Pages

July 31, 2014

Maaf, Saya Kerat Jari Kaki Pakcik!







"First floor." 

Kedengaran suara wanita persis robot mengumumkan lif sudah tiba di aras satu. Sara yang sedang sibuk menatar telefon bimbit untuk melihat perkembangan terkini di Gaza segera melangkah keluar dari lif. Matanya masih tidak berganjak daripada telefon bimbit Samsung Galaxy 4. Dibaca berita-berita terkini di Facebook Aqsa Syarif dan Aman Palestin sambil kakinya tetap melangkah tanpa berpandukan pancaindera penglihatannya. Hanya menggunakan pancaindera ke enam atau sixth sense barangkali. 

Masa-masa senggang yang sekejap inilah digunakan sebaik mungkin oleh Sara untuk menambah info-info dan maklumat-maklumat semasa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Jika tidak diambil peluang sebegini, alamatnya sampai ke petang dia tidak berhubung dengan dunia luar. Bagai katak di bawah tempurung jadinya dek terlalu sibuk bergerak  ke hulu dan ke hilir mengikut doktor dan berjumpa dengan pesakit.

Keluar sahaja dari lif, terus sahaja Sara membuka langkah panjang menuju ke arah bilik persalinan wanita yang terletak di hujung koridor. Dicapainya kad akses yang tergantung bersama-sama kad pelajarnya di leher sebelum menyuakan kad tersebut pada kotak akses di tepi pintu. Lantas ditolak pintu yang agak berat itu dan kemudiannya masuk ke bilik persalinan yang sunyi. 

Waktu-waktu begini, bilik ini kebiasaanya akan kosong memandangkan kebanyakan para doktor dan jururawat sudah pun menukar pakaian kepada 'scrub' atau pakaian bedah dan berada di dewan pembedahan menjalankan tanggungjawab mereka. Melainkan seorang dua sahaja doktor atau jururawat yang singgah sebentar untuk ke tandas atau mengambil sesuatu daripada loker mereka. Nampaknya hari ini Sara terlambat.

Sebenarnya dia langsung tidak bercadang untuk mengikuti mana-mana pembedahan pada hari ini. Ikut perancangan awal, dia berkira-kira untuk berjumpa dengan pesakit yang baru dimasukkan ke wad. Tetapi sebaik sahaja 'ward round' selesai pada pukul 9 tadi, Dr Ritter, seorang Fellow atau pakar bedah kumpulan pembedahan vaskular yang sedang Sara ditempatkan sekarang bertanya,

"Who wants to chop off someone's toe today?"

"Wow! Potong jari orang? Macam menarik. Aku pun tak pernah tengok lagi pembedahan ni sebelum ni." Suara hati Sara berbisik. 

Walaupun dia agak terkejut dengan pertanyaan Dr Ritter yang sangat straight to the point itu, tetapi ini adalah peluang keemasan baginya, seorang pelajar perubatan yang masih hingusan. Yang masih belajar bertatih dan masih sedang meneroka ilmu perubatan yang cukup luas ini. Ibaratnya seperti seorang anak kecil yang dihulurkan alat permainan berwarna-warni yang baru. Sungguh mengujakan.  

Selesai mengenakan sepasang 'scrub' berwarna biru gelap seperti yang sering dilihat dilayar televisyen dalam siri Grey's Anatomy, Sara menyarung tudung Ariani berwarna pink belacan pemberian ibunya sebelum memasukkan tudung itu ke dalam leher baju. Polisi hospital yang harus dipatuhi untuk mengelakkan penyebaran kuman dan bakteria. 

Kemudian dia memandang penampilannya di cermin. Sekuntum senyuman kecil terukir di bibirnya. Tanda berpuas hati dengan refleksi dirinya sendiri. Dicapai pula satu penutup kepala plastik di atas sink di sudut kanan cermin sbelum disarungkan di atas tudungnya. Sekali lagi dia membelek penampilannya di cermin. Kemas. Setelah berpuas hati barulah kakinya melangkah keluar dari bilik persalinan menuju ke dewan pembedahan. Biasalah perempuan. Memang tidak sah kalau tidak menjaga penampilan diri. 


*****


"You better hurry up or I'll be done by the time you put on the gloves."

