Adik kecil comel ni turut sama menyertai flashmob rally for Palestine. Gerammm sangat tengok! |
"Free, free Palestine!"
"From the river to the sea, Palestine will be free!"
"Israel, USA, how many kids did you kill today?!"
"Resistance is justified, when people is occupied!"
Bergema dan begitu lantang suara-suara ratusan orang yang datang menyatakan solidariti mereka terhadap Palestine. Minggu ini adalah minggu kelima rally atau demonstrasi aman untuk Palestine dijalankan di salah sebuah bandar kecil di bumi koala, tempat saya berada sekarang.
Maka wajarlah yang datang hanyalah ratusan sahaja. Tidak sampai ribu riban. Tidak sebesar perarakan di bandar-bandar besar lain di seluruh dunia. Tidak sehebat dan segah seperti tanggal 2 Ogos lalu di Dataran Merdeka.
Tetapi saya amat yakin bahawa jiwa-jiwa yang hadir cukup besar sehinggakan dapat menutupi dan menampung lompang kuantitinya yang kecil.
Kenapa saya begitu yakin?
Kerana saya menyaksikan dengan mata saya sendiri kesungguhan mereka. Kerana saya mendengar laungan suara mereka dengan telinga saya sendiri. Dan kerana batang tubuh saya bergerak bersama-sama mereka-mereka ini.
Sedang mereka boleh memilih untuk berada di rumah menggoyang kaki atau menghabiskan masa bersama keluarga di rumah pada hujung minggu. Tetapi mereka memilih untuk turut bersama menyuarakan bantahan mereka walaupun dengan membawa bersama keluarga dan anak-anak kecil yang masih di dalam stroller.
Mereka yang hadir mungkin berbeza warna kulit. Berbeza kepercayaan. Berbeza bahasa. Malah berbeza kewarganegaraan. Tetapi hati mereka adalah satu dalam menyatakan kebersamaan dengan Palestine. Bersatu dalam mengutuk dan membantah kekejaman israhell laknatullah.
Minggu ini merupakan minggu kelima perarakan seumpama ini diadakan. Bukan seminggu tapi lima minggu berturut-turut bermula sejak Gaza diserang 8 Julai lalu. Bahkan bakal menyaksikan kali keenam demonstrasi berjalan di bandar ini pada hujung minggu ini.
Fuh. Boleh tahan juga orang Oz ni. Istiqamah!
Manakala saya pula buat kali pertama kalinya dalam hidup menjejakkan kaki ke demonstrasi pada minggu lalu. Tak pernah dalam hayat hidup saya mengikuti apa-apa rally yang diadakan tidak kiralah di Malaysia atau di Australia. Tapi pengalaman pertama ini cukup terkesan di hati saya. Sangat memberi impak besar buat kehidupan saya. Membuatkan jiwa muda saya bergejolak untuk bangkit melakukan perubahan pada dunia yang sudah tunggang terbalik dan sudah jauh dari sifat kemanusiaan.
Mungkin ini hanyalah impian saya untuk merubah dunia. Tetapi hakikatnya sesuatu itu bermula dengan angan-angan. Jika disertakan dengan gerak kerja, ia bakal menghasilkan sesuatu yang bisa menggoncangkan dunia. Sepertimana angan-angan gila dan tidak logik adik-beradik Wrights untuk terbang dan bagaimana hari ini membuktikan angan-angan gila mereka itu sebenarnya tidak mustahil malah cukup bernas.
'Now, everyone can fly'. Bak kata Airasia.
Seperti itu jugalah angan-angan saya untuk melihat dunia ini kembali seperti kehendak penciptaNya. Tertegaknya islam sebagai ustaziyatul alam dan mengembalikan dunia ini kepada keamanan dan kemakmuran.
Oh, ini bukanlah angan-angan.
Tetapi ini adalah janji Allah. Yang pasti akan ditunaikanNya. Hanya menantikan masa untuk disempurnakan olehNya.
"Dialah yang telah mengutuskan RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (islam) untuk dimenangkan dan ditinggikannya mengatasi segala agama yang lain walaupun orang musyrik tidak menyukainya."
(As-Saff, 61;9)
Untuk menyentuh hati dan agar lebih menjiwai demonstrasi aman kali ini, setiap yang hadir diberikan sekeping kertas yang tertera nama para syuhada yang telah gugur di Gaza untuk diangkat dan ditayang sepanjang demonstrasi. Kerana para syuhada itu bukanlah sebuah entiti yang hanya layak digelar dengan nombor. Tetapi mereka juga manusia seperti anda dan saya.
Mempunyai nama.
Mempunyai keluarga.
Mempunyai tanah air.
Dan menjalani kehidupan sehari-hari seperti kita.
Maka selayaknya mereka diingati dengan nama mereka.
Tatkala tangan saya mencapai kertas yang dihulurkan oleh sukarelawan, mata saya merenung dan menatap lama pada nama tertera.
Rally for Palestine (2 Ogos 2014) |
Adik Adel. Adik saya. Adik seaqidah saya.
Baru berusia 2 tahun tapi telah syahid menemui Penciptanya di Shuja'eyya.
