Pages

July 1, 2014

Uniform Pinjam

Awak tak tau ke yang dia pinjam je jubah tu. :)


Jarum jam ditangan sudah menunjukkan jam 10 pagi. Melihatkannya, bergegas saya berjalan dari wad menuju ke arah Blok E yang menempatkan klinik ENT (Ear, Nose, Throat) di bahagian utara hospital. Sampai sahaja di Blok E, kaki terus menapak pantas ke arah meja penyambut tetamu lalu memperkenalkan diri. Separuh tercungap saya menyatakan tujuan kedatangan ke klinik. Hanya untuk menghadiri salah satu sesi klinik sebagai memenuhi keperluan universiti.

Bersama seorang lagi rakan, saya ditempatkan di salah satu bilik yang diseliakan oleh seorang ENT 'registrar'. Seorang yang sangat peramah dan banyak bercerita.

Sepanjang di klinik, tujuh orang pesakit yang berusia 50an dan ke atas datang untuk 'follow-up' dan kesemuanya adalah lelaki. Mereka semua telah disahkan menghidap kanser tetapi di bahagian mulut dan tengkuk. Ada yang menghidap kanser bibir dan telah menjalani pembedahan membuang bibir bawah yang kemudiannya disusuli dengan pembedahan plastik bagi memperelokkan kesan pembedahan. Ada yang menghidap kanser lidah yang juga sudah menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada bawah lidahnya. Ada yang menghidap kanser di bahagian tengkuk dan kanser tersebut telah dibuang meninggalkan parut besar di sebelah tengkuk kanannya. Yang lain pula baru di'diagnose' dan disyaki dengan kanser peti suara dan kanser 'soft palate'.

Selain kanser sebagai persamaan mereka, pakcik-pakcik ini juga mempunyai susuk tubuh yang kurus dan ada di antara mereka yang kelihatan amat cengkung. Sepertinya tidak diberi makan yang cukup. Bukan persamaan yang mungkin remeh tampaknya ini yang saya ingin tonjolkan. Tetapi yang saya ingin kongsikan adalah persamaan mereka dalam merokok.

Ya. Merokok. Malah mereka adalah perokok tegar. Sehinggakan setiap daripada mereka merokok tidak kurang satu paket sehari dan ada yang merokok tidak kurang daripada 50 batang sehari. Berpadananlah dengan saiz dan binaan badan mereka yang kurus dan cengkung. Manakan ada selera untuk makan dan minum jika tangan tidak terlepas dari rokok. Malah mereka juga mungkin kesuntukan wang untuk membeli makanan yang berkhasiat dek dihabiskan untuk membeli rokok. Bayangkan membelanjakan $20 hanya untuk sebungkus rokok. Itu untuk sehari dan sebungkus. Jika 30 hari dan berbungkus-bungkus? Anda buatlah kira-kiranya sendiri.

Selain membakar duit, akibat buruk dan serius tabiat merokok ini jelas tertonjol pada penyakit yang dihidapi oleh pakcik-pakcik tadi. Kasihan bukan. Sudahlah duit hangus rentung dibakar begitu sahaja. Badan pula ditimpa penyakit yang menggerunkan orang ramai. Sebut sahaja kanser, pasti ramai akan membayangkan batu nisan. Kerana hakikatnya kanser adalah penyakit agresif yang merebak dan boleh menempah maut.

Tetapi anehnya, pakcik-pakcik ini tidak serik dan sedar-sedar. Walaupun sudah disahkan malah sudah menjalani pembedahan membuang kanser serta menjalani rawatan susulan, mereka masih lagi tidak dapat membuang tabiat buruk mereka. Masih tidak mengambil pengajaran dan iktibar atas apa yang menimpa diri mereka sendiri. Apabila ditanya oleh registrar samada mereka sudah berhenti merokok. Jawapan mereka semua sinkroni, 'It's difficult'.

Ya. Ketagihan adalah sesuatu yang sukar untuk dilepaskan sekali kita terjebak dalam perangkapnya. Apa-apa ketagihan sekalipun seperti dadah dan pornografi. Akan terasa begitu berat untuk dilepaskan. Malah begitu sukar sekali untuk dilepaskan secara mendadak walaupun badan kita sudah memperlihatkan akibatnya.

Mungkin kita sering beralasan dan berhujah untuk terus bergelumang dengan ketagihan itu,

"Ni badan aku. Suka hati akulah nak buat apa pun. Kalau sakit pun aku sendiri yang tanggung. Bukan orang lain".

