Pages

March 6, 2014

Code Blue Ummah






Ketika kaki sedang melangkah menyusuri koridor wad hospital mengikuti doktor membuat 'ward round', tiba-tiba bunyi siren yang kuat memenuhi segenap ruang wad. Bingit. Seakan-akan ada sebuah ambulans diparkir di dalam wad tersebut. 

Kaki saya serta rakan sekumpulan terhenti. Kami terpaku seketika. Mengamati suasana sekeliling dan cuba memahami situasi yang berlaku. Suasana bertambah hingar dengan suara-suara doktor dan nurse yang mula bergerak memasuki salah satu bilik di wad tersebut. 

"MET call." Ujar rakan saya pendek.

Saya terdiam. Berfikir sejenak. Itu kali pertama saya melihat sendiri 'MET call' atau singkatan kepada 'Medical Emergency Team call'. Juga lebih dikenali dengan 'Code Blue'. Rasanya jika disebut sahaja 'Code Blue' sudah pasti ramai dapat membayangkan babak-babak dalam drama-drama berlatarbelakangkan hospital seperti Grey's Anatomy atau House bukan? Terbayang doktor berlari-lari terkedek-kedek bersama dengan nurse sambil menolak 'resus troli' ke arah pesakit. Kemudian doktor melutut di atas katil pesakit untuk melakukan CPR sambil memerhatikan mesin ECG yang kebiasaannya bergaris lurus menandakan tiada denyutan jantung. Adegan tipikal dalam drama walaupun sebenarnya CPR yang ditunjukkan bukanlah teknik yang betul. Boleh menjerit sambil terkeluar sumpah-seranah agaknya jika teknik CPR yang betul dilakukan pada orang yang 'conscious'. Hehe. 

Sebelum itu pun, saya belum pernah terlibat atau menyaksikan sendiri suasana 'Code Blue'. Hanya pernah mendengar dan menjalani kursus ringkas sahaja. Itulah kali pertama bagi saya menyaksikannya. Kami pelajar perubatan tidak terlibat. Hanya terpacak di luar wad menjadi penonton. Hanya mampu memerhati dari jauh ketika doktor bertungkus-lumus cuba menyelamatkan pesakit. Walau hanya pemerhati disebalik tabir, sistem 'Code Blue' ini membuatkan saya kagum. Kagum dengan kecekapan dan sikap efision para petugas perubatan.

Bagaimana ‘Code Blue’ bermula? Sesiapa peminat tegar drama berunsur hospital atau pelajar perubatan atau petugas-petugas di hospital pasti mengetahuinya bukan? Kalau yang belum tahu, mai dekat sikit. Cek nak cerita kat hangpa ni.

Pertama, apabila pesakit memenuhi kriteria bagi ‘MET call’ atau pesakit ‘crash’ (tiada denyutan nadi) sesiapa yang berada berdekatan dengan akan menekan butang merah yang terletak di kepala katil pesakit. Ketika ini, bingit siren akan kedengaran memenuhi setiap ceruk wad dan lampu merah akan berkelip-kelip di hadapan bilik pesakit. Semua doktor yang mendengar bergegas ke arah tempat kejadian, meninggalkan kerja masing-masing. Yang menghadap komputer melihat x-ray pesakit, mula bergerak mengangkat punggung masing-masing. Yang sedang menulis nota pesakit, mencampakkan nota ke tepi dan mula bergegas. Yang sedang berjumpa pesakit, terus meninggalkan pesakit mereka dan menuju ke arah ‘MET call’ untuk memberi pertolongan. Tidak kisah pesakit tersebut di bawah jagaan doktor mana. Yang penting asalkan anda bergelar seorang doktor, anda wajib berada di sana untuk memberi bantuan. Pemandanganya ibarat sekumpulan semut berkumpul menghurung sebutir gula. Seriously ianya sangat cool. Apabila sudah cukup kakitangan yang memberi rawatan, doktor-doktor tadi mula bergerak menyambung kembali kerja yang ditinggalkan.

MET Call Criteria


Melihat suasana ini, saya terbayangkan beginilah keadaan umat islam jika berada di bawah sistem khilafah.

Erm... Apa kaitan dia? Macam pelik je. Macam janggal je.

Ohoi. Ni ada yang nak makan kasut ni. Tak payah nak macam macam sangat, okei?

Baiklah. Kembali ke bumi nyata. Kenapa saya katakan ‘MET call’ sama dengan sistem khilafah. Tetapi sebelum itu, satu soalan; anda tahu atau tidak apa itu khalifah?

