Pages

July 31, 2014

Maaf, Saya Kerat Jari Kaki Pakcik!







"First floor." 

Kedengaran suara wanita persis robot mengumumkan lif sudah tiba di aras satu. Sara yang sedang sibuk menatar telefon bimbit untuk melihat perkembangan terkini di Gaza segera melangkah keluar dari lif. Matanya masih tidak berganjak daripada telefon bimbit Samsung Galaxy 4. Dibaca berita-berita terkini di Facebook Aqsa Syarif dan Aman Palestin sambil kakinya tetap melangkah tanpa berpandukan pancaindera penglihatannya. Hanya menggunakan pancaindera ke enam atau sixth sense barangkali. 

Masa-masa senggang yang sekejap inilah digunakan sebaik mungkin oleh Sara untuk menambah info-info dan maklumat-maklumat semasa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Jika tidak diambil peluang sebegini, alamatnya sampai ke petang dia tidak berhubung dengan dunia luar. Bagai katak di bawah tempurung jadinya dek terlalu sibuk bergerak  ke hulu dan ke hilir mengikut doktor dan berjumpa dengan pesakit.

Keluar sahaja dari lif, terus sahaja Sara membuka langkah panjang menuju ke arah bilik persalinan wanita yang terletak di hujung koridor. Dicapainya kad akses yang tergantung bersama-sama kad pelajarnya di leher sebelum menyuakan kad tersebut pada kotak akses di tepi pintu. Lantas ditolak pintu yang agak berat itu dan kemudiannya masuk ke bilik persalinan yang sunyi. 

Waktu-waktu begini, bilik ini kebiasaanya akan kosong memandangkan kebanyakan para doktor dan jururawat sudah pun menukar pakaian kepada 'scrub' atau pakaian bedah dan berada di dewan pembedahan menjalankan tanggungjawab mereka. Melainkan seorang dua sahaja doktor atau jururawat yang singgah sebentar untuk ke tandas atau mengambil sesuatu daripada loker mereka. Nampaknya hari ini Sara terlambat.

Sebenarnya dia langsung tidak bercadang untuk mengikuti mana-mana pembedahan pada hari ini. Ikut perancangan awal, dia berkira-kira untuk berjumpa dengan pesakit yang baru dimasukkan ke wad. Tetapi sebaik sahaja 'ward round' selesai pada pukul 9 tadi, Dr Ritter, seorang Fellow atau pakar bedah kumpulan pembedahan vaskular yang sedang Sara ditempatkan sekarang bertanya,

"Who wants to chop off someone's toe today?"

"Wow! Potong jari orang? Macam menarik. Aku pun tak pernah tengok lagi pembedahan ni sebelum ni." Suara hati Sara berbisik. 

Walaupun dia agak terkejut dengan pertanyaan Dr Ritter yang sangat straight to the point itu, tetapi ini adalah peluang keemasan baginya, seorang pelajar perubatan yang masih hingusan. Yang masih belajar bertatih dan masih sedang meneroka ilmu perubatan yang cukup luas ini. Ibaratnya seperti seorang anak kecil yang dihulurkan alat permainan berwarna-warni yang baru. Sungguh mengujakan.  

Selesai mengenakan sepasang 'scrub' berwarna biru gelap seperti yang sering dilihat dilayar televisyen dalam siri Grey's Anatomy, Sara menyarung tudung Ariani berwarna pink belacan pemberian ibunya sebelum memasukkan tudung itu ke dalam leher baju. Polisi hospital yang harus dipatuhi untuk mengelakkan penyebaran kuman dan bakteria. 

Kemudian dia memandang penampilannya di cermin. Sekuntum senyuman kecil terukir di bibirnya. Tanda berpuas hati dengan refleksi dirinya sendiri. Dicapai pula satu penutup kepala plastik di atas sink di sudut kanan cermin sbelum disarungkan di atas tudungnya. Sekali lagi dia membelek penampilannya di cermin. Kemas. Setelah berpuas hati barulah kakinya melangkah keluar dari bilik persalinan menuju ke dewan pembedahan. Biasalah perempuan. Memang tidak sah kalau tidak menjaga penampilan diri. 


*****


"You better hurry up or I'll be done by the time you put on the gloves."

