Pages

July 14, 2014

Hello, Boleh Saya Bercakap Dengan............



Call Him and He will answer (Credit)




Suasana Conference Room di wad G73 itu gelap dan sunyi. Tiada kelibat seorang manusia kelihatan. Mata saya menoleh ke arah jam di tangan. Jarum jam baru menunjukkan lagi sepuluh minit sebelum pukul 8 pagi. 

"Tak pukul 8 lagi. Handover meeting habis awal ke hari ni? Mana nak cari team ni." Monolog saya sendirian di koridor tingkat 7 itu.

Kerana kepenatan semalamnya baru pulang bermusafir, pagi itu saya terlambat untuk ke hospital. Terlepas handover meeting yang kebiasaannya berjalan pada jam 7.30 dan berakhir pada pukul 8. Handover meeting adalah perjumpaan para doktor dari semua team untuk diserahkan pesakit yang datang ke emergency department pada malam sebelumnya. Senang cerita, pesakit diserahkan daripada emergency team kepada surgery team untuk rawatan lanjut. 

Saya mula kaget. Titik peluh mula merembes di dahi. Nampaknya handover habis awal hari itu. Saya mula berkira-kira cara untuk mencari ke mana ahli team lain. Tetapi kebiasaannya selepas handover, mereka akan melakukan ward round. Walaubagaimanapun, kerana besarnya hospital dan merata-rata pesakit dalam team kami ditempatkan, tidak dapat saya agak ke wad mana team saya tujui.

Akhirnya, telefon bimbit dikeluarkan dan pantas jari-jemari menekan skrin menghantar teks kepada group Watsapp "Unit 4 Med Student ONLY". Group watsapp kami pelajar perubatan berlima untuk Surgery Team 4.

"Hey guys, where are you at the moment?"

Lima minit berlalu. Sepi. Tiada yang membalas. Semua sibuk dengan ward round barangkali. Tetapi saya tidak mengalah. Kaki tetap diatur melangkah mengelilingi wad tingkat 7 itu. Kemudian ke wad di tingkat 6. Kemudian ke ICU. Berlegar-legar dan berulang-alik saya berjalan mengelilingi wad dengan harapan akan bertemu dengan salah seorang daripada mereka. Tetapi hampa. Seorang pun kelibat mereka tidak kelihatan malah telefon bimbit juga sepi tidak bergetar. Tanda tiada siapa yang membalas Watsapp.

Selepas lima belas minit berlalu barulah salah seorang rakan membalas Watsapp dan memberi lokasi terkini di mana team berada. Melihatkan jawapan tersebut, bergegas kaki saya melangkah menuju wad yang disebutkan. Malangnya, sampai sahaja di sana, saya terlambat dan ketinggalan lagi. Team saya sudah mula bergerak ke wad lain. 

Sekali lagi saya bertanya di group Watsapp. 

"I missed again. Which ward are you guys right now?"

Setelah 10 minit, barulah salah seorang rakan membalas kembali. Sekali lagi kaki melangkah laju menuju wad yang disebutkan. Akhirnya saya kembali bersama dengan team dan sama-sama mengikut mereka membuat ward round. Itupun selepas hampir 40 minit berlegar-legar mencari.

Mungkin ramai yang rasa entah apa-apalah yang direpekkan di atas. Cerita tidak berjumpa dengan team di hospital? Mungkin juga ramai yang kurang faham dengan segala perkataan dan situasi sebenar yang cuba disampaikan. 

Tolak itu semua ketepi. Poin utama yang saya cuba sampaikan di sini adalah komunikasi. Bagaimana ketika saya menghantar Watsapp dan menanti-nanti balasan daripada ahli kumpulan. Sudahlah tidak semua membalas mesej malah agak lama pula masa yang diambil untuk membalas. Itulah komunikasi sesama manusia. Lambat dan kadang tidak semua melayan.

Cukup berbeza jika kita berkomunikasi dengan Pencipta kita. Setiap kata-kata, setiap permintaan, setiap luahan hambaNya akan didengari dan dibalas tidak kira masa. Setiap saat, setiap minit, 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Tidak pernah sesekali Dia tidak mendengar malah didengari oleh Allah setiap luahan hambaNya tanpa perlu hambaNya menunggu giliran. Jika 1000 hambaNya sedang berdoa meminta kepadaNya detik itu, Dia akan mendengar setiap satu permintaan mereka detik itu juga. Maha Agung Allah.

Jika kita, hamba marhaenNya ini sudah pasti tidak mampu. Mana mungkin seorang ibu boleh membalas pertanyaan dan memenuhi permintaan lima orang anaknya serentak. Walau bagaimana sayangnya seorang ibu itu pada anak-anaknya, mereka masih perlu menunggu giliran sebelum pertanyaan dan permintaan mereka ditunaikan satu-persatu.

Tidak bagi Allah. Kerana sayang dan kasihnya Allah pada hambaNya, akan didengari dan ditunaikan permintaan mereka. Sepertimana firmanNya,


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(al-Baqarah, 2:186)  


Begitulah dekatnya Allah dengan kita. Begitulah kasihnya Allah pada kita. Sehinggakan Dia menurunkan dalam QalamNya agar kita meminta dan berdoa memohon tidak lain hanya padaNya. 

Sehinggakan Allah menggunakan 'Aku' untuk menunjukkan betapa dekatnya Dia dengan kita. Tetapi kita? Bagaimana reaksi kita apabila membaca firmanNya ini? Adakah terasa seperti Allah sedang berbicara dengan kita? Atau adakah ianya sekadar menembusi mata tetapi tidak menembusi hati?

