Pages

January 20, 2014

Diet?? Tak Payah Berangan La








"5 jenis makanan yang perlu dielak untuk mendapatkan 6 pek"

Pernah anda melihat iklan sebegini di kaca televisyen atau ketika melayari internet? Mesti membara sampai terbakar hati anda dengan iklan bilamana terpandangkan perut satu kawah anda kan? Hahaha.

"Weh, jom pegi pekena nasi lemak kedai Mak Jah Becok dulu. Pergh.. Sambal dia memang kaw dan terbaik ah."

"Erm. Tak pe lah weh. Kau pegi sorang je lah. Aku tengah diet sekarang ni. Tiap-tiap hari aku makan oat je."

"Loser giler makan oat je."

Pernah anda terdengar atau anda sendiri terlibat dalam perbualan sebegini? Mesti berasap telinga dan bertukar merah saga mata anda menahan marah dan rasa menyampah kan?

Masukkan buah stoberi dan susu ke dalam pengisar. Campurkan sedikit kasih sayang. Untuk rasa yang lebih sedap, tambahkan dengan bacaan surah yasin, surah al-kahfi atau apa-apa surah yang anda telah hafal. Kemudian kisar sehingga semuanya sebati. Voila. Siap sudah smoothies untuk menjaga kelangsingan badan anda. Selamat mencuba!

Pernah anda mendengar atau mendapatkan resepi-resepi  seperti di atas untuk menjaga berat badan? Masa ini anda mungkin tengah mengepal-ngepal penumbuk anda menahan sabar melayan kepoyoan orang yang memberi resepi. Atau anda sendiri yang pot pet-pot pet bercerita tentang resepi rahsia ini dengan poyonya kepada jiran sebelah anda.

Erkk. Sila teruskan pembacaan anda.






Semua yang terpampang di atas, mungkin anda pernah lihat, dengar atau alaminya sendiri. Tapi mungkin tidaklah seekstrim yang  ditulis. Itu hanyalah untuk menambah rencah supaya penulisan ini tidaklah terlalu serius dan membosankan sehingga anda berdengkur di depan laptop. Hihihi.

Sejak akhir-akhir ini, ramai antara kita yang mula ghairah menjaga keterampilan dan kelangsingan badan. Semua ingin mempunyai susuk tubuh menawan dan mengiurkan. Bagi perempuan, mereka beria-ia mempunyai badan seramping kerengga berbanding badan yang secomel dan segebu koala. Sehinggakan ramai sanggup membelanjakan wang untuk keahlian gym dan coaching untuk melangsingkan badan. Bagi yang inginkan jalan pintas, mereka akan berhabis duit membeli segala tok nek produk pelangsingan dan kecantikan untuk mendapatkan hasil yang cepat lagi pantas.  

Tidak terhad kepada kaum hawa sahaja, kaum adam zaman kini juga tidak ketinggalan dalam soal penjagaan badan. Malahan kadang-kala mereka yang lebih terkehadapan berbanding wanita dalam bab ini. Jika tidak percaya, cuba lihat di luar sana betapa ramai lelaki yang berbangga jika mempunyai enam pek gula di perut berbanding mempunyai perut berbentuk satu kuali. Wahaha.

Ditambah dengan lengan yang berketul-ketul dan dada yang sasa lagi tegap. Mereka sanggup mengeluarkan wang untuk membeli makanan tambahan atau minuman protein dan juga menjadi ahli tegar gym untuk membina otot-otot badan. Sehinggakan bilamana hasilnya terserlah, diabadikan badan mereka dalam gambar dan ditayangkan pula di facebook atau twitter.

It’s like, euuwww. Lari pegi tandas pastu muntah hijau. Erk.

Maaf, tapi saya memang segan dan tidak tahan untuk melihat gambar-gambar sebegini. Dan jika saya terpandang sekalipun, tangan saya akan dengan automatiknya menekan butang pangkah di sebelah kanan atau dengan sepantas kilatnya meng’scroll’ ke bawah. Walaupun orang kata pandangan pertama itu rezeki, tapi bagi saya itu adalah satu malapetaka. Ohoi. Moga dijauhkan.

Perkara yang sama juga akan saya lakukan jika ternampak gambar-gambar wanita yang menayangkan susuk tubuh menawan mereka. Bukan tergoda, tapi malu nak menengoknya. Jadi, saya ni bukanlah seorang yang bias gender ye. Cuma, bagi pendapat saya, tidak perlu rasanya untuk menayang-nayangkan tubuh badan anda yang sempurna itu. Cukuplah orang berhak dan halal sahaja yang menghargainya.

Persoalannya, mengapa agaknya ramai yang begitu ghairah menguruskan badan? Mengapa ramai yang begitu beria-ia melansingkan badan? Mengapa ramai yang berusaha bagai nak rak berdiet untuk menurunkan berat badan?

Jawapannya mudah. Semua ini adalah propaganda. Propaganda Barat yang mencetuskan ideologi bahawa kurus dan langsing itu cantik lagi menawan sehinggakan selain daripada itu dianggap tidak normal dan tidak dapat diterima.

