Pages

July 12, 2014

Alangkah Lucunya Masyarakat Ini



credit

 
Suasana di bazar ramadhan gamat. Hingar dengan suara orang ramai berjual beli dan suara para penjual memanggil pelanggan. Bahang mentari yang memancar makin dirasai ditambah pula dengan kehangatan dapur di gerai-gerai yang sedang menyiapkan juadah untuk berbuka.

Asyraf mula tidak selesa. Badannya mula melekit dibasahi peluh. Kemudian berhimpit-himpit dan berlaga bahu tidak mengira jantina dalam suasana yang sesak itu. Dia benar-benar tidak selesa. Ingin sahaja dia melangkah pulang setelah mendapat ayam percik yang dicari. Tetapi kerana datang bersama rakan serumahnya, Faris, dia terpaksa menanti untuk pulang bersama.

"Hajat hati nak beli ayam percik je. Tapi lama lah pula. Faris ni pun lama benar cari ayam goreng. Ke dia pergi borong semua makanan kat bazar ni? Mamat sorang ni bukan boleh kira sangat." Hati Asyraf mengomel.

Pantas telefon bimbit Samsung Note 2 yang terletak di dalam poket dicapai dan nombor Faris di dial.

Deringan telefon di talian sebelah sana kedengaran seketika sebelum talian diangkat.

"Assalamualaikum Faris. Weh, kau kat mana sekarang? Tak habis lagi ke beli makanan berbuka?"

"Aku tengah beli makanan lagi ni. Rambang mata kot tengok banyak sangat. Semua benda pon aku nak. Kau dah siap ke?"

"Weh, agak-agaklah. Takkanlah satu bazar ni kau nak beli. Tamak benar kau. Belilah yang kau nak sangat kat rumah tadi. Ayam goreng tu. Pastu jom ah balik. Aku dah lama siap ni. Dah rimas aku duk berjalan tengah-tengah orang ramai ni."

"Bukan tamak ah. Aku tak tau nak beli apa. Tadi memang ah nak ayam goreng. Tapi sekali tengok banyak makanan, semua pun nampak sedap. Ok ah. Kejap-kejap. Aku nak beli air je. Pasni jumpa balik kat parking kereta. Dalam 10 minit."

"Okeyh. Aku jalan terus ke kereta. Kau jangan lama-lama pulak. Lepas beli air tu terus ke kereta. Tak yah nak usha-usha dah makanan kat bazar tu."

"Ye lah. Ye lah. Jumpa kat kereta nanti."

*****

Asyraf tenang memandu kereta Proton Wira merahnya meredah jalan raya yang semakin sesak dengan kereta yang baru pulang dari tempat kerja. Suasana sepi di antara mereka. Hanya radio terpasang sedang mendendangkan lagu nasyid terkini.

Asyraf menoleh sekilas Faris yang dari tadi sedang melihat dan mengira-ngira juadah yang dibeli. Mengira bajet yang sudah dihabiskan hari ini barangkali.

"Kau beli apa weh? Banyak sangat aku tengok. Habis ke kau nak makan sorang?"

"Takde ah banyak sangat. Setakat kuih ngan lauk berbuka. Pastu air. Banyak apanya?"

"Berapa jenis lauk ngan kuih kau beli yang kau kata sikit tuh?"

"Ada ah dalam tiga empat jenis kuih. Aku beli banyak-banyak ni pon sebab nak share ngan kau. Kau gak yang akan makan nanti kan."

"Ye lah tu kau. Sabitkan aku pulak. Dah tu kau beli tak ayam goreng yang kau nak sangat tadi tu?"

"Oh yang tu. Aku tak jadi beli. Aku ingat nak beli yang McD punya malam ni lepas terawih. Sedap weh. Lagi sedap dari ayam goreng bazar tu. Tambah ngan fries rangup dia tuh and coke. Boleh meleleh air liur aku terbayangkan. Kau nak join aku malam ni?" Kata Faris sambil tersengih kambing. 

Kepalanya sudah membayang-membayangkan ayam goreng kegemarannya selama ini. Ayam goreng McDonald. Sudah agak lama juga dia tidak makan di sana kerana kekangan waktu. Di bulan puasa ini, nafsu makannya kembali membuak untuk makan ayam goreng dari rangkaian restoran makanan segera yang terkenal di seluruh dunia itu.