Kata-kata Dr Ritter memecah kesunyian Dewan Bedah 4. Doktor pakar bedah berusia pertengahan 40-an dan berasal dari Jerman itu berpaling sekilas ke arah Sara yang masih terkial-kial menyarung sarung tangan nyahkuman keduanya. 'Double gloving'. Iaitu satu teknik di mana dua pasang sarung tangan getah nyahkuman disarung sebelum prosedur pembedahan dijalankan. Satu lagi polisi hospital yang harus dipatuhi walau kadang-kadang pakar bedah sendiri tidak mengikutinya. Leceh. Bukan mudah menyarung sarung tangan getah kedua di atas tangan sudah mempunyai selapis sarung tangan getah. Lebih-lebih lagi pelajar sepertinya yang baru beberapa kali mengikuti pembedahan.

Terkocoh-kocoh Sara menyarungkan sarung tangan getah keduanya. Usai menyarungkannya dengan susah payah, Sara bergerak ke meja pembedahan di mana seorang pakcik berusia 70-an sedang terbaring tidak sedarkan diri. Tidur setelah diberikan ubat bius. 

Dr Ritter pula sedang duduk di atas sebuah kerusi bulat sambil menghadap kaki kanan pakcik tersebut yang dilapisi dengan 'drape' nyahkuman yang berwarna biru. Seperti yang yang sering ditayangkan dalam drama-drama berkonsepkan medikal seperti Grey's Anatomy atau House. Begitulah suasananya.

"Sit." 

Arah Dr Ritter sambil menunjukkan ke arah sebuah lagi bangku bulat disebelahnya. Segera Sara mengambil tempat disebelah Dr Ritter. Takut ditegur lagi jika lambat dan berlengah-lengah.

Di hadapannya kini terjulur kaki pakcik tadi. Tidak normal kondisinya. Terdapat satu ulcer besar pada jari kaki ketiganya dan di hujungnya agak kehitaman. Tanda jari sudah buruk dan tidak dapat diselamatkan akibat komplikasi jangka panjang daripada penyakit kencing manis yang dihidapi selama puluhan tahun oleh pakcik ini.

"Take this knife and cut through the toe. Follow the line I already marked."

Sara agak terpinga-pinga dengan kenyataan Dr Ritter.

"Betul ke doktor ni nak aku kerat jari pakcik ni? Aku datang nak tengok je dan aku ni taraf student je kot. Mana boleh main kerat je jari orang." Hati Sara tertanya-tanya.

Dalam terpinga-pinga untuk menjawab, Dr Ritter sudah menyuakan scapel (pisau bedah) yang terletak di dalam kidney dish (bekas di mana alatan bedah sering diletakkan) berwarna kuning. Mahu tidak mahu, dicapai juga scapel tersebut. 

Terketar-ketar tangan Sara memegangnya. 

Peluh dingin mula merembes di dahinya. Jantungnya mula mengepam lebih laju, menyalurkan lebih banyak darah ke aorta. Dadanya mula berombak, memaksa paru-parunya untuk menyedut lebih banyak oksigen. Dan hujung jarinya mula terasa beku. Masakan tidak. Dia bakal memotong jari orang buat pertama kalinya dalam hidup.

Sara menarik nafas dalam. Kemudian dihembus perlahan. Cuba menenangkan diri. 

Setelah agak stabil dan rasa gemuruh agak terkawal, Sara mula memposisikan scapel  ke atas jari kaki pakcik tadi dan mula membuat torehan dalam.

"Push the knife harder. Just cut it all the way to the bone." sekali lagi Dr Ritter memberi arahan.

Tekanan yang lebih diberikan pada scapel di tangan Sara agar pisau bedah itu menusuk masuk sehingga ke tulang jari.

Tiba-tiba Dr Ritter melabuhkan tangannya ke atas tangan Sara. Dipegang tangan Sara sambil cuba mengarahkan tangannya agar menolak scapel itu lebih dalam.

"Yes. That's it. Follow the marked line but be careful not to cut your own finger."

Dr Ritter memberi galakan sambil tangan dia masih memandu tangan Sara membuat lingkaran pada jari kaki pakcik tadi. Mungkin bimbang jika berlaku kesilapan dan kecederaan yang tidak diingini. 

Darah mula menitis dengan agak banyak. Kesan daripada torehan yang mengelilingi jari kaki pakcik. Dr Ritter meminta sekeping kapas kasa lalu menekap kesan luka. Mengelap darah yang mengalir.

Kemudian dia meminta alat bedah seterusnya daripada jururawat yang bertugas. Sara sendiri tidak pasti namanya. Pertama kali dia melihat alat tersebut. Rupanya seakan-akan playar tetapi sedikit besar saiznya dan dibuat daripada besi tahan karat keseluruhannya. Di hujungnya pula tidak tumpul tetapi tajam seperti gunting.