Kata-kata Dr Ritter memecah kesunyian Dewan Bedah 4. Doktor pakar bedah berusia pertengahan 40-an dan berasal dari Jerman itu berpaling sekilas ke arah Sara yang masih terkial-kial menyarung sarung tangan nyahkuman keduanya. 'Double gloving'. Iaitu satu teknik di mana dua pasang sarung tangan getah nyahkuman disarung sebelum prosedur pembedahan dijalankan. Satu lagi polisi hospital yang harus dipatuhi walau kadang-kadang pakar bedah sendiri tidak mengikutinya. Leceh. Bukan mudah menyarung sarung tangan getah kedua di atas tangan sudah mempunyai selapis sarung tangan getah. Lebih-lebih lagi pelajar sepertinya yang baru beberapa kali mengikuti pembedahan.

Terkocoh-kocoh Sara menyarungkan sarung tangan getah keduanya. Usai menyarungkannya dengan susah payah, Sara bergerak ke meja pembedahan di mana seorang pakcik berusia 70-an sedang terbaring tidak sedarkan diri. Tidur setelah diberikan ubat bius. 

Dr Ritter pula sedang duduk di atas sebuah kerusi bulat sambil menghadap kaki kanan pakcik tersebut yang dilapisi dengan 'drape' nyahkuman yang berwarna biru. Seperti yang yang sering ditayangkan dalam drama-drama berkonsepkan medikal seperti Grey's Anatomy atau House. Begitulah suasananya.

"Sit." 

Arah Dr Ritter sambil menunjukkan ke arah sebuah lagi bangku bulat disebelahnya. Segera Sara mengambil tempat disebelah Dr Ritter. Takut ditegur lagi jika lambat dan berlengah-lengah.

Di hadapannya kini terjulur kaki pakcik tadi. Tidak normal kondisinya. Terdapat satu ulcer besar pada jari kaki ketiganya dan di hujungnya agak kehitaman. Tanda jari sudah buruk dan tidak dapat diselamatkan akibat komplikasi jangka panjang daripada penyakit kencing manis yang dihidapi selama puluhan tahun oleh pakcik ini.

"Take this knife and cut through the toe. Follow the line I already marked."

Sara agak terpinga-pinga dengan kenyataan Dr Ritter.

"Betul ke doktor ni nak aku kerat jari pakcik ni? Aku datang nak tengok je dan aku ni taraf student je kot. Mana boleh main kerat je jari orang." Hati Sara tertanya-tanya.

Dalam terpinga-pinga untuk menjawab, Dr Ritter sudah menyuakan scapel (pisau bedah) yang terletak di dalam kidney dish (bekas di mana alatan bedah sering diletakkan) berwarna kuning. Mahu tidak mahu, dicapai juga scapel tersebut. 

Terketar-ketar tangan Sara memegangnya. 

Peluh dingin mula merembes di dahinya. Jantungnya mula mengepam lebih laju, menyalurkan lebih banyak darah ke aorta. Dadanya mula berombak, memaksa paru-parunya untuk menyedut lebih banyak oksigen. Dan hujung jarinya mula terasa beku. Masakan tidak. Dia bakal memotong jari orang buat pertama kalinya dalam hidup.

Sara menarik nafas dalam. Kemudian dihembus perlahan. Cuba menenangkan diri. 

Setelah agak stabil dan rasa gemuruh agak terkawal, Sara mula memposisikan scapel  ke atas jari kaki pakcik tadi dan mula membuat torehan dalam.

"Push the knife harder. Just cut it all the way to the bone." sekali lagi Dr Ritter memberi arahan.

Tekanan yang lebih diberikan pada scapel di tangan Sara agar pisau bedah itu menusuk masuk sehingga ke tulang jari.

Tiba-tiba Dr Ritter melabuhkan tangannya ke atas tangan Sara. Dipegang tangan Sara sambil cuba mengarahkan tangannya agar menolak scapel itu lebih dalam.

"Yes. That's it. Follow the marked line but be careful not to cut your own finger."

Dr Ritter memberi galakan sambil tangan dia masih memandu tangan Sara membuat lingkaran pada jari kaki pakcik tadi. Mungkin bimbang jika berlaku kesilapan dan kecederaan yang tidak diingini. 