Asyraf hanya mendiamkan diri dan terus memberi konsentrasi pada jalan raya. Faris pula masih dalam angan-angan dan berfikir-fikir plan untuk malam ini. Setelah berkira-kira, Faris bersuara,

"Weh. Kau tak jawab lagi soalan aku tadi. Kau nak join aku tak malam ni? Meh la join sekali. Tak best ah aku makan sorang-sorang je."

Asyraf hanya diam. Faris mula memusingkan kepalanya dan memerhatikan Asyraf yang sedang fokus memandu. Garis mukanya ada menunjukkan riak tidak puas hati dengan kebisuan Asyraf.

"Weh Asyraf. Aku tanya nih. Kau senyap tak jawab pulak."

"Aku tak nak join makan daging saudara aku. Tu je." Pendek Asyraf menjawab.

"Kau ni dah kena sampuk ke? Kita pergi makan ayamlah bukan makan orang." Berkerut-kerut dahi Faris mendengar jawapan rakan serumahnya itu.

"Memanglah. Tapi kau tau kan yang McD tu support Israel. Bagi duit kat Israel untuk beli senjata. Lepas tu bunuh saudara-saudara kita kat Palestine tu. Aku tak nak bunuh saudara aku." 

Faris terdiam. Kepalanya ligat mencari jawapan untuk membalas kenyataan Asyraf dan menjustifikasikan keinginannya itu.

"Alah. Bukan selalu pon. Aku pon boikot gak McD tu. Dah lama sangat aku tak makan McD. Berbulan-bulan. Kadang teringin jugak sekali-sekala. Takkan tu pon tak boleh. Kau ni strict sangat lah," Faris berhujah.

"Strict? Kau tau tak saudara kita kat Palestine tu sekarang kena bedil dengan Israel laknatullah? Tau tak yang kalau dia orang sahur kat dunia mungkin dia orang akan berbuka di syurga? Masih nak makan McD lagi?" Asyraf membalas. Nadanya agak tegas.

"Palestine kena serang? Bulan puasa ni? Aku tak tahu pon." Faris menjawab bingung.

"Ye lah. Mana kau nak tau kalau kerja kau hari-hari update FIFA. Bangun malam tengok bola. Sampai saudara sendiri tengah menderita pon kau tak ambil tahu. Hadap bola sampai terus tutup mata dengan telinga dengan isu ummah. Bola-bola jugak tapi janganlah sampai lupa ambil tahu isu semasa. Lagi-lagi isu umat islam sekarang." Mendatar Asyraf menjawab.

"Apa yang jadi sebenarnya kat Palestine sekarang ni? Aku seriously tak tahu." Tanya Faris dengan nada yang agak bersalah.

Asyraf mengerling Faris sekilas. Kemudian menghela nafas panjang. Dadanya sesak setiap kali mengingatkan nasib saudara-saudaranya di Palestine dan di seluruh dunia yang menderita sekarang. Nasib rakyat Palestine yang dibedil bertubi-bertubi oleh Israel laknatullah. Rakyat Mesir pula bergelut mempertahankan demokrasi yang berjaya dikecapi sebelum dirampas oleh As-Sisi si boneka Barat. Nasib rakyat Syria yang berjuang menentang dan berusaha melepasi kepungan regim Basyar si kuku besi. 

Hiba hatinya setiap kali mengingatkan nasib saudara-saudara seaqidahnya. Sedang dia bersenang-lenang di bumi Malaysia. Hidup aman. Bahagia. Malah kadang-kadang seperti tidak mensyukuri dengan nikmat limpah kurnia yang diberi Allah. Membazir masa muda dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat pada ummah. Sedang pemuda-pemudi di Palestine dan Mesir sudah turun berjuang untuk mempertahankan negara mereka. Pembaziran makanan yang melampau-lampau lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Sedang ramai lagi saudaranya yang kebuluran di Syria.