Dihulurkan alat bedah tersebut kepada Sara. Dan buat kesekian kalinya Sara terpinga-pinga.

"Nak buat apa dengan benda ni?" getus hati Sara.

"Put it on the toe and press the handle. This will crush the bone."

"Jap. Jap. Apa dia? Ni nak kerat terus sampai putus ke? Dan dia nak aku buat? Biar betik doktor ni. Aku ni student je weh." Sara memprotes di dalam hati.

"Here. Take this." 

Ujar Dr Ritter sambil meletakkan alat tersebut dalam genggaman Sara. Separuh hati Sara memegang pemotong tersebut.

"Bismillahirrahmanirrahim."

Hati Sara berbisik menyebut nama Allah sambil matanya terpejam rapat tatkala tangannya menekan kuat pemegang alat pemotong tersebut.

Krakkk.

Bunyi yang tidak enak menerobos gegendang telinga. Agak mengerikan. Bunyi tulang hancur dipatahkan.

Perlahan Sara membuka mata. Di tangannya kini kelihatan jari kaki pakcik tadi sudah tercerai daripada kaki dan kini melekat pada alat pemotong.

Ngeri. Gerun. Mual dan meloyakan.

Sara merasakan dirinya seolah-olah seorang aktres yang sedang berada di pentas layar perak melakonkan salah satu babak cerita seram. Adegan kerat-mengerat anggota badan manusia. Cuma yang berbeza hanyalah tiada jeritan dan raungan kesakitan pakcik tadi.

Alat bedah bersama-sama jari kaki tadi dihulurkan kepada Dr Ritter. Dr Ritter dengan selamba dan tenangnya mengambil jari kaki tersebut lalu dimasukkan ke dalam sebuah balang kecil untuk dihantar ke makmal dan diperiksa.

Sara hanya memerhati. Membisu seribu bahasa. Masih agak terkejut dengan apa yang tangannya sendiri telah lakukan.

"Maaf pakcik. Saya dah kerat jari kaki pakcik."

Bisik Sara di dalam hati. Terbit rasa bersalah dalam hati Sara walaupun sebenarnya dia tahu tiada kesalahan yang telah dia lakukan. Mungkin impak memotong jari orang buat pertama kali yang menimbulkan perasaan demikian. Potong kaki ayam pun dia tidak pernah. Inikan pula potong jari manusia.

"Tapi Dr Ritter ni macam tak rasa pape pun. Selamba badak je dia pegang jari pakcik tu. Siap buat muka biskut Marie lagi. Takde perasaan langsung ke dia ni eh? Hurmmm.."



*****


Sofa merah hati yang terletak di satu penjuru ruang tamu rumah berkembar dua tingkat itu menjadi sasaran Sara melabuhkan punggung. Dihenyakkan punggungnya di atas sofa empuk itu untuk menghilangkan seketika kepenatan dan keletihan setelah seharian dia berada di hospital. Dipicit-picit bahunya dan tengkuknya sebelum beralih menumbuk-numbuk perlahan betisnya yang lenguh.   

"Eh, baru balik ke Sara?"

Sara mengangkat mukanya dan matanya jatuh pada susuk tubuh di hadapannya, Hani, teman serumahnya.

"Aah. Baru je sampai. Duduk hilangkan penat jap. Awal balik hari ni Hani?"

Hani mengambil tempat di sebelah Sara. Dihadapkan wajahnya agar bertentang dengan teman serumah merangkap sahabat baiknya sejak di bangku sekolah menengah lagi.

"Hari ni awal sikit. Doktor lepas awal. Tak ada apa yang happening sangat dekat wad." Jelas Hani pada persoalan Sara.

"Ada apa-apa yang best ke jadi hari ni?" Soal Hani sambil matanya masih tetap tertumpu pada Sara.

"Saya kerat jari kaki sorang pakcik ni. Dr Ritter suruh buat. Seriously ngeri dan geli." Sara membalas sambil riak wajahnya jelas menunjukkan rasa geli yang dirasai. Jari kaki yang terputus itu kembali bermain-main di kotak fikirannya. Seperti diulang tayang kembali di kaca matanya apa yang telah terjadi hari ini.

"Wow! Bestnya! At least awak dapat new experience. Tak macam saya. Bosan je ke wad hari ni." Ujar Hani teruja.

"Memang new experience. Tapi still susah sikit nak terima. Mana pernah saya kerat jari orang sepanjang hidup saya ni. Dah rasa macam pembunuh bersiri pun ada. Tapi kan, Dr Ritter ni muka dia rileks je. Selamba je dia pegang jari kaki pakcik tu." Sara menambah penuh animasi.