Propaganda melalui pelbagai wacana yang saban hari mencanang dan mendoktrin idea ini, telah meresap masuk ke dalam minda masyarakat kita, baik yang muda mahupun yang tua.  Sehinggakan masyarakat kini tidak lagi mempunyai variasi dalam citarasa. Yang kurus itu cantik. Yang putih itu cantik. Selain daripada itu adalah hodoh. Tiada kepelbagaian. Begitulah masyarakat kita pada masa kini, bukan setakat di Malaysia malah di seluruh dunia amnya.

Saya ini sebenarnya bukanlah aktivis tegar anti-diet seantero dunia atau seumpamanya. Malah saya sendiri pernah berdiet. Kerana bagi saya, menjaga badan dan berdiet itu bagus jika tujuannya untuk memiliki kesihatan yang baik. Agar dengan kesihatan yang baik ini, kualiti hidup kita meningkat dan dapat kita manfaatkannya untuk agama, bangsa dan negara. 

Malangnya marcapada ini, ramai yang bukan sekadar berdiet jasmani tetapi dalam sedar atau tidak rohani mereka juga dibiarkan kebuluran. Ya. Rohani. Tapi ini bukan Rohani nama ibu anda. Bukan juga nama guru kelas anda ketika Tahun Satu. Bukan dan bukan.  Rohani yang dimaksudkan di sini ialah roh anda atau unsur dalaman diri anda. 

Ramai kini yang mengambil sikap acuh tidak acuh dalam penjagaan rohaninya. Sehinggakan rohnya dibiarkan anorexic, kurus kering tidak bermaya. Kerana mereka terlupa makanan luaran dan rohani adalah tidak sama sekali. 

Tetapi itulah realiti dunia sekarang. Betapa ramai yang sanggup berhabis wang dan masa demi menjaga penampilan luaran tetapi leka dan membiarkan rohani mereka menderita. Jika jasad kita memerlukan pemakanan yang sihat untuk kekal bertenaga, begitu jugalah roh kita. Bahkan roh kita lebih memerlukan segala sumber berkhasiat yang ada untuk memastikan jasmani kita sihat walafiat.

Nutrisi untuk rohani tidaklah sama dengan jasmani. Jika untuk jasmani anda perlu bedal lima keping tosai cheese baru dapat mengenyangkan perut besar anda itu, mustahil dengan makanan yang sama anda dapat mengenyangkan rohani anda. Kerana nutrisi lengkap bagi rohani anda adalah amalan atau perbuatan yang bersifat kehambaan. Kehambaan hanya kepadaNya. Dan saya lebih gemar menyebutnya sebagai tarbiyah (pembinaan).

Roh kita akan terisi dengan amal ibadah kepadaNya. Atau mana-mana perbuatan yang membuatkan diri kita boleh merasa tenang dengan melakukannya. Kerana perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah adalah makanan kepada rohani kita. Begitu mudah bukan? Mudah lagi murah. 

Sebelum itu, untuk mengenal pasti samada anda menghidap penyakit anorexia rohani, anda boleh mula bertanya beberapa soalan kepada diri sendiri. Seperti, pernahkah pada suatu ketika anda merasa dunia begitu kosong? Terasa segalanya serba tidak kena. Semua yang anda lakukan tidak kena. Anda tidak gembira. Tidak tenang. Sentiasa resah dan gelisah. 

Pernahkah anda cuba mengisi rasa kekosongan ini dengan melayan drama, lagu-lagu, bermain game atau apa-apa perkara lagha yang lain? Walaubagaimana anda cuba untuk mengisinya, anda masih terasa hidup anda tidak lengkap. Seperti ada satu lompang di hati anda?

Jika jawapan anda adalah ya kepada simptom-simptom ini, itu petandanya dalaman anda bermasalah. Roh anda tengah kelaparan dan menderita kerana anda mengabaikannya. 

Sejujurnya saya pernah mengalami sendiri simptom ini sebelum Allah menurunkan hidayahNya kepada hamba kerdil ini. Saya pernah merasai kekosongan yang akhirnya saya isi dengan mencari selain daripada Allah. Seperti menonton drama-drama korea. Bahkan saya selalu menontonnya secara marathon. Dalam masa 24 jam saya boleh menghabiskan satu siri drama 16 episod. Saya hanya akan berhenti untuk mandi, makan dan solat. Itu sahaja. Begitu dahsyat saya suatu ketika dahulu. Dan bila difikirkan balik, saya sendiri berasa hairan bagaimana saya boleh lmeakukannya.  

Tetapi ironinya, entah mengapa saya tidak merasa apa-apa kepuasan dengan menghabiskan satu siri. Jadi saya akan menonton siri lain. Juga dengan cara marathon. Sekali lagi hati saya masih kosong, tidak puas. Akhirnya saya bertukar pula dengan menonton video k-pop. Malangnya, rasanya tetap sama. Rasa resah, gelisah, kosong, bosan. Malah perasaan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang pernah mengalami akan memahami rasanya.

