Wow! Ni sangat bes! Banjir di Mexico City 1967 (kredit)
Banjir atau bah sering dikaitkan dengan musim tengkujuh di
Pantai Timur Malaysia. Saban tahun bencana alam ini melanda negara kita dan
mengakibatkan kerugian harta benda dan lebih malang lagi kehilangan jiwa orang
yang tersayang. Perkara ini sudah dijangka akan berlaku di sekitar Kelantan,
Terengganu dan Pahang dengan kedatangan angin monsun timur laut sekitar akhir
November sehingga ke awal Januari. Tetapi, setiap tahun negeri yang teruk dinaiki air
kebiasaannya adalah Terengganu dan Kelantan. Namun tahun ini Pahang tidak
terkecuali dilempias angin monsun timur yang mengganas dan mencurahkan hujan
tanpa henti sejak hampir seminggu yang lalu. Bahkan Pahang adalah negeri
terburuk dilanda bah sehinggakan Bandar Kuantan lumpuh dan hampir dua puluh
ribu orang telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.
Pernahkah anda sendiri mengalami dan merasai sendiri saat-saat
getir ketika banjir? Saat-saat anda melihat dengan mata kepala anda sendiri paras
air semakin meningkat memenuhi kawasan anda? Atau saat-saat anda sendiri menaiki
bot ketika diselamatkan dari kawasan banjir? Saya sejujurnya tidak pernah
mengalaminya dan untuk itu, saya sangat bersyukur dengan limpah rahmat Allah. Tetapi
jiwa anda dan saya sendiri pasti kaget dan tidak keruan jika musibah ini melanda
diri kita. Takut, cemas dan hilang arah tujuan mungkin. Dan cuba kita letakkan
diri kita dalam situasi tersebut. Mahu haru biru keadaannya.
Bayangkan anda sedang nyenyak tidur di atas katil empuk anda
diselubungi dengan selimut tebal dengan cuaca yang dingin ditambah dengan hujan
renyai-renyai di luar. Wah! Sungguh enak dan nyenyak sekali tidur. Ditambah
pula dengan pelukan erat bantal busuk anda yang sudah luntur warnanya. Ohoi. Mahunya
tidak bangun. Sampaikan kalau guruh berdentum dan halilintar menyambar sekalipun
mustahil anda akan terjaga malah anda makin menarik selimut menutupi muka anda dan
mengerengkokkan badan untuk menghangatkan badan. Lagaknya seperti kura-kura
memasukkan kepalanya ke dalam cengkerang. Dan kemudian anda lena diulit mimpi indah.
Mimpi indah bermain dengan kucing kesayangan anda, Si Debab di tengah padang
yang luas menghijau dipenuhi dengan rama-rama putih.
Sedang enak anda bermimpi mencubit-cubit perut kucing anda
yang gendut itu, tiba-tiba anda merasa kedua-dua belah kaki anda sejuk dan
lembap. Anda merasa hairan tetapi anda tidak mengendahkannya. Terus menerus
anda menggosok penuh kasih sayang perut Si Debab yang kini terbongkang dengan ke empat-empat kakinya
ke atas. Tetapi, aktiviti anda terbantut kembali. Rasa sejuk pada kaki anda kembali
dan kini sejuknya hingga ke pinggang. Sekali lagi anda tidak ambil pusing
dengan rasa sejuk itu. Mata anda terus kejap tertutup kerana tidak ingin memutuskan
mimpi indah anda dengan Si Debab.
Anda mengalah tatkala rasa sejuk itu terus merayap hingga ke
belakang dan akhirnya anda mula membuka mata perlahan-perlahan. Anda mula mencari
punca rasa sejuk yang menjalar dari kaki anda hingga ke seluruh badan. Terbeliak
mata anda melihatkan seluar anda yang basah. Kuyup. “Eh! Aku kencing dalam seluar
ke? Biar betul. Tapi takkan lah sampai satu seluar basah. Ke ada adik aku main prank?
Nak kena budak ni! Sekeh jugak kepala tu nanti!” Ngomel anda dalam hati.
Dalam keadaan masih mamai dan kebingungan anda berpaling ke
kiri dan ke kanan cuba untuk memikirkan apa yang sebenarnya terjadi.
