Baklava, sejenis juadah tradisi masyarakat Turki. (credit) |
Hari ini hari ke enam saya bermusafir. Bermusafir untuk menadah setitik ilmu Allah yang cukup luas. Luasnya sehinggakan jika ketujuh-tujuh air laut dijadikan dakwat untuk menulis, tidak akan cukup untuk segala ilmu Allah. Mungkin juga ilmu yang ingin ditadah ini kurang daripada setitik ilmu Allah. Malah mungkin sebesar zarah cuma.
Permusafiran kali ini melangkaui bandar, negeri malah merentasi benua. Dari hujung benua ke hujung benua seberang sana yang memakan masa berjam-jam melalui udara dan menjangkaui beribu-ribu batu. Malah menelan belanja yang agak besar bagi seseorang yang bergelar pelajar. Tetapi semua ini cukup kecil jika dibandingkan dengan segala kurniaan Allah yang lain.
Perjalanan yang jauh, perbelanjaan yang besar dan masa yang dikorbankan boleh menjadi uijian yang besar bagi sesetengah orang. Banyak yang perlu dipertimbangkan jika dilihat dari sudut pandang seorang pelajar yang mempunyai kekangan masa dan wang. Masa yang sepatutnya dihabiskan untuk bersantai atau menelaah pelajaran, diluangkan untuk menghadiri daurah. Wang yang seciput untuk disimpan setelah ditolak segala belanja makan dan sewa rumah pula digunakan untuk menampung pembelian tiket. Oleh itu, setiap manusia itu diuji dengan ujian yang berbeza bersesuaian dengan kemampuan mereka.
Setiap permusafiran itu pasti kita akan diuji dalam sedar atau tidak. Ujian kesenangan atau kesusahan. Dan sepanjang bermusafir kali ini, saya juga dikurniakan Allah dengan ujian. Jika dilihat, mengapa perkataan kurnia yang saya gunakan? Bukankah ujian itu sesuatu yang sukar dan mencabar untuk dihadapi? Mengapa ia satu kurniaan?
Tidak lain kerana ujian itu sebenarnya satu anugerah yang dikurniakan Allah hanya untuk mendidik secara terus kepada hambaNya. Sepertiman firmanNya,
Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?
(Al-Ankabut, 29;2)
Allah itu tidak akan pernah sekali-kali menzalimi malah Dia amat mencintai hamba-hambaNya. Dan oleh yang demikian, Dia tidak akan sekali-kali menurunkan ujian yang tidak mampu untuk dihadapi oleh hambaNya. Seperti itu jugalah ujian yang dikurniakan Allah pada perjalanan jauh kali ini iaitu ujian ukhuwwah.
Ya. Ukhuwwah. Tali persaudaraan yang diikat dengan kalimah syahadah. Dan sering kali kita mendengar kata-kata seperti ukhuwwah fillah. Ukhuwwah fillah abadan abad. Kata-kata yang sering diungkapkan sesama akhawat tatkala bersalam berlaga pipi. Kata-kata yang sering tertulis di dalam kad untuk akhawat yang lain. Atau paling tidak, pasti pernah kata-kata ini dilihat digunakan dalam blog atau facebook untuk mengespresikan perasaan kasih dan sayang hanya kerana Allah.
Ukhuwwah. Setiap kali melihat atau mendengar perkataan ini, yang terlintas di benak fikiran saya hanyalah perkara-perkara manis. Manisnya makan beramai-ramai dalam dulang. Perasaan manisnya tatkala berlaga pipi kiri dan kanan bersama akhawat lain yang baru kali pertama berjumpa tapi terasa dekat seperti pernah bertemu sebelumnya. Manisnya keluar berjaulah beramai-ramai mentadabbur alam. Sehinggakan manisnya semanis baklava atau mungkin lebih lagi.
Sejujurnya, saya sangat menghayati dan menikmati manisnya ukhuwwah ini. Tidak dinafikan perasaan yang hadir cukup mengujakan dan membina hamasah apabila dapat berkumpul dan bersama-sama dengan para akhawat untuk terus maju di atas jalan ini. Untuk bersama-sama berganding bahu menyampaikan ad-deen mulia ini.
Malangnya, persepsi saya terhadap ukhuwwah berubah tatkala diri diuji dengan ujian ukhuwwah. Berubah 360. Rasa manis terus bertukar menjadi masam, pahit, kelat dan segala jenis perasaan tidak enak bercampur. Mungkin kerana saya telupa bahawa setiap orang malah akhawat itu sendiri tidak akan pernah sunyi daripada kesilapan. Mereka bukan maksum seperti nabi. Mereka juga bukan malaikat. Malah tarbiyyah sebenarnya tidak melunturkan karakter asal mereka tetapi sebaliknya menyalurkannya ke arah membangunkan ad-deen ini ke ustaziyatul alam.
Setiap manusia yang diciptakan Allah mempunyai karakter mereka tersendiri yang unik. Oleh kerana itu, dunia ini penuh warna-warni. Jika tidak, sudah pasti dunia ini pudar dan kusam. Baju hanya satu warna. Bangunan hanya satu warna. Kereta di jalan raya hanya satu warna. Bosan bukan?
Kerana itu, pelbagai warna mewarnai dunia. Merah, hijau, kuning. Pelbagai warna yang jika dicampur dan diolah akan menghasilkan satu warna baru yang harmoni atau mungkin juga menghasilkan warna yang kurang menariknya.
Begitu jugalah manusia. Mereka mempunyai warna karakter mereka tersendiri yang akan menghiasi perjalanan hidup setiap daripada mereka. Dua orang yang sama atau berlainan karakter boleh mewujudkan simfoni hidup yang harmoni. Tetapi dua orang juga boleh bertentangan dan tidak boleh bercampur seperti minyak dengan air kerana perbezaan karakter mereka. Kerana setiap daripada mereka unik. Jika semua mempunyai karakter yang sama, sudah pasti hidup ini tiada corak dan turun naiknya.