Darah mula menitis dengan agak banyak. Kesan daripada torehan yang mengelilingi jari kaki pakcik. Dr Ritter meminta sekeping kapas kasa lalu menekap kesan luka. Mengelap darah yang mengalir.

Kemudian dia meminta alat bedah seterusnya daripada jururawat yang bertugas. Sara sendiri tidak pasti namanya. Pertama kali dia melihat alat tersebut. Rupanya seakan-akan playar tetapi sedikit besar saiznya dan dibuat daripada besi tahan karat keseluruhannya. Di hujungnya pula tidak tumpul tetapi tajam seperti gunting.

Dihulurkan alat bedah tersebut kepada Sara. Dan buat kesekian kalinya Sara terpinga-pinga.

"Nak buat apa dengan benda ni?" getus hati Sara.

"Put it on the toe and press the handle. This will crush the bone."

"Jap. Jap. Apa dia? Ni nak kerat terus sampai putus ke? Dan dia nak aku buat? Biar betik doktor ni. Aku ni student je weh." Sara memprotes di dalam hati.

"Here. Take this." 

Ujar Dr Ritter sambil meletakkan alat tersebut dalam genggaman Sara. Separuh hati Sara memegang pemotong tersebut.

"Bismillahirrahmanirrahim."

Hati Sara berbisik menyebut nama Allah sambil matanya terpejam rapat tatkala tangannya menekan kuat pemegang alat pemotong tersebut.

Krakkk.

Bunyi yang tidak enak menerobos gegendang telinga. Agak mengerikan. Bunyi tulang hancur dipatahkan.

Perlahan Sara membuka mata. Di tangannya kini kelihatan jari kaki pakcik tadi sudah tercerai daripada kaki dan kini melekat pada alat pemotong.

Ngeri. Gerun. Mual dan meloyakan.

Sara merasakan dirinya seolah-olah seorang aktres yang sedang berada di pentas layar perak melakonkan salah satu babak cerita seram. Adegan kerat-mengerat anggota badan manusia. Cuma yang berbeza hanyalah tiada jeritan dan raungan kesakitan pakcik tadi.

Alat bedah bersama-sama jari kaki tadi dihulurkan kepada Dr Ritter. Dr Ritter dengan selamba dan tenangnya mengambil jari kaki tersebut lalu dimasukkan ke dalam sebuah balang kecil untuk dihantar ke makmal dan diperiksa.

Sara hanya memerhati. Membisu seribu bahasa. Masih agak terkejut dengan apa yang tangannya sendiri telah lakukan.

"Maaf pakcik. Saya dah kerat jari kaki pakcik."

Bisik Sara di dalam hati. Terbit rasa bersalah dalam hati Sara walaupun sebenarnya dia tahu tiada kesalahan yang telah dia lakukan. Mungkin impak memotong jari orang buat pertama kali yang menimbulkan perasaan demikian. Potong kaki ayam pun dia tidak pernah. Inikan pula potong jari manusia.

"Tapi Dr Ritter ni macam tak rasa pape pun. Selamba badak je dia pegang jari pakcik tu. Siap buat muka biskut Marie lagi. Takde perasaan langsung ke dia ni eh? Hurmmm.."



*****


Sofa merah hati yang terletak di satu penjuru ruang tamu rumah berkembar dua tingkat itu menjadi sasaran Sara melabuhkan punggung. Dihenyakkan punggungnya di atas sofa empuk itu untuk menghilangkan seketika kepenatan dan keletihan setelah seharian dia berada di hospital. Dipicit-picit bahunya dan tengkuknya sebelum beralih menumbuk-numbuk perlahan betisnya yang lenguh.   

"Eh, baru balik ke Sara?"

Sara mengangkat mukanya dan matanya jatuh pada susuk tubuh di hadapannya, Hani, teman serumahnya.

"Aah. Baru je sampai. Duduk hilangkan penat jap. Awal balik hari ni Hani?"

Hani mengambil tempat di sebelah Sara. Dihadapkan wajahnya agar bertentang dengan teman serumah merangkap sahabat baiknya sejak di bangku sekolah menengah lagi.

"Hari ni awal sikit. Doktor lepas awal. Tak ada apa yang happening sangat dekat wad." Jelas Hani pada persoalan Sara.