Mata anda kemudiannya membulat. Tersangat bulat sehingga seluruh anak mata
hitam kelihatan. “Air!” Getus hati anda. Segenap penjuru bilik kini dipenuhi
air sehingga mencecah katil. Katil anda kini ibarat sebuah pulau terpencil di
tengah-tengah lautan yang terbentang luas. “Aku dalam air banjir! Aku kene
keluar sekarang! Kalau tak nanti aku lemas!” Fikiran anda berasional. Bingkas
anda bangun dan meluru keluar dari bilik. Sedang anda mengharung air untuk keluar,
anda melewati bilik ibu bapa dan bilik adik anda. Terdetik di hati anda untuk
mengejutkan mereka. Berkali-kali anda mengetuk pintu bilik dan melaung-laung
memanggil mereka tetapi mereka masih lena diulit mimpi. Setelah usaha anda
tidak membuahkan hasil, anda mengambil langkah yang lebih drastik. Menyerbu
bilik mereka dan menggoncang-goncangkan badan mereka sambil memekik di telinga
mereka, “Ayah! Mak! Adik! Bangun! Banjir ni! Air dah naik! Cepat lari selamatkan diri!”. Berulang-ulang
kali anda mengejutkan mereka. Tetapi mereka tidak berganjak sedikit pun. Malah mereka
menarik selimut sehingga menutupi muka sambil membelakangi anda. ‘Annoyed’
dengan gangguan anda. Ayah anda akhirnya berkata, “Awal lagi ni. Bagi la kami
tidur dulu.”
Anda semakin hilang sabar dan juga semakin panik. Air semakin
naik dengan cepatnya tetapi ahli keluarga anda masih berkeras untuk tidur. Anda
mati kutu. Ingin terus mengejutkan mereka atau keluar menyelamatkan diri
dahulu? Kemudian minta pertolongan dari orang sekeliling untuk menyelamatkan
mereka. Setelah menimbang-nimbang baik buruknya, anda akhirnya memilih untuk
menyelamatkan diri terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya anda boleh memberitahu orang
lain yang ahli keluarga anda masih di dalam rumah. Setelah bulat fikiran, anda
bergegas menuju ke arah pintu hadapan rumah dan kebetulan anda terserempak dengan
Si Debab. Terapung-apung di atas sekeping papan. Anda lantas menggendongnya dan
mula bergerak ke arah pintu. Pintu cuba dibuka tetapi malangnya anda tersedar
kaki anda tidak dapat melangkah. Tidak dapat melangkah kerana ianya dirantai
dan rantainya bersambung dengan kaki ibu bapa anda. Anda mula hampa dan buntu.
Apa yang harus dilakukan sekarang? Kembali mengejutkan ibu bapa anda atau
berusaha seorang diri untuk melepaskan diri?
Cuteness overload. Si Debab and geng (kredit)
Ketika dalam keadaan genting ini, keputusan anda akan
memberi impak yang besar bukan hanya kepada ahli keluarga anda bahkan kepada
diri anda sendiri. Anda perlu berusaha mengejutkan mereka agar keluar
bersama-sama anda untuk anda menyelamatkan diri. Dan setelah berkali-kali memekik dan melolong akhirnya anda berjaya mengejutkan mereka. Tetapi apabila anda dan ibu bapa
anda menghampiri pintu, anda sekali tersedar bahawa kaki anda terikat dengan
rantai yang bersambung dengan kaki adik anda pula. Maka sekali lagi, anda dan ibu
bapa anda bergegas dan berusaha mengejutkan adik anda untuk bangun dan
bersama-sama menyelamatkan diri. Akhirnya anda berjaya berkat usaha
dan kesabaran anda. Jadi bila anda memilih untuk berusaha keras mengejutkan
mereka, insyaAllah, anda akan terselamat dari bencana alam ini bersama-sama
mereka. Usaha dan semangat juang yang tinggi diperlukan untuk membangkitkan
mereka dari lena. Tetapi ianya bukan sesuatu yang mustahil. Yang penting usaha
dan sabar.
Cerita di atas walaupun sekadar imaginasi, tetapi ianya satu
analogi bagi menceritakan secara ringkas Surah Al-Asr.
Ayat pertama
Surah Al-Asr, Allah bersumpah demi masa. Ianya sama seperti cerita sebelum ini yang mana anda sedang
kesuntukan masa. Air semakin meningkat dan anda akan lemas jika anda tidak
melakukan sesuatu. Jadi di sini masa adalah sangat penting dan sangat terhad.
Seperti jika kita memerah limau, titisan-titisan terakhir itu ibarat masa yang
kita ada untuk menyelamatkan diri. Jika terlambat sesaat, padah akan menyusul.
Ketika dalam keadaan gawat dan kesuntukan masa yang teramat,
apa yang paling utama dilakukan? Sudah pasti lari menyelamatkan diri. Ketika
mana paras air banjir terus meningkat, adakah anda akan memilih untuk
menyambung mimpi indah anda dengan Si Debab atau lari menyelamatkan diri? Jika
pilihan kedua yang anda pilih, boleh saya tak jika saya katakan, “Anda sudah
gila!” Ya, anda tidak waras kerana lebih rela mati kerana ingin menyambung mimpi
yang seketika cuma berbanding berjuang meneruskan hidup. Dan ketika ini apa
yang penting adalah kesedaran itu. Kesedaran untuk menyelamatkan diri itu
adalah kunci utama. Jika tidak anda akan menjadi orang-orang yang rugi, seperti
mana yang dijelaskan dalam ayat kedua surah ini. Dan diteruskan dengan ayat
ketiga, iaitu beruntung orang yang beriman dan beramal soleh iaitu di mana anda
mula tersedar anda hampir lemas dan berusaha untuk ‘menyelamatkan diri’.