Apa salah adik kecil ini sehinggakan dia dibunuh dengan kejam?
Bagaimana agaknya saat kematiannya?
Adakah penuh dengan ketakutan?
Bagaimana pula keadaan keluarganya?
Allah.
Kepala saya berlegar-legar dengan persoalan ini. Persoalan yang saya sendiri tiada jawapannya.
Tetapi ada satu perkara yang saya pasti dan yakin. Saya yakin adik Adel akan ditempatkan di syurgaNya bersama para syuhada lain. Bermain dan berlari girang di taman syurga nan indah.
Cuma, saya tidak dapat bayangkan ketakutan seorang kanak-kanak yang berusia 2 tahun saat mendengar dan melihat ledakan bom dan tembakan yang bertubi-tubi dihadapan mata kepalanya sendiri.
Jika saya sendiri sudah gerun menyaksikan serangan bom dengan duduk di hadapan skrin komputer, tidak dapat dibayangkan bagaimana ketakutan yang adik Adel hadapi.
Mengenangkan ini, mata saya mulai kabur. Kabur kerana digenangi air mata kesedihan dan penyesalan. Sedih dengan penyeksaan yang terpaksa dihadapi oleh saudara-saudara yang lain. Penyesalan kerana tidak mampu untuk membantu adik Adel serta jutaan saudara-saudara yang lain di Palestine. Yang termampu hanyalah dengan sumbangan kewangan yang seciput cuma dan sumbangan sedikit tenaga dan suara menyatakan solidariti untuk perarakan ini. Ditambah dengan tadahan doa memohon kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Itu sahaja. Titik.
Terasa diri tersangat lemah dan tidak berdaya meringankan kesusahan saudara-saudara di Palestine. Malah di seluruh dunia yang kini ditindas.
Syria.
Mesir.
Myanmmar.
Afrika.
Dan senarainnya berterusan.
Melihatkan saudara-saudara sendiri diperlekeh, dihenyak dan diperlakukan dengan sesuka hati oleh taghut (musuh-musuh Allah), hati saya merundum sedih. Sedih dan sayu melihatkan nasib umat yang tidak terbela.
Mengapakah agaknya umat islam yang begitu ramai di dunia begitu terhina sekarang?
Sedangkan islam ini merupakan agama rahmat untuk seluruh alam?
Jawapan bagi persoalan ini, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana salah kita.
Ya. Salah saya dan anda. Salah kita.
Kerana kita yang mengaku sebagai umat islam. Yang mengucap dua kalimah syahadah. Yang berpakaian mengikut syariat islam. Tetapi masih kurang kepatuhan dan kehambaan kita kepada Allah. Kurangnya pemahaman dan penguasaan kita dalam al-quran. Kurangnya ketaatan dan ikutan kita pada sunnah Rasulullah SAW.
Kita mengaku muslim tetapi kelakuan kita tiada bezanya dengan non-muslim. Pengetahuan kita tentang ad-deen ini sama ceteknya dengan non-muslim. Perlakuan dan akhlak kita sama buruknya dengan yang tidak beragama.
Maka, adakah dengan luahan kata-kata 'Saya seorang muslim' menjadikan saya dan anda berbeza dengan mereka yang bernama John, Ah Seong atau Ramasami?
Tidak. Sudah pasti tidak.
Kerana hakikatnya, pengetahuan yang melahirkan perbuatan perhambaan diri kepada Allah dan ketaatan kepada Rasulullah itu yang menjadikan kita seorang muslim.
Kata kuncinya pengetahuan dan perbuatan. Bukan kata-kata dan pengakuan kosong.
Oleh itu, dengan perlakuan kita yang 'tidak-berapa-muslim' ini, sudah selayaknya kita tidak mendapat pertolongan Allah. Tidak mendapat rahmat Allah. Dan kerana perlakuan kita juga, saudara-saudara lain turut sama tidak mendapat pertolongan Allah. Kerana perlakuan kita juga, islam ini masih belum tertegak di dunia ini sebagai ustaziyatul alam.
Semuanya terletak pada diri kita. Hubungan kita dengan Allah. Kedekatan kita dengan kitabNya. Kerapatan kita dengan sunnah kekeasihNya. Semua ini yang membawa kita kepada kemenangan.
Bukan sekadar kemenangan di Palestine. Tetapi di Syria. Di Mesir. Bahkan di seluruh dunia.
Maka sewajibnya kita merubah diri kita terlebih dahulu dengan mendekatkan diri dengan Sang Pencipta.
Memahami, memaknai dan mengikut arahanNya di dalam al-Quran.
Mengamalkan dan mentaati sunnah RasulNya.
Lakukanlah semua ini. Kembali dan masuk ke dalam islam secara menyeluruh. Di samping segala usaha lain untuk membantu meringankan bebanan saudara-saudara yang lain.
Kerana islam ini tidak membutuhkan kita tetapi kita pastinya yang membutuhkan islam.
Wahai manusia! Kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
(Faathir, 35;15)
Ayuh kita kembali kepada islam!
Free Palestine!
No comments:
Post a Comment