"Ada apa-apa yang best ke jadi hari ni?" Soal Hani sambil matanya masih tetap tertumpu pada Sara.

"Saya kerat jari kaki sorang pakcik ni. Dr Ritter suruh buat. Seriously ngeri dan geli." Sara membalas sambil riak wajahnya jelas menunjukkan rasa geli yang dirasai. Jari kaki yang terputus itu kembali bermain-main di kotak fikirannya. Seperti diulang tayang kembali di kaca matanya apa yang telah terjadi hari ini.

"Wow! Bestnya! At least awak dapat new experience. Tak macam saya. Bosan je ke wad hari ni." Ujar Hani teruja.

"Memang new experience. Tapi still susah sikit nak terima. Mana pernah saya kerat jari orang sepanjang hidup saya ni. Dah rasa macam pembunuh bersiri pun ada. Tapi kan, Dr Ritter ni muka dia rileks je. Selamba je dia pegang jari kaki pakcik tu." Sara menambah penuh animasi.

"Hahaha." Pecah ketawa Hani mendengarkan kata-kata Sara yang yang dirasakan lucu dan mencuit hatinya.

"Kelakar la awak ni Sara. Memanglah doktor tu selamba dan rileks je. Dah memang kerja dia tiap-tiap hari. Kalau tak setiap hari pun, dah berapa banyak kaki orang dia potong. Sampai tak rasa apa-apa dah sebab biasa sangat. Alah bisa tegal biasa. Kita yang student baru belajar ni akan rasa ngeri la. Tapi lama-lama nanti kita pun sama macam dia orang jugak."

"Ha'ah kan. Betul jugak tu. Entah-entah kita nanti pun tengok orang mati pun dah tak rasa apa-apa sebab biasa sangat. Macam doktor-doktor kat hospital tu."

"Tu lah. Bila sesuatu tu menjadi kebiasaan, kita akan hilang perasaan pada benda tu. Macam kalau kita buat maksiat atau jahiliyyah lah. Pertama kali buat maksiat tu akan rasa bersalah sangat. Rasa berdosa sangat pada Allah. Tapi kalau dah tiap-tiap hari duk pandang dan buat maksiat sama, rasa berdosa tu dah tak ada. Sebab tu kita tengok selamba je orang buat maksiat kat luar sana tu. Togak kencing syaitan. Makan riba. Menipu. Hubungan seks luar nikah. Sebab dah biasa sangat semua benda tu. Kita pun macam tu jugak. Ada je jahiliyyah yang kita duk buat tiap-tiap hari sampai kita tak rasa jijik untuk buat. Malah kita pandang remeh pulak. Macam solat akhir waktu. Malas baca quran. Riak. Ego. Semua-semua tu lah yang biasa kita buat. Memang tak nampak obvious dosanya tapi masih mengundang kemurkaan Allah. Tapi kita takkan rasa apa-apa lah sebab dah terbiasa sangat buat." 

Terang Hani panjang lebar menyampaikan pendapatnya.

"Betul tu. Betul sangat. Sebab tu lah kita tak boleh teruskan maksiat yang kita buat kan? Sekali dah terbuat tu kena cepat-cepat bertaubat dan tinggalkan terus. Kalau buat jugak second time, still akan rasa berdosa tapi dah kurang sikit. Masuk kali ketiga hilang terus rasa berdosa tu." 

Sambut Sara. Terangguk-angguk kepalanya mengiyakan kata-kata teman serumahnya itu.  

"Itulah tandanya hati dah keras. Keras diselaputi dosa-dosa maksiat dan jahiliyyah kita tu. Macam Allah kata dalam al-quran surah al-Baqarah ayat 74,

Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang airnya memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan.

Powerfulkan ayat ni? Kerasnya hati kita lebih daripada batu sebab kita berpaling daripada al-quran dan melakukan segala larangan Allah. Sekeras-keras batu pun masih berubah bentuknya mengikut aliran sungai. Masih boleh menjadi lekuk bila ada air yang menitis atasnya buat masa yang panjang. Tapi hati manusia ni? Allah." 

Terang Hani penuh keinsafan sambil matanya menatap skrin telefon. Dia membaca kembali maksud ayat al-quran tadi melalui aplikasi al-quran yang terdapat dalam telefon bimbitnya.

