di tempat bilangan muslimnya sangat sedikit. Tidak kiralah anda berada di sana untuk jangka masa panjang atau pendek.Seperti saya yang akan menetap lama di negara koala ini, kehadiran atau pertembungan dengan seorang muslim  akan sangat dihargai. Ini kerana, akhirnya saya dapat berjumpa dengan seseorang yang mempunyai satu persamaan setelah lama dikelilingi oleh manusia yang sangat berlainan dengan saya. Berlainan warna kulit, warna rambut, pemakaian, bahasa dan juga agama. Dan persamaan itu adalah persamaan aqidah.

Muslim akan berkongsi satu persamaan ini walaupun mereka datang dari latar belakang yang berbeza. Berbeza kewarganegaraan, berbeza bangsa, berbeza warna kulit dan juga berbeza bahasa. Akan tetapi hanya dengan persamaan tali aqidah segala perbezaaan lain dilupakan. Muslim adalah satu. Muslim adalah bersaudara. Saudara seaqidah. Itulah hebatnya tentang islam. Setiap muslim adalah bersaudara kerana kita menyembah hanya pada Yang Maha Esa. Terasa satu persamaan yang cukup agung sehingga menghilangkan segala perbezaan lain. Seperti dalam hadith Nabi Muhammad S.A.W,


“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” 

(Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Itulah perasaan yang selalu saya rasai setiap kali bertembung dengan muslim lain tidak kiralah di dalam bas, di dalam tren mahupun di tepi jalan. Rasa teruja bertemu dengan saudara sendiri. Lebih-lebih lagi kami mempunyai cara-yang-bukanlah-rahsia-sangat untuk berkomunikasi setiap kali bertembung. Tiada bahasa atau kod rahsia. Cukup mudah.

Begini caranya. Jika dari kejauhan kelihatan seorang muslimah berjalan menuju ke arah bertentangan, saya akan memerhati tepat ke arah muslimah tersebut sehingga mata kami bertembung. Kemudian senyuman diukir dan seterusnya salam diberi. Cukup ringkas tetapi membawa seribu makna. Tambahan pula saham pahala untuk akhirat juga akan meningkat. Pahala senyum. Pahala memberi salam. Sangat bes bukan?

Benarlah jika segala-galanya berpaksikan Allah, semuanya akan cukup indah walaupun perkara itu kelihatan begitu kecil pada mata manusia lain.

Sepanjang berada di bumi koala ini, antara tempat lepak favourite bagi saya adalah musalla di hospital. Ataupun jika tiada musalla, kebiasaannya sesetengah hospital di sini akan menyediakan prayer room atau silent room di mana semua agama boleh menggunakannya untuk beribadah. Unik bukan tempat lepak saya?

Lepak dekat musalla? Awak ni  tak ada aktiviti berfaedah lain ke boleh dilakukan selain lepak? Jahiliyah, jahiliyah.

Erk..

Izinkan saya untuk menjelaskannya dengan lebih lanjut. Memasuki clinical years mewajibkan para pelajarnya untuk ke hospital membuat rotation dan men'shadowing doctors'. Basically mengikut ke mana sahaja doktor pergi dan melihat bagaimana doktor merawat pesakit dan cuba belajar dengan pemerhatian. Jadi setiap lapan minggu kami akan bertukar disiplin mengikut doktor yang berbeza (contoh disiplin: surgery, general medicine, O&G, etc) dan juga bertukar hospital. Ditambah pula dengan pembelajaran sendiri.

Rotation kami boleh bermula seawal jam 7.30 dan boleh berakhir pada jam 5.00 petang. Maka, sudah pastinya solat zohor dan kadang-kadang solat asar perlu dilaksanakan di hospital. Ketika inilah peranan musalla sangat penting bagi memastikan tanggungjawab sebagai seorang hamba dapat dilaksanakan dengan taatnya. Tetapi bukanlah bermaksud jika tiada musalla saya tidak bersolat. Cuma lebih selesa solat di tempat yang dikhaskan berbanding mencari tempat-tempat tersorok seperti di bawah tangga atau di celah koridor. Cukup sekadar itu. Mungkin dalam penulisan lain pula akan dikongsikan pengalaman solat di pelbagai tempat yang mungkin jarang dilakukan jika berada di Malaysia.