Sekali lagi nafas dihela sebelum Asyraf kembali bersuara,

"Sekarang Palestine kena bom lagi dengan Israel lepas kes 3 orang remaja Israel dijumpai terbunuh. Israel tuduh tu semua perbuatan Hamas. Walaupun tak ada bukti sahih yang tunjukkan tu perbuatan Hamas. Tapi Israel tetap kata tu perbuatan Hamas dan mereka serang Gaza sebagai langkah mempertahankan diri. Mempertahankan dirilah sangat. 3 orang je orang dia yang mati. Tapi orang Palestine yang syahid setakat ni dah lebih 100. Kelakarkan dia orang? Lepas tu terus-terusan bom Palestine dengan alasan pertahankan diri daripada serangan roket Briged al-Qassam."

"Kejamnya weh." Luah Faris sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Memang. Israel tu memang kejam, tak berhati perut. Tapi dalam diserang bertubi-tubi oleh Israel, Briged al-Qassam, sayap kanan pertahanan Gaza berjaya melancarkan roket buatan sendiri terbaru mereka, R160 atau nama ringkas kepada Rantissy 160 yang boleh sampai jangkauan 160 km. Boleh sampai ke Haifa, bahagian paling utara di Israel. Lebih jauh dari M-75, roket sebelum ni. Lintang-pukang orang Israel tu lari menyorok. Penakut macam hampas. Sekarang ni roket-roket tu dah berjaya sampai ke Israel. Moganya Allah bantu saudara-saudara kita supaya roket-roket tu sampai tepat dan memusnahkan Israel." Jelas Asyraf panjang lebar sambil matanya tetap fokus pada pemanduan. 

"Fuiyo. Hebatnya mereka ni. Dalam terkepung macam tu pon mereka boleh ada kekuataan ketenteraan mereka tersendiri. Tabik spring aku kat mereka ni." Faris membalas dalam kekaguman.

"Haaa. Kan? Hebat sangat dia orang ni. Tu kau tak dengar lagi skuad amfibia Briged al-Qassam yang dapat serang dan bunuh 7 orang tentera Israel. Empat orang ahli Briged ni boleh lepas sempadan Gaza-Israel melalui laut dan mendarat kat pantai Israel. Terkencing puak-puak Israel ni dek terkejut sampai mereka hantar jet pejuang untuk bom empat orang Briged al-Qassam ni sehingga keempat-empat mereka ni syahid. Memang dasar penakut Israel laknatullah ni. Serang pon tak berani depan-depan. Tetap berselindung belakang jet pejuang jugak.

Dan kalau nak tengok hebat tak hebatnya briged al-Qassam ni, bukan calang-calang orang boleh masuk. Antara syaratnya adalah solat jemaah 5 waktu. Kalau aku dan kau ni tak lepas requirement lah nak masuk. Reject awal-awal lagi." Asyraf tersenyum kecil. Agak sinis. Sinis merefleksi diri yang sangat-sangat jauh ketinggalan di belakang jika dibanding dengan  Briged al-Qassam ini.

Lampu isyarat di hadapan menunjukkan kuning. Lantas kaki kanan Asyraf menekan perlahan pedal brek agar keretanya meluncur perlahan dan berhenti di garisan lampu isyarat. Tidak mahu melanggar lampu merah. Bulan puasa ini bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi juga masa untuk melatih kesabaran dan mengaplikasikan akhlak islam. Agar akhlak dan latihan ini tetap berterusan walaupun Ramadhan telah berakhir. Itu yang cuba dilatih Asyraf di bulan mulia ini. 

Sementara menanti lampu isyarat berganti hijau, Asyraf memalingkan kepalanya ke arah Faris. Ingin melihat apa reaksi rakannya dengan apa yang diperkatakan olehnya. Dilihat rakannya itu seperti berfikir panjang. Mungkin sedang menghadam kata-katanya. Dipeluang ini, Asyraf menyambung kembali,

"Kita rasa kita ni tak mampu nak tolong saudara-saudara kita kat Palestine tu dari segi ketenteraan kan? Jadi kita tolonglah dari segi yang kita mampu. Macam boikot."

Faris tersedar dari lamunannya. "Boikot? Tapi banyak sangatlah nak boikot. Lagipun aku rasa macam tak menjadi pun. Sebab kita je yang boikot. Orang lain ramai lagi yang tak boikot. Jadi tak beri effect pape pun kat Israel tu. Kecil sangat usaha kita tu."