Allahu.

Takut. Takut saya jika hati sudah terlalu keras untuk merasakan getaran tatkala membacakan QalamNya ini. Takut jika kerana jauhnya dari dengan Allah, hati sudah kering untuk terasa basah dengan firman-firmanNya. 

Memaknai kembali firmanNya di atas, kita sepatutnya tidak boleh merasa jauh denganNya. Kerana hakikatnya Allah sentiasa dekat dengan kita. Sentiasa menanti-nanti kita untuk kembali menghadapNya. Sentiasa menunggu kita untuk berhubung denganNya. Sentiasa menanti kita meminta kepadaNya.

Dan kerana kasih dan sayangkan hamba-hambaNya, Allah menyatakan lagi bahawa Dia akan memperkenankan permohonan hamba yang berdoa kepadaNya. Cukup mudah. Hanya dengan berdoa. Tidak Allah minta kita mengorbankan apa-apa untuk dikabulkan setiap permintaan kita. Tetapi hanya perlu meminta. Hanya perlu mengangkat talian untuk berhubung denganNya. Hanya perlu kita memulakan talian itu.

Jadi apa lagi yang menghalang kita untuk menadah tangan berdoa kepadaNya? Apa lagi yang menghalang kita untuk bersujud panjang meminta kepadaNya? Apa lagi yang menghalang kita untuk sentiasa berserah kepadaNya?

Jika ada yang menghalang sudah pasti hati kita. Hati kita yang sarat dengan dosa dan noda. Hati kita yang dipenuhi perasaan ego. Hati kita yang keras diselaputi karat jahiliyah.

Maka, lunturkanlah ego itu. Rendahkan hati. Ingatlah yang kita ini tidak lebih daripada seorang hamba yang tiada apa-apa. Datang ke dunia dengan belasNya. Diberi kenikmatan dunia dengan rahmatNya. Malah segala-gala yang kita ada adalah kerana kasihNya.

Kembalilah kepadaNya. Jika sebelum ini kita begitu keras, tegar dan angkuh sehingga melupakanNya saban waktu, gunakanlah bulan Ramadhan yang berbaki lagi separuh ini untuk meminta padaNya. Meminta agar dijauhkan daripada menjadi hamba kepada nafsu atau syaitan tetapi hanyalah hamba kepadaNya. Meminta agar hati kita lembut dan basah dalam membaca bait-bait qalamNya di dalam al-Quran. Meminta agar hidayah Allah itu datang untuk membimbing kita menjadi 'abid yang sebenar-benarnya.

Masih belum terlambat untuk berpatah balik ke jalan yang lurus. Jalan yang diredhai Allah. Lambat itu hanyalah apabila nyawa sudah dihujung halkum. Selagi nyawa masih dikandung jasad, kita masih berpeluang untuk bertaubat dan kembali ke dakapan kasih Allah. Menjadi hambaNya yang taat. 

Yang penting adalah keinginan hati dan kekuatan diri untuk bergerak mendekatiNya kerana sesungguhnya Dia tidak pernah jauh dengan kita malah,


....... dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
(Qaf, 50:16)


Allah. Begitu dekat Dia dengan kita. Kita merasakan urat leher kita itu sudah terlalu dekat dengan kita, tetapi, Allah itu lebih dekat. Maka mengapa kita masih berpaling daripada mengingati dan meminta padaNya?  

Maka, jadilah hamba yang mengangkat talian untuk berhubung dengan Allah. Bagaimana caranya? 

Solat. Solat adalah cara perhubungan terus kita dengan Allah. Tiada tapisan. Tika ini, rasailah rasa manis berhubung dengan Allah. Meminta kepadaNya dalam sujud. Ikhlas dan khusyukkan hati hanya untukNya. InsyaAllah Allah akan membalasnya dengan cara yang mungkin tidak kita sangka. 

Jika ingin mendengar kata-kataNya berbicara dengan kita, bukalah kembali al-Quran. Selaklah ia kembali. Bacalah tiap baris ayat yang terkandung. Kita akan dapati sudah banyak kali Allah menyatakan kasihNya pada kita. Sudah banyak kali Allah berkata-kata dengan kita. Cuma kita yang tidak berusaha untuk menghayati dan merasai ayat-ayatNya.

Kini dalam sedar atau tidak, sudah lebih separuh Ramadhan kita lalui. Bagaimana sudah dengan amal kita? Semakin perlahan atau semakin laju melangkah sebelum memecut di akhir Ramadhan? Semoga Ramadhan kali ini dimanfaatkan sebaiknya dengan amal dan doa. Dan berusahalah membina diri menjadi hamba yang patuh pada Sang Pencipta.

Ayuhlah kita mengambil peluang Ramadhan yang berbaki lagi separuh untuk memperbaiki diri kita dan kembali tunduk penuh rendah diri kepada Allah. Semoga Allah permudahkan setiap perjalanan hamba yang menuju kepadaNya. 







P.S: Sebelum terlupa, jangan lupa didoakan saudara-saudara kita di Gaza yang sedang berjuang.

P.S.S: Setiap 'team' mewakili consultant (doktor pakar), registrar (doktor yang sedang dalam proses menjadi doktor pakar), resident (selepas habis housmanship), intern (housman), medical student (pelajar perubatan). Setiap team akan mempunyai semua lapisan dalam hiraki ini. Jadi saya lah di lapisan yang paling bawah.        

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...