Pages

August 29, 2014

Dia Sayang Awak



Suasana kamar tidur itu kelam dengan tingkap tertutup rapat dan langsir tidak diselak. Menghadang cahaya mentari dari menerangi bilik berkatil dua itu.


Haih.


Tangannya menguak langsir bilik membiarkan cahaya menerobos dan memenuhi ruang kamar.


Matanya terpandang sekujur tubuh berselimut menutupi kepala.


"Dian. Awak ke tu?" 


Tubuh Dian ditolak perlahan. Tidak pasti anggota mana tangannya menyentuh.


Kaku. Tidur barangkali. 


Baru kaki Lisa ingin melangkah, telinganya menangkap satu bunyi halus. Aneh. Seakan-akan suara esak tangis yang cuba ditahan.


"Dian. Awak ok ke?" Sekali lagi tubuh yang berkelubung itu disentuh lembut.


Tangan Lisa ditepis. Kasar. 


"Dah! Jangan kacau aku! Berambus!" 


Kaget. Lisa tahu hubungannya agak dingin dengan Dian, teman sebiliknya sejak setahun yang lalu. Tetapi tidak pernah Dian sekasar ini dengannya. Perbuatan mahupun perkataan. 


Umum tahu mereka berdua memang bagaikan langit dengan bumi.


Lisa, pelajar jurusan farmasi tahun dua, cukup lemah lembut orangnya. Sangat dikenali dengan tutur kata dan perlakuannya yang cukup sopan. Malah seorang muslimah yang bertudung labuh dan lengkap menutup aurat.


Berbeza dengan Dian. Seorang pelajar arkitek tahun dua. Ala-ala tomboy dan berkarakter macho. Seiring dengan itu, pemakaiannya juga mirip lelaki, sering berjeans dan berkemeja.


Kerana itu hubungan Lisa dan Dian tidak lebih daripada dua individu yang berkongsi bilik. Tidak pernah rapat. Tetapi tidak juga bertengkar. 


"Awak ok Dian?"


"Aku cakap berambus lah! Aku tak nak tengok sape-sape dalam bilik ni!" 


Jerit Dian sambil bingkas bangun. 


Kusut dan serabai. 


"Kau ni tak faham bahasa ke? Aku kata berambus!" Jari telunjuknya menunjukkan ke arah pintu.


Lisa gugup. "Awak.. Awak.. ada masalah ke? Kalau saya boleh tolong saya akan tolong." 


"Kau nak tolong aku?" Soal Dian menyindir.


Mata bengkaknya menikam tajam mata Lisa yang redup itu.


"Kalau nak tolong sangat, kau mintak boyfriend aku kembali balik kat aku!" Dian mula menangis, teresak-esak.


Oh.


Pasal boyfriend rupanya.


Lisa mengambil tempat di atas katil Dian. Dirangkul teman sebiliknya. Erat.


"Tuhan tak sayang aku."


"Tuhan benci aku sebab aku jahat."


Dian mengongoi bagai anak kecil.


Geleng. "Tak Dian. Allah tak pernah benci awak Dian. Dia sayang awak." Tangannya mengusap-usap belakang Dian yang terhenjut-henjut.


"Kalau Dia sayang aku kenapa Dia ambil semuanya dari aku?"


"Bulan lepas Dia ambil parents aku. Sekarang boyfriend aku pulak dump aku. Aku dah tak de sape-sape dah sekarang."


Allah.


Tak tahu pun parents Dian meninggal. Roommate apa aku ni. 


Dada Lisa terasa sempit. Sesak dengan rasa bersalah.


Dipejamkan matanya, rapat. 


"Awak tak sorang-sorang Dian. Awak ada saya." Setitis air mata gugur membasahi pipi Lisa. 


"Tapi kau pun benci aku jugak." Balas Dian dalam sedu-sedan.


Lisa mengeratkan lagi rangkulan pada tubuh Dian. "Allah. Saya tak pernah sekali pun benci awak. Awak kan roommate saya."   


"Tapi aku kan jahat. Tak baik macam kau. Budak usrah."


Pelukan dileraikan. Dipegang lembut kedua-dua belah bahu Dian. Lalu matanya merenung tepat sepasang anak mata berwarna hazelnut milik Dian.  


"Saya, tak pernah rasa awak jahat." 


"Walaupun sekali." Senyuman ikhlas terukir.


Dahi Dian berkerut. "Tipu."


Lisa menyeka air mata di pipi Dian. Dia tersenyum sekali lagi.


"Budak usrah mana boleh menipu."  


Dian hampir tergelak. Lucu. 


"Tapi kau tak rasa aku baik." Duga Dian.


Lisa menggeleng. "Setiap manusia dilahirkan suci. Jadi semua manusia itu asalnya baik."


"Awak pun." 


"Kau rasa aku baik?" 


Lisa mengangguk. 


"Tapi kenapa Tuhan hukum aku kalau aku baik? Kenapa Dia ambil orang yang aku sayang?" 


Soal Dian. Hatinya kembali sebak.


"Allah tak hukum awak. Tapi Dia cuma uji awak. Sebab Dia sayang awak."


Wajah Dian berkerut. "Aku tak paham."


Haih.


Lisa menarik nafas dalam. Dihembus perlahan sebelum menjawab. 


"Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang, Dian. Dia takkan pernah menzalimi hambaNya. Tidak sekali-kali." 


"Jadi Allah kurniakan awak ujian ni sebab Dia sangat rindukan awak."


"Mungkin sebab awak dah lama lupakan Dia? Jadi Dia nak awak kembali cari Dia balik." 


Sepi seketika. 


Dian tunduk. Cuba menahan perasaan.


Tetapi air matanya gugur lagi. 


Ah. Murahnya air mata ni. 


Dian masih menunduk. "Macam mana...." Suara Dian tersekat di kerongkong.


Terangkat kening Lisa. "Macam mana?" 


"Nak kembali pada Tuhan."


Senyum. "Tak susah Dian. Kembali baca KitabNya, Dian. Dan mintalah supaya Allah tenangkan hati awak untuk hadapi ujian ini. Dan banyakkan solat. " 


"Solat?" Dian mengangkat muka. 


Matanya jatuh pada sepasang anak mata milik Lisa.


"Tapi aku.. Tapi aku.." 


Suasana sepi seketika.


Lisa sabar menanti Dian menghabiskan ayatnya.


"Aku tak pernah solat." Dian mengaku, penuh penyesalan. 


Tenang. Tiada riak terkejut pada wajah Lisa. Jauh di sudut hatinya dia sudah dapat mengagak. 


Awalnya dia bersangka baik. Uzur barangkali. Tapi jika sudah sampai berbulan-bulan, bukan uzurlah jawabnya.


"Kau rasa dah terlambat ke aku nak taubat?" Dian bertanya, lemah.


"Allah tu Maha Pengampun Dian. InsyaAllah pintu taubat masih terbuka." Lisa menggenggam erat tangan Dian.


"Boleh kau ajar aku solat?"


Lisa mengangguk sambil menitiskan air mata kegembiraan, "Boleh Dian. Boleh."


Tubuh Lisa dirangkul erat.


"Mulai sekarang kau sahabat aku dunia akhirat."









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...