Baiklah. Sebelum itu, cuba teka mengapa agaknya musalla adalah tempat yang sangat bes untuk lepak? Cepat teka. Saya bagi masa 10.18 saat. Siapa dapat teka saya akan bagi......







Ada sesiapa dapat teka? Kalau ya, sila dapatkan hadiah anda di bawah.


Erk.. Si Debab ni dah kebas dulu hadiah lolipop anda. 

Sila bersabar dan kawal tahap kemarahan anda. Kalau marah nanti syaitan suka. Hehehe.

Baiklah. Antara sebab mengapa saya suka ke musalla hospital adalah kerana di sanalah saya akan berjumpa dengan muslimah lain. Saya kan sangat cepat excited jika dapat berjumpa saudara seagama yang lain. Maka musalla adalah tempat yang terbaik untuk menemui mereka. Mereka terdiri daripada pekerja hospital, saudara atau sahabat yang datang untuk melawat dan tidak ketinggalan juga ahli keluarga yang menjaga dan menemani pesakit. Mereka akan berada di segenap ceruk hospital dan sangat jarang dapat bertembung dengan mereka melainkan di musalla ketika waktu solat.  

Setiap kali berjumpa seperti biasa salam akan diberi. Jika masing-masing tidak sibuk, perbualan seterusnya akan bersambung. Hanya perbualan biasa, sekadar berbasa-basi.

"How are you sister?"

"Have you had your lunch yet?"

"How's your day sister?"

Kebiasaanya pekerja hospital yang akan mudah perasan jika anda adalah orang baru di hospital tersebut dan mereka begitu baik akan menerangkan arah kiblat, tempat wudhuk jika ada dan kadang-kadang lebih daripada itu. Saya sendiri pernah mengalaminya. Saya baru memulakan rotation dan masih tidak begitu biasa dengan susun atur bangunan hospital. Tiba waktu zohor saya mencari tempat untuk solat tetapi hospital yang  dihadiri tidak mempunyai musalla. Hanya sebuah silent room disediakan. Was-was juga pada mulanya kerana tiada seorang muslim pun di dalam silent room tersebut. Ditambah pula dengan lambang salib besar tergantung teguh di hadapan bilik. Bimbang juga jika ada yang marah melihat muslim solat di situ.

Kemudian datang seorang sister yang dengan baiknya menjelaskan peranan silent room tersebut sebagai tempat ibadah untuk semua agama. Malahan sebuah sudut dikhaskan untuk muslim bersolat dilengkapi dengan sejadah dan arah kiblat. Sisters tadi juga menjukkan tempat letaknya quran dan telekung sembahyang jika perlu. Seusai solat kami mula berbual-bual. Berkenalan antara satu sama lain.

Bermula dari sinilah saya menambah kenalan di setiap hospital yang dikunjungi dan setiap kali bertukar hospital selang lapan minggu, bilangan kenalan juga semakin bertambah. Kenalan dari serata dunia. Indonesia, Singapura, Somalia, Lubnan dan juga Pakistan. Perkenalan dan persahabatan yang tidak pernah saya bayangkan kerana perkenalan kami tidak mempunyai sebab melainkan hanya kerana Allah.

Setiap kali berjumpa, kami tidak pernah gagal bertanya khabar dan mereka akan bertanya jika ada apa-apa yang berlaku bilamana lama tidak kelihatan di musalla.

"I haven't see you for quite some time sister? How have you been doing?"

"How's your study sister? Everything is fine?"

Dengan sebab inilah, saya sangat suka untuk lepak di musalla kerana selain dapat beribadah kepadaNya, saya juga mengenali saudara-saudara seislam yang lain. Seperti firmanNya,




Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.
 (Surah al-Hujurat: 13)

Dalam ramai-ramai kenalan di musalla, ada seorang sister yang saya sangat sayang kerana Allah. Perasaan itu cukup mendalam dan perasaan itu sesungguhnya kurnian daripadaNya. Sehingga kini walaupun kami berpisah jasad beribu batu bila dia pulang ke tanah airnya, Indonesia tetapi saya yakin hati kami masih bertaut keranaNya.

