Pages

December 7, 2013

MASTER! tunjuk ajar ku sifu?



Ohoi! Iced coffee ini sangat menggoda!


Ok, ini bukan iklan mempromosikan 'iced coffee' berjenama Masters. Ini juga bukan post berkaitan dengan Masters degree yang baru diperoleh selepas tamat pengajian. Juga bukan post berkaitan dengan shaolin kung fu master yang berkepala botak dengan kain kuning dan merah membaluti badan. Jadi anda boleh meneruskan pembacaan anda.  

Habis tu, post ni pasal apa? Tanya anda dengan dahi berkerut berlapis-lapis macam kuih lapis. 


Erk... Sabar kak, sabar. Kalau marah nanti kene jual. =P




Post ini tidak lain hanya sekadar ingin memberi definisi perkataan 'master' dari bahasa mat salleh ke dalam Bahasa Melayu bagi mereka yang masih tidak mengetahuinya. 

What! Itu je ke? Baik tak payah tulis! Marah anda lagi sambil terjegil biji mata.


Ok ok. Itu tipu. Post ini bukan nak beri definisi master. Itu hanya gimik semata-mata ye. 


Anda mula mengepal-ngepal penumbuk anda yang tak berapa nak besar tu. 


Baik. Tenang, tenang. *Sambil angkat tangan tanda surrender.


Apa yang ingin saya tuliskan sebenarnya lebih dari sekadar itu. Apa yang ingin dikongsikan adalah untuk merungkai maksud 'master' dengan lebih terperinci dalam konteks kita sebagai muslim. Siapakah 'master' dalam hidup kita? Dan apakah erti 'master' ini dalam kehidupan kita?


'Master' dalam bahasa mat salleh jika diterjemahkan dengan ringkas ke bahasa ibunda kita membawa maksud 'tuan'. Dan 'master' mempunyai kata lawannya iaitu 'slave' yang membawa maksud hamba. Perkataan 'master' dan 'slave' ini agak sensitif bagi sesetengah bangsa terutama bangsa yang pernah ditindas pada zaman dahulu. Terutama ketika zaman perhambaan orang Afrika di Amerika. Tetapi jika dibelek kembali buku sejarah, sebenarnya sejarah perhambaan ini bermula pada zaman jahiliyyah lagi. Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul. Even ketika zaman firaun lagi.


Dalam sistem perhambaan seorang hamba perlu mentaati tuannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ianya ibarat penyerahan total kepada tuannya. Dan setiap perhambaan datang dengan paksaan. Dan saya berani jamin, semua hamba tidak pernah ingin atau tidak pernah berharap menjadi seorang hamba. Mereng agaknya sesiapa yang rela diri mereka diperhambakan. Tidak akan pernah ada seorang manusia yang ingin diri mereka diperhambakan. Tidak akan ada seorang manusia yang datang kepada manusia lain sambil berkata, "Aku nak jadi hamba kau. Rantailah aku. Aku rela buat segala suruhan kau." Jika ada, orang ini memang gila!


Selagi tuannya tidak membebaskan, tiada apa yang dapat dilakukan oleh si hamba selain berkhidmat dengan setia terhadap tuannya. Si hamba saban hari menunggu untuk dibebaskan atau ditebus. Tidak sabar untuk bebas dari perhambaan kepada tuannya. Even, ditempat kerja, jika kita disuruh melakukan pelbagai kerja diberikan oleh majikan yang melebihi kapasiti kerja, kita akan mula mencebik bibir sambil tidak habis-habis mengomel tidak puas hati. Itu baru majikan, dan kita juga dibayar untuk bekerja. Bukannya kerja free. Bayangkan kalau kita jadi hamba. Mahu hari-hari tuan kita dapat pahala percuma kerana mulut Cik Joyah kita asyik mengutuk dan memaki hamunnya. Tapi di belakang tuan atau dalam hati je la kan. Kalau tak, mahu haru biru dikerjakan oleh tuan.


Apa relevannya penjelasan panjang lebar mengenai 'master' dan 'slave' ini? Saya ingin membawa anda menghayati kembali dua perkataan ini dalam kehidupan kita. Kita mungkin bukan hamba kepada manusia lain seperti zaman-zaman dahulu. Tetapi kita adalah hamba kepada Pencipta kita, Allah Azza Wa Jalla sejak tangisan pertama sehingga hembusan nafas terakhir kita. Allah is the master and we are the slaves. Tetapi sangat unik dan cantik sistem perhambaan kita dengan Allah. Tidak seperti perhambaan manusia kepada manusia yang lain. Kerana apa? Kerana yang paling utama kita sendiri memilih untuk menghambakan diri kepada Allah. Kita sendiri dengan rela hati tunduk kepada segala suruhanNya. Bukan dipaksa. Bukan disuruh. Terpulang kepada setiap individu samada ingin menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah atau tidak. Sepertimana firman Allah,





لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah [2] ;256) 


Jadi, apakah jenis perhambaan ini? Bukan paksaan tetapi satu pilihan? Wahai!