Sehinggalah saya kembali kepada Allah, barulah saya merasai apa itu ketenangan. Dengan hanya bersolat, segala masalah terasa ringan. Dengan bertilawah hati terasa puas. Dengan berqiam, hilang segala rasa kekosongan yang dirasai selama ini. 

Itulah pertama kali saya sedar bahawa roh saya sedang nazak. Nazak kerana saya mengabaikannya. Terlupa menjaganya. Tetapi alhadulillah Allah menghantar hidayah agar saya kembali kepadaNya. Dan kerana itu saya sangat bersyukur kerana masih berpeluang untuk merawat kembali rohani saya. Agar di akhirat kelak, saya dapat menghadap Allah dengan tenang dan gagahnya untuk menghadapi perhitunganNya. Bukan dengan keadaan kurus kering, lemah tidak berdaya.   


Setelah kita mengetahui simptom-simptomnya, perlulah kita tahu cara rawatannya. Yang terbaik adalah rawatan awal agar keadaannya tidak bertambah teruk. Dan cara mudah untuk memelihara rohani adalah dengan menjaga tarbiyyah dzatiyah (tarbiyah kepada diri sendiri). Antara sarananya adalah dengan bermuhasabah. Evaluasilah diri anda setiap hari dengan menilai kembali kebaikan dan keburukan yang telah anda lakukan. Agar anda sedar samada anda telah mengisi rohani anda atau belum. Agar anda sedar tahap kesihatan akidah dan kebersihan tauhid kepadaNya.

Maka, muhasabah diri samada anda telah melaksanakan segala kewajipan anda sebagai seorang muslim dan juga muhasabah dengan sejauh mana anda cuba menjauhi kemungkaran. Kerana kemungkaran atau maksiat atau jahiliyyah akan membawa kepada penyakit kepada rohani anda. Baik kemungkaran besar atau kecil. 

Setelah bermuhasabah, langkah seterusnya adalah mengerjakan amalan-amalan iman kerana cara ini besar pengaruhnya kepada jiwa. Di antaranya adalah mengerjakan ibadah-ibadah wajib seoptimal mungkin. Misalnya mengerjakan solat lima waktu secara berjemaah dan di awal waktu dengan khusyuk. Bukan solat sekadar cukup syarat. Asal solat sudah. Tapi khusyuk entah ke mana. Bersolat tetapi hati melayang memikirkan lunch nanti nak makan apa. Bila keadaan sedemikian berlaku, thuma'ninah pun terbang entah ke mana. Ditambah dengan turun naik pergerakan solat yang lajunya mengalahkan jet dan tiada rasa kenikmatan solat. Alangkah sedihnya. Kerana Allah telah mengingatkan kita dalam firmanNya:


قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ. الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاَتِهِمْ خَاشِعُونَ

     "Sesungguhnya beruntunglah orang-orang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solat mereka."

(Al-Mu'minun, 11: 1-2)

                             

Langkah seterusnya untuk menggemukkan balik jiwa yang kurus kering adalah dengan meningkatkan ibadah-ibadah sunat. Jika terasa sukar, mulakan dengan satu amalan terlebih dahulu. Contohnya, mulakan dengan solat dhuha setiap hari. Walaupun sedikit tetapi asalkan istiqamah, itu lebih baik daripada berubah secara drastik tetapi hanya untuk sementara. 


Kemudian setelah istiqamah, tambah dos ibadat sunat dengan tilawah dan tadabbur al-Quran. Dan ditambah pula dengan ma'thurat. Begitulah seterusnya. Terus menambah amal ibadat anda sehari-hari. Sedikit tetapi istiqamah. Tetapi kalau setakat buat semua solat sunat rawatib, baca quran satu juz, solat dhuha dan pelbagai ibadah sunat hanya untuk sehari sebab ingin menunjuk-nunjuk kepada bakal adik ipar yang menumpang di rumah anda, itu baik tak payah. Yang penting... sedikit tetapi istiqamah. (bukan kerjasama macam wonderpets)
 
Saya akui memang sukar untuk mengorak langkah pertama untuk berubah, untuk melangkah menuju Allah. Ini kerana kita telah terbiasa dengan kehidupan lama kita. Jadi mengapa perlu berubah? Tetapi yakinlah bahawa sekali anda melangkah, anda tidak ingin lagi berpaling ke belakang. Kerana Allah telah berjanji, selangkah kita menuju Allah, Allah akan berlari mendapatkan kita. Bukankah itu sesuatu yang sangat best? Pencipta kita berlari mendapatkan kita. Allahu Allah.

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk berubah mencari redhaNya. Dan semoga Allah memberi ganjaran yang terbaik dengan usaha kita menuju kepadaNya. Dan semoga kita adalah hamba-hambaNya yang terpilih untuk mnghuni syurgaNya di akhirat kelak. Amin.


P.s: Setelah hampir sebulan baru dapat menyiapkan post ini. Asyik bertanggguh-tangguh. Alasannya sebab cuti. Haih. Lemah betul iman bila duduk kat rumah. 

P.s.s: Perlu lebih bersemangat untuk menulis selepas ini. ^_^ 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...