Ini bukan Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia yang megah tertegak di Dubai. Bukan juga band Khalifah yang mendendangkan lagu ‘Cinta dan Sayang’? (Terjumpa band ini ketika menyelongkar Pak Cik Google). Bukan dan bukan.

Khalifah yang dimaksudkan adalah sistem khalifah yang memimpin umat islam selepas kewafatan Rasulullah S.A.W sehinggalah dihapuskan 90 tahun lepas oleh penyangak besar umat islam, Mustafa Kamal Atarturk.

Baiklah, mari kita uji sedikit memori anda tentang sejarah. Setakat manakah igauan ngeri menghafal segala fakta sejarah masih menghantui diri anda. Masihkah anda ingat fakta sejarah Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 yang anda khatam dan hadam sebelum menghadapi SPM? Masihkah anda ingat lagi isi-isi buku teks Sejarah yang selalu menjadi 'bedtime story' anda sebelum tidur? 

Erk... Semuanya dah diisi ke dalam botol dan kemudian dicampak ke dalam sungai lepas SPM. Huhu.

Wahai. Alangkah ruginya. Sepatutnya ilmu itu dikembangluaskan untuk lebih memahami sejarah kita, sejarah umat islam. 

Jika begitu izinkan saya menghuraikan kurang lebih sejarah islam mengikut ilmu saya yang sedikit cuma.

Sistem khalifah bermula dengan pimpinan Khulafa’ Ar-Rasyidin berempat, bermula dengan Saidina Abu Bakar kemudiannya Saidina Umar Al-Khattab kemudiannya Saidina Uthman bin ‘Affan dan diakhiri dengan Saidina Ali bin Abi Thalib. Ia seterusnya diterajui di bawah tampuk pemerintahan Bani Umayyah. Dimulai dibawah pimpinan Muawiyah bin Abi Sufyan dan diakhiri oleh Marwan bin Muhammad.   

Ketika zaman Bani Umayyah banyak kejayaan yang dicapai. Antara yang terhebat adalah penaklukan Sepanyol oleh Tariq bin Ziyad. Nak tahu apa yang paling mengenai kisah penaklukan ini?

Sebaik sahaja kapal mereka mendarat di Andalusia, Tariq memerintahkan agar kapal yang dinaiki mereka dibakar. Semua tentera kehairanan dengan perintah Tariq yang dirasakan tidak masuk dek akal. Yalah. Bagaimana cara mereka akan pulang ke tanah air? Yang pasti bukan merentas lautan dengan bertenggek di atas belakang ikan paus biru. 

Nak tahu apa jawapan Tariq?

Dengan penuh keyakinan dia berkata, “Kita datang ke sini bukan untuk kembali. Di hadapan kita Cuma tinggal dua pilihan, menakluk negeri ini dan menetap di sini, atau kita semua syahid ... Setiap negeri kepunyaan Allah adalah kampung halaman kita.”

Jawapan yang sumpah epik. Kata-kata inilah yang menaikkan semangat para pejuang islam untuk merebut syahid menuju Pencipta mereka sehingga akhirnya mereka berjaya menakluk Sepanyol.

Sepanjang pemerintahan Bani Umayyah banyak negara dapat ditawan dan tidak kurang juga yang dengan rela diri menyerah kepada pemerintahan islam yang dilihat begitu adil dan saksama. Islam mula berkembang pantas lantaran obsesi umatnya pada dakwah dan jihad. Seolah-olah itu adalah kehidupan mereka. Namun begitu, mereka mula mengalami kemerosotan apabila mereka mula lalai dan leka dengan harta kekayaan dan mula meninggalkan jihad. Ketika ini, Allah menguatkannya kembali umat ini dengan Umar bin Abdul Aziz. 

Khalifah Umar kembali menerapkan ajaran Rasulullah S.A.W dan cuba menghapuskan segala penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. Walaubagaimanapun keadaan ini tidak berkekalan selepas era Khalifah Umar Abdul Aziz. Kemelut politik yang tercetus sejak berakhirnya zaman Khulafaa’ Ar-Rasyidin tidak kunjung padam menimbulkan kekacauan dalam negara. Ditambah dengan sisa-sisa Syiah dan rancangan kotor mereka memporak-perandakan umat islam menambahkan duri dalam daging.