Walaupun Allah memberi pilihan, tetapi kita masih ingin menghambakan diri dengan tunduk kepada Allah dan mengakui Allah adalah sebagai tuan kita. Dan kita memanifestasikan perhambaan ini dengan sentiasa memuji dan bersyukur kepadaNya dan bersujud sekurang-kurangnya lima kali sehari kepadaNya. Tidak dilupakan juga dzikir pembasah lidah kita sehari-hari mengagungkanNya. Nah, ada hamba yang sanggup melakukan sedemikian rupa kepada tuan manusianya? Mengagungkan dan bersyukur kepada tuannya? Sudah pasti tidak. Malah, dalam hati mereka hanya terpalit rasa benci, rasa tidak puas hati dan dendam kesumat terhadap tuan mereka. Tiada rasa bersyukur, tiada rasa sayang. Malah, selepas perhambaan telah tamat berdekad atau berkurun lamanya, akan masih ada rasa benci oleh bangsa yang diperhambakan. Tetapi hebatnya Allah, Dia metakkan diriNya sebagai tuan kita dan sebelum itu, Allah menyatakan segala puji hanya bagiNya, segala syukur hanya kepadaNya dan segala kebaikan hanya daripadaNya sepertimana dalam surah al-fatihah: 
 


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٢)
  
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين

 Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
 (Al-Fatihah [1] ; 2)



Begitulah berbezanya hubungan perhambaan kita dengan Allah. Kita memuji, bersyukur dan menyayangi Allah. Sungguh cantik dan unik hubungan perhambaan ini.


Jika seorang hamba mungkin mendapat ganjaran yang begitu kecil, sekecil tahi hidung cuma dibandingkan dengan kerahan tenaga berkerja kepada tuannya, ianya berlainan dengan kehambaan kita kepada Allah. Segala usaha kita menghambakan diri kepadaNya, walau sekecil mana sekalipun, walau sekadar mengucapkan alhamdulillah dengan seikhlas hati, ianya akan dikira dan diberi ganjaran di akhirat kelak. Titik peluh dan keringat yang dicurahkan dalam menjadi hambaNya akan dibayar setimpal. Satu per satu akan dihitung. Tiada yang kurang. Walaupun sebesar zarah. Begitulah pemurahnya Allah terhadap hambaNya dan mereka tidak akan pernah dizalimi oleh Yang Maha Adil. Dan kita masih culas menghambakan diri kepada Allah? Alangkah ruginya. Sedangkan apa yang dituntut Allah hanyalah melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Cukup mudah. Cukup senang.  






PemurahNya Allah melebihi segala-galanya. Ar-rahman dalam ayat kedua surah al-fatihah sangat sukar dialih bahasa dengan hanya menggunakan satu perkataan, sehinggakan perkataan pemurah sahaja tidak cukup menerangkan ar-rahman. Para penafsir boleh menceritakan berhelai-helai malah boleh menghasilkan sebuah buku dengan perkataan ar-rahman. Ar-rahman menurut ustaz Nouman Ali Khan membawa maksud, cinta Allah, penjagaan Allah dan pemurahNya Allah yang ekstrim terhadap hambaNya. Bukan normal tetapi ekstrim. Terlalu dan terlebih sayang. Begitulah maksud ar-rahman. Dan begitulah kasihnya Allah terhadap hamba-hambaNya. 

Segala-galanya dikurniakanNya kepada kita. Sedangkan kita ini hanyalah seorang hamba marhaen. Cuma kita. Ya. Anda dan juga saya sendiri tidak terkecuali dari terlupa betapa pemurahnya Allah. Terlalu banyak nikmat Allah yang telah kita lalai dari mengingatinya membuatkan kita menjadi hamba yang tidak bersyukur kepada tuannya. Sekecil-kecil nikmat seperti denyutan jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh. Jantung yang hanya sebesar penumbuk, tanpa lelah berdenyut di antara 60 sehingga 100 denyutan seminit dan mengepam 5 liter darah setiap minit sepanjang hayat kita. Tetapi kita tidak pernah menyedarinya. Bayangkan jantung kita tiba-tiba terhenti. Ketika itu, kita boleh mengucapkan sayonara kepada dunia. Lihat, betapa lemahnya kita. Sehinggakan denyutan jantung pun masih perlukan pertolongan Allah. Dan kerana itu Allah berfirman dalam surah Ar-Rahman berulang-ulang kali:



Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (kredit)


Nah, segalanya telah terbentang di hadapan mata. Maka apa yang ditunggu lagi? Mari kita sama-sama memaknai perhambaan kita kepada Allah. Semak kembali siapa kita kepadaNya. Adakah kita selama ini hamba yang taat atau kufur? Adakah kita hanya hamba ketika susah atau ketika musibah datang melanda sahaja? Atau paling teruk, kita tidak pernah merasai kehambaan itu. Nu’uzubillah. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini. Oleh itu, jadilah hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Hamba yang takut dengan janji-janjiNya dan hamba yang taat dengan segala suruhanNya. Yang sujud menghadapNya dengan penuh rasa rendah diri, penuh rasa kehambaan. Yang meletakkan segala kebergantungan hanya kepadaNya. 

Ingin berubah itu bukan mudah. Tidak semudah makan coklat M&M atau Nips. Ianya memerlukan mujahadah yang tinggi. Tetapi insyaAllah jika segalanya kita lakukan hanya mencari redhaNya, Dia akan membantu. Selangkah kita melangkah kearahNya, Allah akan berlari ke arah kita. Bukankah itu sangat mengujakan? Pencipta kita yang berlari ke arah kita. Yang penting berusahalah menjadi hambaNya yang patuh dan taat dengan segala suruhanNya. Berusahalah walau sesukar mana sekalipun. Berusahalah dengan mengoirak langkah pertama ke arahNya. Dan semoga Allah redha dengan perhambaan kita kepadaNya. Amiin.


P.s: Kempunan nak minum iced coffee... T.T

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...