"Hahaha." Pecah ketawa Hani mendengarkan kata-kata Sara yang yang dirasakan lucu dan mencuit hatinya.

"Kelakar la awak ni Sara. Memanglah doktor tu selamba dan rileks je. Dah memang kerja dia tiap-tiap hari. Kalau tak setiap hari pun, dah berapa banyak kaki orang dia potong. Sampai tak rasa apa-apa dah sebab biasa sangat. Alah bisa tegal biasa. Kita yang student baru belajar ni akan rasa ngeri la. Tapi lama-lama nanti kita pun sama macam dia orang jugak."

"Ha'ah kan. Betul jugak tu. Entah-entah kita nanti pun tengok orang mati pun dah tak rasa apa-apa sebab biasa sangat. Macam doktor-doktor kat hospital tu."

"Tu lah. Bila sesuatu tu menjadi kebiasaan, kita akan hilang perasaan pada benda tu. Macam kalau kita buat maksiat atau jahiliyyah lah. Pertama kali buat maksiat tu akan rasa bersalah sangat. Rasa berdosa sangat pada Allah. Tapi kalau dah tiap-tiap hari duk pandang dan buat maksiat sama, rasa berdosa tu dah tak ada. Sebab tu kita tengok selamba je orang buat maksiat kat luar sana tu. Togak kencing syaitan. Makan riba. Menipu. Hubungan seks luar nikah. Sebab dah biasa sangat semua benda tu. Kita pun macam tu jugak. Ada je jahiliyyah yang kita duk buat tiap-tiap hari sampai kita tak rasa jijik untuk buat. Malah kita pandang remeh pulak. Macam solat akhir waktu. Malas baca quran. Riak. Ego. Semua-semua tu lah yang biasa kita buat. Memang tak nampak obvious dosanya tapi masih mengundang kemurkaan Allah. Tapi kita takkan rasa apa-apa lah sebab dah terbiasa sangat buat." 

Terang Hani panjang lebar menyampaikan pendapatnya.

"Betul tu. Betul sangat. Sebab tu lah kita tak boleh teruskan maksiat yang kita buat kan? Sekali dah terbuat tu kena cepat-cepat bertaubat dan tinggalkan terus. Kalau buat jugak second time, still akan rasa berdosa tapi dah kurang sikit. Masuk kali ketiga hilang terus rasa berdosa tu." 

Sambut Sara. Terangguk-angguk kepalanya mengiyakan kata-kata teman serumahnya itu.  

"Itulah tandanya hati dah keras. Keras diselaputi dosa-dosa maksiat dan jahiliyyah kita tu. Macam Allah kata dalam al-quran surah al-Baqarah ayat 74,

Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang airnya memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.

Powerfulkan ayat ni? Kerasnya hati kita lebih daripada batu sebab kita berpaling daripada al-quran dan melakukan segala larangan Allah. Sekeras-keras batu pun masih berubah bentuknya mengikut aliran sungai. Masih boleh menjadi lekuk bila ada air yang menitis atasnya buat masa yang panjang. Tapi hati manusia ni? Allah." 

Terang Hani penuh keinsafan sambil matanya menatap skrin telefon. Dia membaca kembali maksud ayat al-quran tadi melalui aplikasi al-quran yang terdapat dalam telefon bimbitnya.

"Sangat-sangat powerful ayat ni. Allah suka bagi perumpamaan dalam al-quran kan? Supaya mudah untuk kita hambaNya ni nak faham dan aplikasikan. Tapi ramai lagi manusia yang buta dan tak nampak. Degilnya lah manusia ni. Kalaulah mereka membaca dan memahami al-quran mesti dunia ni takkan kacau-bilau macam sekarang ni." Ujar Sara penuh rasa kesal.

"Itulah. Manusia sekarang dah jauh sangat daripada al-quran. Jadi bermula dengan kita lah untuk membina generasi al-quran tu kembali." Hani membalas.

"Betul sangat. Kita lah generasi muda yang perlu mulakan dulu. Sebab pemuda ni bersemangat dan penuh tenaga lagi. Kalau dah tua nanti kurang dah tenaga dan fikiran untuk membuat perubahan tu."

Sedang rancak dua orang teman serumah ini berbual, kedengaran azan berkumandang melalui telefon bimbit Sara.  

"Eh, dah pukul 5.30 dah. Dah masuk magrib pon. Jom kita solat jemaah sama-sama?" Cadang Sara sambil memerhati jam tangannya.

"Jom!" 
    





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...