"Sangat-sangat powerful ayat ni. Allah suka bagi perumpamaan dalam al-quran kan? Supaya mudah untuk kita hambaNya ni nak faham dan aplikasikan. Tapi ramai lagi manusia yang buta dan tak nampak. Degilnya lah manusia ni. Kalaulah mereka membaca dan memahami al-quran mesti dunia ni takkan kacau-bilau macam sekarang ni." Ujar Sara penuh rasa kesal.

"Itulah. Manusia sekarang dah jauh sangat daripada al-quran. Jadi bermula dengan kita lah untuk membina generasi al-quran tu kembali." Hani membalas.

"Betul sangat. Kita lah generasi muda yang perlu mulakan dulu. Sebab pemuda ni bersemangat dan penuh tenaga lagi. Kalau dah tua nanti kurang dah tenaga dan fikiran untuk membuat perubahan tu."

Sedang rancak dua orang teman serumah ini berbual, kedengaran azan berkumandang melalui telefon bimbit Sara.  

"Eh, dah pukul 5.30 dah. Dah masuk magrib pon. Jom kita solat jemaah sama-sama?" Cadang Sara sambil memerhati jam tangannya.

"Jom!" 
    





July 29, 2014

Salam Lebaran Dari Perantauan




credit



Allahu akbar. Allahu akbar. Allahu akbar. Lailahaillahu wallahu akbar. Allahu akbar walillahi hamd. 

Syahdu sekali pagi ini apabila corong telinga saya menangkap puji-pujian kepada Allah dari pembesar suara yang terpasang tatkala kaki melangkah menuju ke surau yang terletak di tingkat bawah Malaysia Hall. Syahdu membayangkan kemenangan yang diperoleh dengan berlabuhnya tirai Ramadhan semalam. Tanda berakhir sudah bulan penuh barakah dan rahmah. 

Ditambah rasa sayu menyambut lebaran kali ini di perantauan buat kali pertamanya berdua sahaja bersama-sama seorang ahli keluarga (usrah). Sementara ramai rakan-rakan yang lain beraya di kampung halaman. Sekurang-kurangnya kehadiran ukht ini mengurangkan rasa sayu dan kami saling melengkapkan raya antara satu sama lain. Haru-biru juga jika beraya bersendirian tanpa teman. 

Kami memilih untuk mengerjakan solat aidilfitri di surau Malaysian Hall bersama-sama sebilangan rakyat Malaysia yang tidak pulang ke kampung halaman dan tidak kurang juga dengan mereka yang memilih untuk merasai suasana kelainan beraya di perantauan. Dan alhamdulillah syukur ke hadratNya diberi kesempatan meraikan kemenangan ini bersama-sama mereka. Walau hanya ala kadar juadah yang dihidangkan selepas solat aidilfitri (masing-masing membawa potluck) kerana ingin menghormati tragedi MH17, ia sudah mencukupi dan cukup disyukuri. 

Apa yang diharapkan? Sudah pasti meraikan aidilfitri di perantauan tidak akan pernah sama dengan meraikannya di tanah air. Ditambah dengan peristiwa-peristiwa hitam yang tercatat di sepanjang Ramadhan kali dan juga rentetan insiden-insiden yang tiada kesudahan. Saudara-saudara di Gaza diserang Israhell Israel laknatullah, MH17 ditembak jatuh, saudara-saudara di Syria masih tersepit dan menderita disembelih si Bacul Basyar, rakyat Mesir dan Ikhwanul Muslimin masih ditindas oleh si Pondan as-Sisi, penderitaan saudara-saudara di Rohingya, dan krisis-krisis kemanusiaan lain yang melanda saudara-saudara seaqidah kita. Sudah pasti lebaran kali ini agak kelam dan disambut dengan kesayuan.

Terlalu banyak muhasabah yang perlu dilakukan pada 1 Syawal ini. Terlalu banyak ibrah (pengajaran) yang perlu diambil iktibar. Terlalu banyak perasaan yang bercampur-baur yang perlu ditapisi untuk dihayati dan diselami. 

