Pages

June 29, 2014

Pak Cik Ramadhan, Saya Lapar Lah!

Saya lapar!



Segala puji hanya kepadaNya kerana kita masih diizinkanNya untuk sekali lagi bertemu dengan bulan penuh kemuliaan ini. Bulan penuh keberkahan. Bulan yang sering dirindui dan dinanti-natikan kedatangannya saban tahun.

Umum mengetahui Ramadhan adalah bulan kita diwajibkan berpuasa. Menahan lapar dan dahaga. Tetapi adakah sekadar itu makna bulan Ramadhan ini kepada diri kita?

Jika diselak kembali lembaran al-quran, hanya terdapat satu surah dan kurang daripada satu muka surat yang menerangkan dan menyatakan perihal berpuasa di bulan Ramadhan. Jadi, adakah anda dapat meneka surah dan ayat manakah yang menjelaskan hukum berpuasa?




    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah, 2:183)




Ya, surah al-Baqarah ayat 183 diturunkan Allah untuk mewajibkan kita berpuasa dan ayat seterusnya menjelaskan lagi dengan lebih terperinci mengenai puasa. Mungkin ayatnya pendek jika dibandingkan dengan kalam Allah yang lain bilamana syariat baru ingin diaplikasikan. Malah ayatnya pendek jika dibandingkan dengan besarnya manfaat dan keberkahan bulan Ramadhan ini. 

Tetapi beberapa ayat itu sebenarnya memberi makna yang sangat mendalam bagi kita memaknai erti sebenar Ramadhan. Dalam kita menghayati nikmat sebenar Ramadhan. Dalam kita mencari keberkahan Ramadhan.

Mengapa Allah menurunkan perintahNya agar disyariatkan berpuasa pada bulan Ramadhan? Malah Allah berkata 'agar kamu bertaqwa' pada akhir ayat 183 surah al-Baqarah. Jelas pada ayat ini, puasa sebenarnya lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi puasa disyariatkan agar anda dan saya bertambah keimanan dan ketaqwaan kepadaNya. Bertambah ketaatan dan kepatuhan kepada Yang Esa.

Jadi, bagaimanakah untuk melahirkan ketaqwaan pada bulan Ramadhan ini? 

Sebelum itu, suka untuk saya menjelaskan apakah erti taqwa agar anda dapat memahami dengan lebih jelas huraian seterusnya. Taqwa bermaksud menahan diri atau melindungi diri. Dengan kata lain kita cuba melindungi diri kita daripada kemurkaan Allah dan menjauhi azab yang dijanjikanNya di akhirat kelak. Maka, puasa Ramadhan ini seharusnya melahirkan perasaan ketaqwaan ini. Perasaan ingin melindungi diri kita sendiri dan mencari syurga Rayyan yang dijanjikan Allah kepada hambaNya yang berpuasa.

Untuk membina diri kita menjadi seorang hamba yang bertaqwa, yang paling utama dan paling penting adalah membetulkan kembali niat kita berpuasa. Saya tidak bermaksud lafaz niat pada setiap malam walaupun tidak dinafikan pentingnya niat itu agar puasa yang dilaksanakan sah. Tetapi apa yang saya cuba 'highlight' kan adalah niat sebenar atau tujuan sebenar kita berpuasa kerana ada sesetengah insan yang berpuasa kerana ingin menguruskan badan. Ada yang ingin menjimatkan wang daripada membeli makanan. Dan yang lebih menyedihkan ada yang berpuasa kerana mengikut sahaja orang lain berpuasa. Tanpa memahami erti sebenar puasa. Menahan lapar dan dahaga semata-mata. Alangkah ruginya! Semoga anda dan saya dijauhkan daripada tergolong dalam kalangan ini.

Setelah mengetahui tujuan disyariatkan puasa adalah untuk membuahkan ketaqwaan dalam diri maka sudah seharusnya niat kita perlu diluruskan untuk memperoleh taqwa itu. Bukan lagi kerana tujuan-tujuan lain yang remeh dan langsung tidak dipandang Allah. Oleh itu, perbaharui kembali niat kita pada awal Ramadhan ini agar kita tidak tergolong dalam kalangan yang rugi kerna mensia-siakan bulan penuh rahmah dan barakah ini. 

Ketaqwaan kepada Allah ini tidak akan lahir hanya dengan niat semata-mata. Tetapi mestilah diikuti dengan perancangan dan perbuatan yang menjurus ke arahnya. Betapa penyayangnya Allah, pada bulan Ramadhan ini, dimudahkan untuk kita, hambaNya bagi menggapai taqwa kerana selama 30 hari ini musuh sepanjang zaman kita dibelenggu dan diikat. Tiada lagi bisikan manis lagi halus yang menembusi hati agar kita terpesong dari jalan lurus menujuNya. 

Maka, selama 30 hari ini benteng antara Allah dan kita hanyalah hati kita. Kemahuan dan kesungguhan kita untuk kembali meraih redhaNya. Keteguhan dan keutuhan hati kita menjadi hambaNya yang bertaqwa. Hanya hati kita! Samada ia menjadi penggerak atau penghalang bagi kita mengharungi Ramadhan kali ini. 