Hujah dan alasan yang sungguh bongkak lagi angkuh kerana kita terlupa agaknya badan kita ini adalah milik Allah. Kerana Dia telah berfirman,


Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu menjadi manusia yang berkembang biak.
(Ar-Rum, 30:20)


Ya. Badan kita hanyalah milik Allah yang mutlak. Tidak pernah dan tidak akan sekali-kali menjadi milik kita. Kerna Dia yang menciptakan kita dari tanah. Dan kita ini hanya peminjam. Yang apabila tiba suatu masa yang ditetapkan wajib kita memulangkan kembali kepada pemiliknya.

Analogi mudah. Badan kita sebenarnya ibarat uniform yang dipinjamkan Allah kepada kita untuk kita menutup badan ketika menghadiri sesi persekolahan di dunia. Badan kita boleh disamakan sebagai uniform manakala roh adalah tubuh yang dibaluti uniform. Agar dapat kita menjalani sesi persekolahan di dunia.

Dan Allah meminjamkan uniform atau tubuh kita ini dengan keadaan suci dan bersih ketika dilahirkan. Bukan dibeli. Bukan dihadiahkan. Hanya pinjaman semata-mata. Satu amanat yang Allah berikan kepada kita untuk dijaga.

Maka, bolehkah kita menconteng, mengubah atau mengotorkan ia? Bolehkah kita berbuat sesuka hati malah mengabaikan ia sehingga dalam keadaan yang dhaif? Bolehkah kita?  

Sedangkan apabila tiba masa yang ditetapkan, Allah akan meminta kembali haknya. Dan adakah ketika itu adakah kita akan pulangkan uniform kita yang pada mulanya bersih lagi suci dalam keadaan lusuh, kotor, berbau dan compang-camping? Lusuh kerana kita mengabaikan kesihatan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit. Kotor kerana diconteng dengan lukisan-lukisan tatu. Berbau kerana paru-paru diselubungi dengan asap rokok. Dan compang-camping pada paru-paru dirosakkan oleh bahan kimia rokok dan rosak organ dalaman dikerjakan dadah.

Oleh itu, adakah Allah akan melepaskan sahaja perbuatan kita yang mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga amanatnya itu?

Tidak. Sudah pasti tidak. Bahkan kita akan disoal. Disoal bertubi-tubi dan kita bakal berhadapan dengan hukumannya. Dan apakah jawapan yang bakal kita berikan? Mampukah kita untuk menjustifikasikan perbuatan kita itu?

Yalah. Kalau orang pinjam kereta kita dan pulangkan dalam keadan remuk dan bercalar di sana-sini, adakah kita akan lepaskan sahaja orang berkenaan? Sudah pasti tidak bukan. Malah kita akan meminta ganti rugi yang setimpal. Jadi, samalah konsepnya dengan badan kita.

Maka dengan itu, saya ingin mengajak semua untuk kembali muhasabah diri dan mengingati kembali tanggungjawab kita terhadap tubuh badan kita. Pelihara dan jagalah ia sebaik-baiknya. Tinggalkanlah tabiat merokok yang akan merosakkan paru-paru. Tinggalkanlah ketagihan pornografi dan dadah yang merosakkan akal dan jiwa. Tinggalkanlah segala perbuatan yang membawa kepada kemudharatan badan kita. Tinggalkanlah.

Dan gunakanlah bulan Ramadhan ini untuk memulakan langkah pertama dalam meninggalkan segala tabiat buruk kita. Baik merokok, pornografi, dadah, makanan yang tidak berkhasiat dan seumpamanya. Bagi yang kuat dan mampu, tinggalkan terus. Just go cold turkey. Bagi yang tidak mampu, kurangkan sedikit demi sedikit. Merangkak dahulu kemudian berlari. Bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk kita tinggalkan tabiat lama yang buruk dan membina tabiat baik. Dan jangan pernah kita berputus asa dengan rahmat Allah,


Katakanlah, "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sunnguh Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. 
(Az-Zumar, 39:53)


Nah, Allah sudah nyatakan belum terlambat lagi bagi kita untuk memohon ampun dan taubat daripadaNya selagi roh kita belum berpisah daripada jasad. Maka gunakanlah peluang itu sebaik mungkin agar kita tidak menyesal di akhirat kelak.  

Jangan lagi diberi alasan untuk kita terus menghalalkan perbuatan kita yang salah kerana ingatlah Allah akan mempertanggungjawabkan setiap perbuatan dan amal kita. Jadikanlah Allah sebab utama kita meninggalkan semua yang tabiat buruk. Hanya kerana inginkan redhaNya. Kerana itu adalah sebab dan faktor yang paling kuat dalam membantu kita berusaha membuang segala perbuatan dan tabiat buruk kita.

Semoga Allah permudahkan bagi kita untuk meraih redhaNya dalam bulan mulia ini.   




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...