Rindu. Pasti rasa ini akan menggamit diri apabila semakin jauh meninggalkan Ramadhan. Malah rasanya sudah dirasai tatkala takbir berkumandang dari surau Malaysian Hall. Sedih dan sayu  menyelubungi diri untuk meninggalkan bulan yang dihadiahkan khusus oleh Allah untuk kita, hambaNya. Agar kita dapat melatih dan mentarbiyah diri untuk memberi pengabdian seluruhnya pada Allah tanpa gangguan. Tanpa halangan. Tanpa bisikan halus lagi mengasyikkan syaitan durjana.  

Bila direnung dan difikirkan kembali amal sepanjang sebulan Ramadhan kali ini, saya agak gementar. Gementar memikirkan jika ia sudah cukup untuk dijadikan bekal sebelum bertemu Ramadhan seterusnya. 

Kadang terfikir, adakah sudah cukup saya mentarbiyah diri agar bersedia untuk menghadapi hari mendatang? Hari yang mana musuh sejati manusia sejak nabi Adam diciptakan sudah bebas dan tanpa pernah putus asa akan terus menghulur mesra tangan mereka mengajak kita menemani mereka di neraka kelak. 

Takut dan bimbang jika saya tidak cukup kuat dan akhirnya menyambut kembali huluran tangan sang iblis lalu ditempatkan bersama-sama mereka atau lebih buruk lagi. Naudzubillahi min zalik.

Kadang persoalan sempatkah untuk saya bersua kembali dengan Ramadhan pada tahun hadapan menjengah fikiran. Masih adakah waktu untuk diusahakan kembali pembaikan diri dan penambahan amal atau sudah tersurat ini adalah Ramadhan terakhir untuk dinikmati? Kerana malaikat Izrail datang menjemput tanpa mengira usia. Jika ini Ramadhan terakhir, semoga Allah menerima amal yang sekelumit cuma ini.   

Menang atau kalahnya kita, berjaya atau gagalkah kita di bulan Ramadhan dapat dievaluasi melalui perjalanan hidup seharian bermula pada 1 Syawal sehingga bertemu kembali pada 1 Ramadhan seterusnya. 

Pernah dikongsikan ketika usrah oleh ukht yang dikasihi kerana Allah. Tanda kemenangan kita adalah adanya perubahan pada diri kita selepas Ramadhan. Jika tiada perubahannya dalam diri kita selepas Ramadhan, maka kemungkinan  besar Ramadhan tahun ini telah berlalu dengan sia-sia. Tanpa pengampunan daripada Allah. Atau mungkin tanda kita belum menggunakan bulan Ramadhan dengan sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Maka dengan itu, puasa kita tidak lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga. Tidak lebih sekadar bulan untuk menurunkan berat dan menguruskan badan. Tidak lebih sekadar bulan untuk menikmati segala jenis juadah di bazar Ramadhan yang mungkin sukar diperoleh di luar waktunya. 

Allahu Allah. Alangkah ruginya kita.

Jika diberi kaca mata yang boleh melihat makhluk ghaib dan diberi alat bantu dengar makhlus halus, sudah pasti pada 1 Syawal ini kita dapat melihat dan mendengar syaitan berdekah-dekah mentertawakan kita. Bersorak-sorai penuh gembira. Tertawa gembira melihatkan tiadanya perubahan pada diri kita walau mereka tiada untuk memesongkan kita daripada jalan Allah. Bersorak-sorai gembira meraikan kemenangan mereka. Kemenangan mereka mendidik kita sebelum Ramadhan sehinggakan kedatangan Ramadhan langsung tidak mendekatkan kita kepada Allah. 

"Haha. Aku kena ikat dan dibelenggu sebulan pun masih tak ada perubahan pada mamat atau minah ni. Senang kerja aku nak tarik mereka ni teman aku kat neraka. Tak pun lagi teruk dari aku. Kat neraka paling dalam. Tu lagi aku suka. Padan muka." Pasti ini kata-kata syaitan yang bakal kita didengari jika diizinkan Allah.


(Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipu belaka kepada mereka. Mereka itu tempatnya di neraka Jahanam dan mereka tidak akan mendapat tempat lain darinya. 
(4;120-121)


Sejujurnya, saat saya bertakbir bersama-sama puluhan rakyat Malaysia yang lain tadi, hati kecil saya berbisik penuh tanya jika syaitan sedang melompat penuh keriangan menyambut kemenangan mereka. Tanda gagalnya saya pada Ramadhan kali ini. 