Saya mula mengenali sister S ketika solat zohor di musalla. Mulanya kami tersenyum dan memberi salam. Hari keduanya kami mula berbual mengenali diri masing-masing dan ketika itulah saya mengetahui bahawa sister S berada di hospital untuk menjaga suaminya yang sakit. Sudah dua bulan dia berulang-alik dari rumah ke hospital dengan menaiki bas untuk menjaga suami. Suaminya mengalami ruptured AAA (abdominal aortic aneurysm) satu penyakit yang menyebabkan satu salur darah besar di perut pecah yang mana boleh membawa maut. Suaminya bernasib baik kerana terselamat tetapi doktor tidak memberi harapan yang tinggi. Prognosisnya tidak begitu baik. Tetapi sister S dan suaminya berikhtiar sedaya mampu.

Maka setiap kali berjumpa di surau saya akan bertanyakan khabar sister S dan ketika inilah sister S akan bercerita dan meluahkan perasaannya. Bukan mudah menjaga suami yang sakit ditambah pula dia bersendirian di sini selain keluarga mertua yang tidak dapat menerimanya. Suaminya merupakan warganegara Australia dan memeluk islam sebelum berkahwin dengannya. Tetapi keluarga mertua tidak dapat menerima dirinya dan menyalahkannya di atas keislaman suaminya.

Apa yang mengagumkan saya mengenai sister seorang ini adalah ketenangan yang ditunjukkannya. Walaupun kepenatan jelas terpancar pada raut wajahnya kerana menjaga suami dan juga melayan kerenah mertua, sister S akan tetap tenang dan tersenyum setiap kali kami berjumpa. Tiada riak kesedihan atau ketidakpuasan hati. Katanya semuanya sudah di tentukan Allah. Dia menerima segala ketentuanNya dan dia akan berusaha sedaya yang mampu untuk menjalankan tanggungjwabnya sebagai isteri menjaga suaminya selagi maut tidak memisahkan mereka. Begitu kuat dan tabahnya sister S. Daripadanya saya banyak belajar mengenai hidup yang tidak mungkin saya pelajari di kelas atau dari buku-buku medikal yang tebal-tebal. Pelajaran yang dapat dikutip hanya dari pengalaman hidup.

Dua bulan selepas perkenalan kami, saya menerima SMS daripada sister S. Doktor sudah membuat keputusan untuk meletakkan suaminya di palliative care kerana sudah tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan melainkan mengurangkan kesakitan suaminya sebelum ajal datang menjemput. Sister S sedih tetapi dalam kesedihan saya dapat merasakan semangatnya yang kuat untuk menghadapi kehilangan suaminya. Katanya, biarlah suaminya pergi dengan tenang dan selepas itu dia dapat pulang ke tanah airnya dan pergi jauh dari keluarga mentua yang selalu mendera emosinya. Saya kagum. Terus-terusan sister S ditimpa musibah tetapi berterus-terusan juga dia menghadapinya dengan hati yang terbuka.

Seminggu berada di palliative wad, suaminya dijemput kembali ke rahmatullah. Saya pergi ke masjid untuk melawat dan menemani sister S sepanjang pengkuburan berlangsung. Ketika majlis pengkebumian suaminya, sister S juga diuji lagi apabila keluarga mentua mendesak agar suaminya dikuburkan di tanah perkuburan untuk semua agama. Setelah berdebat hebat akhirnya sister S akur dengan permintaan mereka. Tetapi kuasa Allah itu Maha Besar. Ditakdirkan tanah perkuburan tersebut ditutup pada hari Ahad. Ajaib bukan? Semuanya di tangan Allah. Maka hendak tidak hendak almarhum dikebumikan di tanah perkuburan islam. Sebegitu besar sekali ujian yang dilalui sister S. Namun begitu, dirinya begitu kuat menghadapi segala dugaan kerana sumber kekuatan dan kebergantungannya tidak lain hanya pada Yang Esa.





Wahai ukhtiku sayang,
Daripadamu aku banyak belajar mengenai hidup,
Daripadamu aku mengenal erti kecekalan dan ketabahan,
Daripadamu aku merasai kemanisan ukhuwwah.

Wahai ukhtiku sayang,
Semoga engkau cekal meneruskan segala liku kehidupan,
Akan ku doakan dirimu sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah,
Sesungguhnya hanya kerana Allah aku sangat menyayangimu.

Dengan izin Allah, kita akan bertemu lagi di syurgaNya nanti.




P.S : Agak sukar dan agak lama masa diambil untuk menulis post ini kerana ianya mengingatkan saya kembali kepada sister S.  

P.S.S : Berharap sangat dapat berjumpa dengan sisters lain di luar sana. Jika tidak di bumiNya mungkin di syurgaNya nanti, insyaAllah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...