Selepas kejatuhan Bani Umayyah, Bani Abbasiyah memegang tampuk kekhalifahan dengan menyatukan kembali dunia Islam dan menyusun semula kepimpinan. Ketika ini umat islam berada di zaman kemuncaknya, di tangga ustaziyatul alam. Kaum muslimin ketika ini dipandang tinggi dan menjadi ikutan and trend kepada bangsa lain. Menjadi penguasa dan mahaguru kepada dunia. Para ilmuwannya lahir dalam pelbagai bidang dan perpustakaan-perpustakaannya di penuhi buku-buku menjadikannya sebuah gedung ilmu yang besar.

Dakwah berjaya disebarkan ke seluruh pelusuk dunia, merubah peradaban dunia. Malah dakwah berkembang melalui apa saja yang perkara yang dilakukan, baik cara hidup, pamakaian, undang-undang, muamalah, dan sebagainya. Boleh dikatakan pada ketika ini umat islam seolah-olah berada di kemuncak kecemerlangan peradaban!

Malangnya panas tidak berpanjangan dan hujan turun di tengah hari. Musuh-musuh islam mulai panas punggung memerhatikan kehebatan dan keunggulan islam yang semakin berkembang saban hari. Ditambah dengan penaklukan tempat-tempat strategik yang suatu masa dikuasai oleh orang kristian menimbulkan dendam kesumat dalam jiwa mereka. Dendam yang membarah kemudian mencetuskan perang salib. Setelah berlanjutan beberapa siri perang salib, akhirnya Al-Quds tidak dapat dipertahankan dan jatuh kepada tentera kuffar. Ia menyaksikan peristiwa berdarah di mana 70, 000 kaum muslim dibunuh di dalam masjid Al-Aqsa. Diibaratkan darah yang mengalir seperti sungai di jalan-jalan yang ditutupi mayat.

Setelah lama di dalam cengkaman musuh Allah, akhirnya muncul seorang pejuang yang akan membela nasib umat yang sedang diuji kerana kelalaian mereka dalam berjihad. Salahuddin Ayyubi memahami dan bersedia menggalas tanggungjawab membebaskan tanah umat islam yang dirampas walaupun ketika itu beliau sakit. Dalam keadaan sakit, Salahuddin Ayyubi menggagahkan dirinya memacu kuda menyahut seruan jihad fisabilillah untuk membebaskan kota suci ketiga umat islam dan diakhiri dengan kejayaan merampasnya kembali.

Sunnatullah kembali berulang apabila kaum muslimin sekali lagi meninggalkan dakwah dan jihad yang menyaksikan kejatuhan sebuah ketamadunan islam. Khalifah Bani Abbasiyah berakhir apabila diserang oleh tentera Mongol yang barbarik lagi tidak bertamadun.

Kejatuhan Bani Abbasiyah memberi impak besar kepada umat islam keseluruhannya. Walaubagaimanapun, muncul seorang tokoh dari kalangan bangsa Turki yang menyatukan kembali umat islam dan seterusnya bermulalah zaman Bani Uthamaniah. Zaman ini ada turun dan naiknya sehinggalah Sultan Muhammad Al-Fateh merealisasikan hadith Rasulullah S.A.W dan menawan kota Konstantinople. Kisah penaklukan Konstantinople bagi saya merupakan epik yang menggabungkan kepintaran pemimpin, semangat jihad yang tinggi dan juga pertolongan Allah Yang Esa. Kisahnya begitu panjang untuk dinukilkan di sini jadi bagi sesiapa yang berminat boleh membaca dan menghayati sendiri kisahnya.

Beberapa generasi selepas Sultan Muhammad Al-Fateh, sekali lagi kaum muslimin dilanda badai apabila penyakit wahan(penyakit cintakan dunia) kembali menular bagaikan virus yang membiak pantas dalam jiwa umat islam. Muslimin mula semakin lalai, semakin hilang taringnya. Jihad dan dakwah ditinggalkan dan mereka bertelagah antara satu sama lain. Sedikit demi sedikit musuh islam mula merobek tanah-tanah umat islam dalam pelbagai siri peperangan.

Khalifah terakhir, Sultan Abdul Hamid mewarisi tampuk kepimpinan negara daripada abangnya. Sultan Abdul Hamid cuba untuk memulihkan keadaan tetapi keadaan sudah terlalu tenat. Pelbagai agenda jahat dirancang yahudi untuk merampas Palestine tetapi Sultan Abdul Hamid berkeras untuk mempertahankannya. Sultan Abdul Hamid pernah ditawarkan sejumlah wang yang besar agar melepaskan Palestine tetapi inilah jawapannya,

“Aku tidak akan melepaskan walaupun segenggam tanah ini kerana ianya bukan milikku, ianya hak ummat Islam. Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi boleh simpan wang dan harta mereka. Jika Daulah Islamiah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Tetapi sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusuk pedang ke tubuhku daripada melihat tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan daripada Daulah Islamiah. Ianya adalah sesuatu yang tidak akan berlaku, aku tidak akan memulakan pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup.”


