Pages

April 7, 2014

Rijal Separuh Celup




Hati bercita-cita menjadi rijalNya,
Yang solatnya cukup, sempurna, lagi mantap,
Sehari semalam lima waktu dilaksanakan dengan tetap.

Tapi,
Kerna bimbang assignment bertimbun tidak lagi disiapkan,
Kerna takut terlambat ke kantor dan dimarah majikan,
Kerna sibuk dengan kerja duniawi yang tidak berhabisan,
Kerna lambat tidurnya dek marathon drama korea tak kesudahan,

Maka,
Sembahyangnya dilaksana di waktu pengakhiran,
Macam pelesit mengejar mat rempit solat ditunaikan,
Tuma'ninah berterabur entah kemana dicampakkan,
Dan
Berjaya bangun bertahajud itu suatu keganjilan,
Berada dalam saf jemaah di surau itu sebuah keajaiban,
Berpagian dengan subuh gajah itu sudah menjadi kebiasaan,

Wahai rijal!
Antara kau menjadi hamba dunia dan hamba Tuhan,
Yang manakah menjadi keutamaan?



Hati bercita-cita menjadi rijalNya,
Yang menjauhkan diri dari maksiat terlarang,
Prinsip couple itu haram dan menjaga ikhtilat kukuh dipegang,

Tapi,
Akulah 'stalker' di laman sosial yang sejati,
Hebat di Facebook, Instagram, Twitter dan semua sekali,
Segala photo, status, profile ikhwah akhawat habis diselongkari,
Dan,
Bila kebosanan jari pantas berwatsapp kawan perempuan dan lelaki,
Sekali-sekala berskype sakan dengan member lama sampai lupa diri,

Maka,
Pantang disebut nama ikhwah akhawat pasti dikenali,
Walaupun tidak pernah bersua muka walau sekali,
Nampak sangat jiwa penuh noda kerna tidak menjaga hati,
Dan,
Dengan rakan lama perasaan segan terus hilang dari diri,
Selamba bergurau di alam maya hingga adab tidak disantuni,

Wahai rijal!
Adakah ikhtilat hanya teraplikasi di sesetengah tempat?
Bila berhubung di dunia nyata dan hanya pada ikhwah akhawat?




Hati bercita-cita menjadi rijalNya,
Bermujahadah menjaga aurat agar tertutup rapi,
Bertutup-litup dari hujung rambut sampai hujung kaki,
Hingga tiada aurat yang terlihat walau seinci,

Tapi,
Bab berselfie akulah diva nombor satu,
Sakan bergambar dengan tudung labuh penuh ayu,
Terkadang terkeluar gambar mimik muka lucu,
Dengan niqab pun berfoto sambil 'cover' malu-malu,

Maka,
Pantas gambar dimuat-naik di media sosial selepas itu,
Penuh setia 'Like', 'Comment' dan 'Tweet' ditunggu,
Kembang jiwa membaca pujian melangit satu-persatu,
Tanpa jenuh setiap sanjungan dibalas 'thank you',
Kononnya muslimah paling baik itu adalah aku.

Wahai rijal!
Lemah benar imanmu hingga pujian manusia kau damba!
Sampai pandangan Penciptamu terus kau lupa?



Hati bercita-cita menjadi rijalNya,
Penuh semangat mengejar keredhaan Tuhan,
Saban waktu amalan sunat mengisi waktu kelapangan,

Tapi,
Penuh status Facebook ditulis amalan seharian,
"Syukur alhamdulillah hari ini dah khatam satu quran",
"Hari ini dimulai dengan bertahajjud yang penuh keberkatan",
Apa kau ingat malaikat semak Facebook bila mencatat amalan?

Maka,
Bau amalan hangus dibakar riak memenuhi ruang,
Sia-sia amalan menipis bak debu berterbangan,
Penat beribadah tapi tidak membawa apa-apa pulangan,
Tiada satu zarah yang dapat dibawa menghadap Tuhan.

Wahai rijal!
Mengapa kau nak berbangga dengan amalan kau sebesar kuman?
Rasulullah yang maksum pun tak pernah sombong dengan Tuhan!



Hati bercita-cita menjadi rijalNya,
Berusaha membendung diri daripada mengikut nafsu syaitan,
Mata dan hati dipelihara terbendung dari melihat kemungkaran,
Perempuan seksi dan lelaki macho sebelah mata pun tak dipandang.

Tapi,
Mata meliar melihat keindahan ciptaan Tuhan,
Tertancap mata saat akhawat bertudung labuh lalu dihadapan,
Dipandang lama ikhwah lengkap berjubah dan kopiah berjalan,
Tak apa, pandangan pertama itu rezeki bukan?

Maka,
Perlahan si syaitan menghembus bisikan syahdu,
Lantas dilepas panahan tepat menusuk kalbu,
Hati mula mekar berputik bunga-bunga rindu,
Syaitan bersorak, "Yes, buruan besar telah masuk jerat halusku!".

Wahai rijal!
Jika nafsu sendiri kau tak dapat tundukkan!
Apa kau ingat musuh islam dapat kau kalahkan?



Hati bercita-cita menjadi rijalNya,
Tanpa jemu mentarbiyah diri malam dan siang,
Kalau turun berdakwah akulah paling kencang.

Tapi,
Dalam akademik aku yang paling lembab dan lambat,
Bukan tak pandai, cuma pemalas macam wombat,
Duduk tekun belajar sejam sehari pun aku liat,
Pergi kelas tiap-tiap hari nak tunggu kena piat,

Maka,
Apabila keputusan peperiksaan tidak memberangsangkan,
Laju sahaja dakwah dan tarbiyah disalahkan,
Tidak mahu hadir usrah dan daurah mula dijadikan alasan,
Dan,
Semakin parah pabila ada yang menjustifikasikan,
"Nak buat macam mana, sudah suratan takdir Tuhan".

Wahai rijal,
Jangan kau cuba conteng nama islam dengan arang!
Dek kerana kemalasan dan sifat lemau kau seorang!


Jika ingin menjadi rijalNya,
Celuplah dirimu dalam islam sepenuhnya,
Menyelami islam sebenar dan membiarkan jiwa teresap dengan rohnya,
Meresap hingga ke segenap penjuru hati dan merebak keluar ke jasadnya,
Bukan sekadar luaran dibalut islam dengan pemakaiannya,
Bukan sekadar pertuturan dengan al-quran dan sunnah sebagai penghiasnya,
Bukan sekadar akhlak islam dipaparkan tatkala ada yang memandangnya.

Cukuplah,
Cukuplah,
Cukuplah,
Cukuplah sekadar menjadi rijal separuh celup,
Yang hanya memberatkan usaha kebangkitan islam,
Tapi celuplah dirimu dengan sibghah Allah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...