Daie juga begitu. Sama seperti manusia lain. Ada karakter tersendiri. Tarbiyah tidak merubah mereka menjadi malaikat yang tiada nafsu. Kerana hakikatnya mereka tetap manusia biasa. Kerana itu, dua karakter ini boleh melengkapi dan membantu satu sama lain untuk terus meluncur laju dalam gerabak tarbiyah ini. Tetapi kadang-kala dua karakter lain seperti ini tidak boleh bercampur kerana terlalu berlainan sifat mereka. Sering bertentangan pendapat. Sering tidak sehaluan. Sering tidak sama kepala.
Tika inilah erti sebenar ukhuwwah perlu diselami dan dimaknai. Ukhuwwah tidak lain adalah apabila kita dapat menerima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada akhawat itu. Boleh bertoleransi dengan perangai dan sifatnya. Boleh berlapang dada dengan perlakuan dan percakapannya. Itulah ukhuwwah sebenar. Bukan sekadar yang manis diambil tetapi hakikatnya yang pahit, masam dan kelat juga perlu ditelan dengan senyuman. Kerana ukhuwwah ini hanyalah kerana Allah dan Allah jualah yang memberikan mereka kepada kita sebagai hadiah dan sebagai tarbiyyah buat kita.
Ada yang tidak tahan dengan kekotoran tetapi akhawat yang bersama kurang menjaga kebersihan. Ada yang tidak dapat menerima percakapan yang kasar tetapi akhwat yang bersama cakapnya lepas dan menusuk kalbu. Ada yang cukup sensitif tetapi akhawat yang bersama sering mengekspresikan emosinya. Tika inilah Allah ingin melihat adakah ungkapan ukhuwwah fillah telah kita imani dengan sebenarnya-benarnya. Atau ia sekadar tergantung di bibir tetapi tidak turun ke hati. Saat inilah sikap toleransi, sikap terbuka dan berlapang dada kita diuji.
Dan adakah benar kita sudah cukup berlapang dada untuk menghadapi mehnah ukhuwwah ini?
Kerana serendah-rendah tahap ukhuwwah adalah berlapang dada dan tahapan paling tinggi adalah itsar (mendahulukan yang lain).
Dan adakah benar kita sudah cukup berlapang dada untuk menghadapi mehnah ukhuwwah ini?
Kerana serendah-rendah tahap ukhuwwah adalah berlapang dada dan tahapan paling tinggi adalah itsar (mendahulukan yang lain).
Jika sesama daie juga sudah tidak dapat berlapang dada, bagaimana ingin berhadapan dengan pelbagai jenis manusia di luar sana? Jika kerana tidak serasi dengan akhawat kita sudah bermasam muka dan mencuka di dalam hati, cukup kuatkah kita untuk bertahan jika dakwah kita ditolak oleh orang di luar sana? Jika kerana terguris hati dengan akhawat kita sudah tekad ingin meninggalkan jalan dakwah ini, sudah cukup ikhlaskah kita berada di jalan dakwah ini kerana Allah?
Ukhuwwah ini perlu disandarkan pada keikhlasan kerana ianya adalah buah pada iman. Jika imannya sudah tidak teguh, lemah dan tidak subur sudah pastilah buah ukhuwwah itu tidak manis, tidak segar malah lebih teruk lagi apabila ia membusuk. Pupuk dan semailah keikhlasan dan perbesarkanlah kata memberi.
Jangan mengharapkan sahabat sekental dan sekuat Umar jika kita sendiri tidak seikhlas Abu Bakar.
Ukhuwwah ini perlu disandarkan pada keikhlasan kerana ianya adalah buah pada iman. Jika imannya sudah tidak teguh, lemah dan tidak subur sudah pastilah buah ukhuwwah itu tidak manis, tidak segar malah lebih teruk lagi apabila ia membusuk. Pupuk dan semailah keikhlasan dan perbesarkanlah kata memberi.
Jangan mengharapkan sahabat sekental dan sekuat Umar jika kita sendiri tidak seikhlas Abu Bakar.
Maka santunilah mereka. Terimalah mereka seadanya. Sayangilah mereka. Hargailah mereka. Hargai saat-saat ukhuwwah itu semanis baklava dan sematkanlah perasaan itu dalam hati. Agar apabila ukhuwwah itu tidak lagi manis, perasaan yang pernah kita rasai masih tersemat rapi agar dapat melunturkan sedikit rasa kelatnya ujian ukhuwwah. Serta kepada Allah jualah kita kembali memohon kekuatan untuk menghadapi ujian ini kerana hanya Dialah yang mengizinkan ujian ini diturunkan pada kita.
Semoga Allah menguatkan dan mengutuhkan tali ukhuwwah agar kita dapat sama-sama mengenggam erat tangan antara satu sama lain dalam meredah jalan dakwah yang penuh ranjau ini. Dan semoga kita dapat berpimpin tangan melangkah ke syurgaNya.
Dan Dia Allah yang menyatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakjan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sungguh Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
Baklava.. unik nama.. memang manis ke?..
ReplyDeleteiwhoz.com baklava ni sangat manis. Baklava tu dibuat daripada pastri macam kulit popia. Lepas tu dilapis-lapiskan sampai tebal. Dan setiap lapis dicurah dengan air gula yang pekat. Memang sangat manis. Kalau orang yang tak suka manis, biasanya takkan suka baklava ni. Tapi saya sangat suka dan rasanya sangat sedap.
ReplyDeleteukhwah akan jai manis kalau betul caranya :)
ReplyDelete