Ketegasan Sultan Abdul Hamid dalam mempertahankan islam membuatkannya dibenci oleh Yahudi dan musuh-musuh islam. Selagi Sultan Abdul Hamid memerintah, maka sukarlah untuk mereka menghancurkan pemerintahan khalifah. Dan selagi itulah ianya menjadi benteng pertahanan umat islam. Pelbagai usaha dan  cara kotor cuba dilakukan untuk menggulingkan sistem khalifah dan akhirnya dengan tekanan yang diberikan oleh golongan Turki Muda yang dipimpin oleh Mustafa Kamal, maka Sultan Abdul Hamid dilucutkan jawatannya pada 27 April 1909.

Dengan ketiadaan Sultan Abdul Hamid, usaha menghapuskan pemerintahan khalifah bertambah mudah. Akhirnya pada tanggal 3 Mac 1924 pemerintahan khalifah dihapuskan. Dunia islam dirobek, dilapah dan diratah semahu-mahunya. Turki Uthmaniyah mula dibahagi-bahagikan dan diberikan sempadan masing-masing.

Kini, genap 90 tahun kita ketiadaan khalifah yang menaungi umat islam di bawah panji yang sama. Suatu masa, kita, umat islam pernah mentadbir 2/3 dunia. Kita pernah menjadi umat yang paling terkehadapan dalam segala aspek dan bidang. Kita pernah menjadi teladan dan contoh kepada dunia. Kita menjadi kiblat dan penunjuk arah kepada mereka yang kegelapan. Dan suatu masa kita pernah menjadi tempat orang meminta pertolongan dan perlindungan.

Ya, itulah kita suatu masa dahulu. Umat yang hebat lagi disegani.

Tetapi kini?

Siapakah pula kita pada hari ini?

Adakah kita sama seperti kaum muslimin terdahulu yang hidup mereka bernadikan dakwah dan jihad?

Atau adakah kita...

Umat yang tidak mengenali apa itu dakwah dan jihad?
Umat yang sangat mencintai dunia dan takutkan mati?
Umat yang begitu lemah ibarat kijang yang menunggu masa untuk dikejar dan dibaham musuh?

Refleksilah kembali diri sendiri. Apa yang sudah kita lakukan untuk ad-deen tercinta ini di saat kita berada di ambang kehancuran? Di saat saudara-saudara seaqidah kita tidak terbela di luar sana. Di saat umat islam tenat dalam khayalan dan fatamogana dunia. Sakit dan tenat. Dalam keadaan memerlukan rawatan segera. Dalam keadaan ‘Code Blue’. ‘Code Blue Ummah’.

Tetapi malangnya tiada perawat yang gegas berlari untuk menyahut ‘Code Blue Ummah’ ini. Kita ketiadaan khalifah yang akan bergegas datang untuk membela nasib ummah yang ditindas. Yang akan bergegas merawat keadaan tenat ummah. Yang bergegas memberi bantuan kepada yang memerlukan.

Maka di sini, saya menyeru anda dan anda. Ya. Anda yang terkebil-kebil memandang skrin komputer atau skrin tab atau skrin telefon pintar. Ya, anda.

Saya ingin mengajak anda untuk kita sama-sama membina kembali ummah ini. Agar suatu hari nanti sejarah akan berulang kembali dan kita berada di kemuncak dunia sekali lagi. Tiada lagi ketidak-adilan dan tiada lagi kesakitan yang perlu dilalui oleh umat islam sepertimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Mesir, Myanmmar dan yang terbaru di wilayah Afrika Tengah. Mari kita sama-sama kembali kepada dakwah dan jihad dan bersama-sama menuju ustaziyatul alam. Biiznillah.




Mari kita sahut panggilan 'Code Blue Ummah'. Anda tidak perlu memiliki ijazah kedoktoran atau kejururawatan untuk turut serta membantu. Cukup sekadar dengan syahadah, anda sudah mempunyai kelayakan. 

Mari kita cipta kembali sejarah ketamadunan islam yang gilang gemilang seperti suatu ketika dahulu. Ayuh bangkit!
  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...