"Kau jangan perkecilkan usaha memboikot tu. Sama ada kita sedar atau tidak, boikot pernah tumbangkan rejim Apartheid Afrika Selatan yang menyaksikan Nelson Mandela muncul sebagai hero antarabangsa. Tak mustahil langkah ini sekali lagi boleh menumbangkan rejim Zionis Israel. Lagipun, yang terbaru, ada syarikat dari Israel, SodaStream dah ditutup cawangan utama mereka di UK lepas diboikot 2 tahun oleh orang UK[1]. Tu non-muslim boikot. Dah kita orang islam ni apa alasan kita untuk tak memboikot?" 

Faris diam. Matanya hanya memandang ke hadapan. Cuba menghadam kata-kata teman serumahnya itu. 

Asyraf mula kembali menghadap pandangannya pada jalan raya dan kakinya mula menekan pedal minyak apabila lampu bertukar hijau. 

"Tapi kalau betul-betul nak berjaya usaha boikot tu, kena serius. Tak boleh la bermusim. Bila Palestine kena serang berkobar-kobarlah boikot. Lepas dah reda, mula la beratur balik kat McD tu. Macam tu memang tak ke mana sangatlah boikot tu. Lagipun tak mati pun kalau tak makan McD tu. Malah lagi sihat hidup tak makan makanan tak berkhasiat tu. Dan kalau dah teringin sangat nak makan ayam goreng, banyak lagi pilihan lain selain daripada McD." Asyraf melanjutkan kata.

"Kau kata banyak sangatkan yang nak kena boikot kan tadi? Kalau banyak sangat, mula lah dengan beberapa jenis barang yang memang penyumbang besar pada Zionis dan barang tu ada alternatif lain. Macam Nestle, Coca-Cola, McDonald, Loreal. Nestle tu banyak je jenama lain yang boleh ganti. Macam Milo tu gantilah dengan Vico ke. Krimer manis dia tu gantilah dengan Cap Teko ke. Kalau Coke tu tak payahlah nak minum. Tak bagus untuk kesihatan sampai ada video yang tunjuk Coke ni boleh buat sental karat kat besi. Tak tahulah apa akan jadi bila masuk dalam perut kita. Yang Loreal tu alhamdulillah kita ni memang tak pakai. Kalau pakai pulak yang pelik. Dah senang sikit kat situ.

Dan jangan pernah sekali-kali kita rasa usaha boikot kita tu kecil. Sebab sekurang-kurangnya kita buat apa yang kita mampu daripada tak buat apa-apa langsung. Dan kau pernah dengar tak cerita burung kecil yang cuba nak padamkan api marak yang tengah bakar nabi Ibrahim?" 

"Tak." Pendek Faris menjawab. Tetapi soalan Asyraf itu menarik perhatiannya. Dipalingkan wajahnya ke arah Asyraf sekilas. Menantikan jawapan lanjut temannya itu.

"Burung tu kecil je saiznya. Tapi masa nabi Ibrahim dibakar oleh kaum baginda, burung ni angkut air dengan paruh kecilnya untuk padamkan api. Walaupun burung tu kecil dan seciput je pun air yang dicurah untuk padamkan api, tapi burung tu tetap usaha juga. Sebab yang penting tu usaha dulu. Itu yang Allah pandang. Jadi walaupun kau rasa usaha boikot tu nampak kecil, tapi itulah yang Allah pandang. 

Tapi kan, aku rasa usaha boikot tu bukan kecil. Sebab dah terbukti bila banyak syarikat-syarikat Israel ni terpaksa ditutup bila masyarakat antarabangsa memboikot. Macam Agrexco, bekas syarikat pengeluaran hasil pertanian terbesar pun dah ditutup pada 2011 sebab boikot. Tapi kita masyarakat muslim kat Malaysia ni tak sedar-sedar lagi. Still duk makan McD tu. Kadang aku rasa lucu juga masyarakat ni bila tak rasa ngeri makan McD tu. Kalau aku lah rasa macam makan daging saudara sendiri yang disembelih dah." Mimik Asyraf jelas menunjukkan kegelian tatkala menyatakan ayatnya yang terakhir.

