Pages

December 5, 2013

Bismillah...








Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi maha Penyayang, saya memulakan blog yang tidak seberapa ini. Moga Allah redha dengan blog ini dan moga Allah memelihara  niat utama saya menulis blog ini. Niat hanya untuk mencari redhaNya dan menyampaikan risalahNya. Kerana menyampaikan ayat-ayat Allah merupakan kewajipan ke atas semua muslim yang mengucapkan syahadah. Dan menyampaikan islam atau dengan kata yang lebih mudah, dakwah ini bukan hanya tugas para ustaz dan ustazah tetapi terletak di atas bahu semua umat islam selagi mana islam itu tidak tertegak di muka bumi ini. Dakwah ini juga bukan tuntutan fardhu kifayah bahkan ianya adalah fardhu ain yang mana wajib ke atas setiap muslim. Kerana Allah telah menaikkan darjat kita, manusia ciptaaNya untuk menjadi khalifah di muka bumi. Bukan malaikat yang taat kepada Allah atau iblis yang diciptakan dari api yang dipilih menjadi khalifah. Tetapi kita, keturunan Adam ‘Alaihissalam. Ya. Anda semua dan saya yang Allah telah naikkan darjat untuk memakmurkan bumi ini dan menyampaikan ad-deenNya. Maka dengan itu, kita perlu melaksanakan tugas mulia yang diamanahkan Allah kepada kita dengan apa jua keadaan sekalipun. Seperti mana dalam firmanNya:




Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mareka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” 
(Surah Al-Baqarah 2;30)




Blog adalah sesuatu yang mainstream pada zaman teknologi kini. Serba serbi perkara boleh dilakukan dengan mempunyai blog. Ada yang menjadikannya sebagai diari harian, mencatat dan menceritakan perihal yang berlaku sehari-hari dan tidak ketinggalan juga yang menjadikannya sarana jualan online. Maka saya juga tidak terkecuali untuk memilih medium ini untuk dijadikan salah satu cara untuk menyampaikan islam ini kerana  berdakwah tidak terhad dengan satu metodologi sahaja tetapi dipelbagaikan dengan cara mengikut kesesuaian asalkan matlamatnya tercapai. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya (kekuasaanynya), sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim)


Dan Allah juga berfirman yang bermaksud:



Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan
(Surah Al-Ghasyiyah 88;21)







Amanah dakwah ini adalah tanggungjawab setiap manusia yang tidak mengenal pangkat, usia, dan warna kulit dan penyebaran islam ke seluruh alam semesta juga adalah kewajipan ke atas diri kita selepas solat, zakat, puasa dan haji. Kerana kehidupan seorang muslim bukan hanya lengkap dengan pelaksanaan rukun islam dan rukun iman semata. Tugas kita lebih dari itu. Ya. Tugas sebagai seorang khalifah yang menanti kita sejak kita masih di dalam rahim ibu kita. Tugas yang hanya terhenti apabila Izrail datang memanggil. Dan selagi mana kita bernafas, darah masih mengalir dalam segenap urat saraf kita, menyeru manusia kepada islam akan menjadi terus nadi kepada kehidupan kita.


Seruan dakwah ini bukan hanya terhad kepada 'not-yet-a-muslim' tetapi kepada seluruh umat islam di luar sana selagi mana umat islam tidak menghayati ajaran islam dengan sepenuhnya. Seruan ini perlu selagi mana umat islam masih lalai dengan keasyikan dunia yang sementara. Selagi mana manusia masih tidak kembali kepada Allah. Dan selagi mana islam itu tidak tertegak di bumi ini, di ustaziyatul alam. Tempat yang selayak-layaknya. Oleh kerana itu, saya juga tidak ingin ketinggalan dalam menyampaikan islam walaupun hanya dengan menulis. Satu usaha yang sekelumit cuma jika dibandingkan dengan usaha Rasulullah S.A.W dan para sahabat dalam menyebarkan islam. Malah sangat kecil dibandingkan dengan usaha-usaha para da’ie yang tidak pernah lelah menyampaikan dan membentuk ummah di luar sana. Ingin bergerak menyeru islam seperti para da’ie hebat, tetapi diri yang marhaen ini masih belum berpeluang dan mungkin belum bersedia. Tetapi diharapnya usaha ini akan diredhai Allah dan tugas syahadatul haq dapat dilaksanakan. Semoga penulisan ini akan menjadi satu penyaksian dihadapan Allah kelak. Amiin.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...