Ketika anda sudah ingin menyelamatkan diri, anda tersedar
bahawa kaki anda terikat dengan rantai-rantai yang bersambung dengan ahli
keluarga anda. Dan selagi mana anda tidak mengheret ahli keluarga anda keluar
sama dari rumah yang dinaiki banjir, anda akan sama-sama tenggelam bersama
mereka. Maka di sini, jika anda seorang yang mementingkan diri sendiri
sekalipun, anda masih perlu berusaha mengejutkan mereka. Kerana apa? Kerana kaki
anda terikat bersama mereka. Dan untuk menyelamatkan diri anda, anda perlu
berusaha tanpa jemu mengejutkan mereka dari tidur panjang. Jika anda berjaya
menyelamatkan mereka, maka anda adalah orang-orang yang beruntung kerana
berjaya menyelematkan diri anda sendiri bersama keluarga. Ini membawa kepada
ayat ketiga Surah Al-Asr yang mana beruntung orang berpesan-pesan ke arah
kebaikan.
Sedang anda mengharung air dalam rumah anda bersama ahli
keluarga tercinta untuk menyelamatkan diri, mungkin ada di antara mereka yang
kepenatan. Tidak sanggup lagi untuk meneruskan. Ketika ini anda akan memberi
semangat kepada mereka. Jika adik anda mengatakan, “Rasanya adik dah tak larat nak jalan. Air ni
tinggi sangat.” Anda pasti membalas, “ No, no! Tak boleh patah semangat
sekarang. We can do this!” Anda akan terus bersabar mengingatkan dan menguatkan
semangat mereka agar anda sekeluarga terselamat. Dan ini adalah analogi kepada frasa
terakhir bagi ayat ketiga di mana beruntung orang yang berpesan-pesan dengan
kesabaran.
Jadi ringkasnya dalam surah ini terdapat 4 perkara penting
yang perlu diambil:
- Beriman: Masa yang singkat yang ada pada seorang manusia perlu diisi dengan beriman kepada Allah. Kadang-kadang manusia terlupa tujuan asal mereka diciptakan. Jadi bila tersedar, mereka perlu berlari laju menuju Allah.
- Melakukan amal soleh: Bila sudah beriman, tingkatkan dengan melakukan amal soleh. Dan jangan pernah lelah melakukan amal soleh kerana itu adalah bekal kita di negeri akhirat kelak.
- Berpesan-pesan ke arah kebaikan: Dalam usaha menyelamatkan diri kita, kita tidak akan terlepas dari terikat dengan orang-orang disekeliling kita. Mereka-mereka ini akan menarik kita untuk bersama mereka di neraka kelak. Melainkan kita telah menjalankan tanggungjawab kita dengan berpesan kepada mereka ke arah kebaikan. Sepertimana dalam al-quran:
الأخِلاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلا الْمُتَّقِينَ
“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.”
( Az-Zukhruf [43] : 67)
- Dan berpesan-pesan dengan kesabaran: Kita tidak akan terlepas dari berdepan dengan pelbagai ragam manusia ketika membawa mereka ke arah kebenaran. Dan oleh itu kesabaran yang tinggi amat diperlukan dalam menyampaikan. Malahan kita juga perlu bersabar dan memberi semangat kepada orang lain yang sama-sama bergerak dalam berpesan kepada amar ma’ruf nahi mungkar. Kerana menyampaikan atau dakwah ini adalah suatu kerja yang panjang lagi memenatkan.
Konklusinya, kita perlu beriman, melakukan amal ibadah, berpesan kepada
amar ma’ruf nahi mungkar dan kemudiannya bersabar dalam menyampaikan.
P.s: Takziah saya ucapkan kepada mangsa-mangsa banjir. Semoga kalian terus kuat dan tabah menghadapi dugaan. Doa saya bersama kalian
P.s.s: Jangan lupa mengambil langkah pencegahan wabak banjir dan jangan main air! Penting tu.
P.s: Takziah saya ucapkan kepada mangsa-mangsa banjir. Semoga kalian terus kuat dan tabah menghadapi dugaan. Doa saya bersama kalian
P.s.s: Jangan lupa mengambil langkah pencegahan wabak banjir dan jangan main air! Penting tu.
No comments:
Post a Comment