"Kau nak tau. Yang lagi lucu masyarakat kita ni bila ada yang memperlekeh usaha-usaha untuk membantu saudara-saudara kita di Palestine tu. Tak payahlah boikot. Kerja bodoh je tu. Tak payahlah derma. Bukan sampai pun. Entah-entah disonglap oleh yang urus derma tu. Tak payahlah berdoa. Sembahyang pun tak cukup mana doa nak diterima. Lucukan pemikiran masyarakat ni?"

Faris menelan air liur. Tersentap. Dadanya terasa sempit seperti dihempap batu. Dia juga pernah mempunyai pemikiran sedemikian rupa. Pemikiran yang sangat skeptikal dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh orang lain. 

"Aku tak lah kata semua. Tapi ada segelintir yang macam ni. Terlalu negatif. Sedang Allah akan bantu pada mana-mana hambaNya yang berusaha dan meminta padaNya. Jadi sebab tu kita tak boleh pernah nak berhenti berusaha dan berdoa minta pertolongan pada Dia sebab kita tak tahu dibahagian mana dan ketika yang akan Dia bantu.

Sentiasa boikot barang-barang yang telah kita pilih untuk boikot. Dan terus tambah senarai-senarai tu dari masa ke masa. Lepas tu derma pada badan-badan yang memang akan menyalurkan bantuan ke Gaza seperti Aqsa Syarif. Kita tak boleh membantu dari segi tenaga, kita bantu dari segi kewangan pula. Lagi-lagi bulan Ramadhan ni. Banyak-banyakkan lagi menyumbang. Duit scholar bagikan banyak. Apa salahnya infak 5% daripada scholarship yang kita dapat. Tak kebulur lagi kita ni kalau setakat 5% tu. Dan last sekali, tembaklah doa banyak-banyak pada saudara kita sebab doa tu senjata orang mukmin. Doakan saudara kita bila nak berbuka puasa. Doakan mereka dalam qiam kita. Sentiasa ingati mereka dalam doa kita. Dan amalkanlah qunut nazilah dalam solat kita semoga Allah akan menurunkan pertolonganNya.

Dan kalau dah tak nak buat semua ni, paling kurang yang boleh buat adalah diam. Jangan mengutuk dan memperlekeh usaha orang lain. Jangan asyik mempertikai apa orang lain buat sedang kita tak buat. Komen je yang lebih." Panjang-lebar penerangan yang Asyraf berikan. 

Semput juga nafasnya bercerita panjang. Harapnya temannya itu faham apa yang cuba disampaikan. Isu ini bukan isu kecil. Bukan isu bagi rakyat Palestine sahaja tetapi ia adalah isu bagi umat islam sejagat. Semua umat islam sepatutnya berusaha membantu sedayanya selagi Palestine tidak bebas dari cengkaman Zionis laknatullah. Boikot, infak dan doa. Buatlah jika itu sahaja yang termampu.

Suasana sepi seketika menyelubungi mereka berdua. Masing-masing menyepi dengan fikiran masing-masing. Tiba-tiba Faris bersuara,

"Kau nak join aku makan ayam goreng kat mamak tak lepas terawih malam ni?" 





 
P.S: Referens [1] klik di sini   

P.S.S: Boleh baca lebih lanjut mengenai boikot di Facebook Aqsa Syarif (Boycott for Dumies). Ada diterangkan senarainya dan mengapa perlu boikot. Klik di sini.

P.S.S.S : Senarai barang boikot:


 

2 comments:

  1. Hari tu ada jugak gaduh ngan adik pasal boikot sbb dia kata xde gunanye kalau kita je yg boikot. Akhirnye jumpa jugak cerita nak lawan balik ayat dia. Thank you sbb share cerita ni....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Gembira jika cerita ini dapat membantu saudara atau pembaca lain di luar sana.

      Ini hanyalah usaha kecil saya untuk membantu saudara-saudara kita di Gaza. Tidak mampu saya ke sana, sekurang-kurangnya penulisan ini dapat memberi kesedaran kepada pembaca mengenai isu Gaza ini.

      Semuanya adalah daripada Allah. Maka segala puji bagiNya kerana memudahkan saudara Arif untuk menjelaskan lebih lanjut kepada adik saudara. =)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...