Nah, tidakkah rugi jika kita mensia-siakan waktu ini? Waktu lapang yang tiada gangguan daripada syaitan durjana?

Jika benteng hati kita dapat diruntuhkan, mulalah berlari menuju Allah. Larilah sekencangnya. Jadilah singa di siang hari dan rahib di malam harinya. Yang tidak menjadikan letih berpuasa sebagai alasan kurang produktif dan kurang tahap kesabaran di siang hari. Kerana itu berlawanan dengan tujuan asal kita berpuasa agar kita menjadi hamba bertaqwa.

Bagaimana mungkin orang bertaqwa itu begitu cepat marahnya? Sedangkan Allah telah berfirman,


Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya, dan memaafkan (kesalahan) orang…” 
(Ali Imran, 3:133–134)

Nah, bagaimana? Terasa seperti dirobek-robek tak? 

Itulah ketaqwaan yang ingin dipupuk dan dibina dalam diri setiap seorang dari kita. Ketaqwaan ini akan lahir dengan latihan intensif yang dilalui selama 30 hari kerana hati kita dilatih untuk mengawal seluruh anggota badan. 

Ketika tekak kita merayu-rayu,

"Kering dan panasnya aku. Bagilah air. Sikit pun cukuplah. Kau tak kesian kat aku ke?"

Tapi hati kita dengan tegasnya akan menjawab,

"Kau ni tekak, baru zohor dah mula minta air. Tunggulah maghrib kejap lagi. Sabar sikit tak boleh? Aku nak tunaikan suruhan Allah ni."

Atau ketika perut mula rancak berdondang sayang ketika jam baru menunjukkan pukul 10 pagi, hati kita pasti akan mengomel,

"Haih perut, awalnya lah kau berdondang sayang. Zohor pun tak masuk lagi. Tahanlah sekejap. Tahanlah sampai maghrib kejap."

Ketika ini, walau sekuat mana tekak dan perut kita berteriak minta diisi, hati kita akan tetap teguh bertahan. Hanya kerana ingin memenuhi suruhan Allah. Hati kita menjadi raja kepada badan kita tatkala badan lemah. Dan jika kita mampu untuk menahan perut dan mulut, sudah pasti tidak sukar bagi untuk kita mengawal nafsu, minda dan lidah kita daripada kemungkaran. Ditambah dengan ketiadaan bisikan-bisikan dan janji-janji manis oleh syaitan dan iblis, ia sepatutnya memudahkan kita untuk menapak pantas menjadi hamba yang bertaqwa. 

Inilah hasil dan impak sebenar puasa kepada kita pada bulan Ramadhan. Mata, lidah, minda, dan nafsu kita terpelihara daripada perkara mungkar agar ia dapat melindungi kita daripada kepanasan neraka di akhirat kelak. Tiada lagi mata melirik memandang perempuan berbaju sarung nangka atau abang-abang macho yang barbaju sendat. Mata tidak lagi digunakan sepenuhnya untuk menonton segala tok nenek drama dan movie. Lidah pula tidak lagi laju bergosip perihal rakan sekerja. Tidak lagi mengeluarkan kata-kata cacian atau carutan. Minda tidak lagi dipenuhi dengan fikiran-fikiran negatif dan dibiar lembab dengan menghadap 'Facebook' sepanjang masa. Masa juga tidak lagi dibazirkan dengan terbongkang tidur sepanjang hari atau dibiarkan berlalu tanpa manfaat.

Malah seharusnya anggota-anggota ini yang bakal menambah saham untuk bekalan akhirat kelak dengan pertambahan dan meningkatkannya amal ibadah. Hari-hari diisi dengan bertilawah al-quran dan bertadabbur. Lidah pula mengucapkan kata-kata yang baik untuk insan lain. Tidurnya kurang dan dipenuhi dengan qiam dan bersujud penuh perhambaan pada Sang Pencipta. Minda diisi dengan bahan bacaan yang berfaedah dan yang membina. Dan tangan pula ringan menghulurkan bantuan atau sedeqah kepada insan-insan yang membutuhkan. Ditambah pula dengan janji pahala yang berlipat-kali ganda untuk setiap amal yang dilakukan sepanjang Ramadhan ini. Sudah pasti dengan kewarasan akal, tidak mungkin kita sanggup mensia-siakannya begitu sahaja.    

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun sebelumnya dan semoga kita kuat berusaha untuk mendidik dan membimbing diri, agar kita lahir sebagai hamba yang bertaqwa. Kerana tiada jaminan kita akan masih bernafas untuk berjumpa Ramadhan tahun hadapan. Kerana maut tidak menjemput walaupun sesaat lambat. Jika sudah ajal, tersepak batu di depan tangga pun boleh menjadi asbab kematian. Oleh itu, jangan dikira pada usia yang muda, kita tidak layak untuk dijemput malaikat Izrail. 

Manfaatkanlah sebulan pada bulan Ramadhan ini untuk kita mentarbiyah diri. Agar kita dapat mengharungi realiti sebenar kehidupan selepas Ramadhan kerana ketika itulah cubaan sebenar kita. Peperangan sebenar dengan musuh sejati, syaitan dan iblis. Semoga kita mendapat keredhaan Allah di atas usaha kita menuju redhaNya ini. Biiznillah. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...