Jika ya. Allah, alangkah ruginya saya. 

Saya pernah bertanya kepada ukht yang dikasihi Allah ketika sesi usrah yang sama, apakah indikatornya jika seseorang itu berjaya?

Dan ukht ini menjawab, adanya pertambahan dalam amal seharian kita. Jika sebelumnya solat cukup culas atau sengaja diakhirkan pada akhir waktu, kini sudah tidak lagi. Jika sebelumnya hari-hari tidak dilazimi dengan bacaan al-quran, kini al-quran sudah menjadi teman sejati. Jika sebelumnya diri terasa begitu berat untuk beribadah kepada sang Pencipta, kini sudah tidak lagi. 

Malah terasa hati begitu seronok melaksanakan suruhan Allah. Terasa kedekatan diri kita kepada Allah. Malah amal kita semakin bertambah berbanding sebelum Ramadhan dan tetap konsisten selepas Ramadhan. Bukan hanya sekadar hangat-hangat bulan Ramadhan.

Selain ibadat, amatilah juga perubahan lain pada diri. Samada hati semakin suci setelah disental dan digilap sepanjang Ramadhan. Atau adakah ianya masih dalam keadaan sama? Busuk bernanah dan keras berkarat?

Jika sebelumnya hati kita diisikan dengan perkara selain Allah, adakah kini tetap sama? Adakah kita sudah meletakkan segala pengharapan hanya kepadaNya? Membenarkan dalam hati hanya cinta kepadaNya?

Tepuk dada tanya hati. Hanya Allah dan anda sendiri mengetahui jawapannya.

Hati suci yang meletakkan Allah sebagai yang utama itulah tanda kemenangan. Kerana ia menandakan tahap keimanan kita padaNya. Dan keimanan ini bakal membuahkan amal yang tiada hentinya selepas Ramadhan ini.

Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang menang dan syaitan beramai-ramai menangisi kekalahan mereka. Semoga Ramadhan kali ini merubah kita menjadi hambaNya yang bertaqwa kerana,

Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. 
(2;183)






July 24, 2014

What? I'm A Terrorist?!



"So, tell me what's the mechanism for heart regulation?" Dr Arnold bertanya. 

Doktor berbangsa Jerman itu mengarahkan pandangan matanya ke arah lima orang pelajar perubatan yang sedang duduk di hadapannya. Satu-persatu wajah mereka ditenung. Menantikan jawapan yang bakal keluar dari bibir mereka. 

Tetapi sepi. Tiada sebutir kata yang keluar daripada kelima-limanya. Masing-masing sebaik mungkin cuba mengelak daripada bertentang mata dengan Dr Arnold.  Ada yang menyambung menulis nota di buku. Ada yang lagaknya sedang berfikir tajam. Ada yang memandang kosong menembusi dinding seolah-olah hanyut. Tidak pasti samada sedang memerah otak mencari jawapan atau fikiran sudah hanyut melayang jauh keluar dari hospital.

"Is it regulated by the autonomic nervous system?" Tiba-tiba satu suara menjawab. 

Agak perlahan.  Tapi sudah cukup kuat untuk memecah kesunyian bilik kecil di hujung wad G62 di mana tutorial sedang  berjalan.

"Say it again. I'm a foreigner. I have bad hearing." Balas Dr Arnold sambil matanya mula tertumpu pada gadis bertudung labuh berwarna pink dihadapannya. 

Balqis, seorang gadis dari Malaysia. Seorang gadis yang lengkap mengenakan pakaian muslimah. Malah lengkap bersarung kaki dan bersarung lengan. Satu-satunya muslim yang bertudung dalam 'batch'nya dan sudah pasti satu-satunya yang bertutup-litup dari hujung rambut hingga hujung kaki dalam bilik itu.

"It is regulated by the autonomic nervous system." Balqis bersuara kembali. 

Tetapi kali ini dengan nada lebih tinggi agar doktor dihadapannya dapat mendengar jawapannya dengan jelas. 

"You can't just say it generally. You have to be specific. You have to explain it precisely." Dr Arnold membalas sambil matanya tertancap tepat ke arah Balqis. Tiada nada marah pada jawapan doktor yang berusia lingkungan 40-an itu.

"It's like when you want to build a rocket. You can't just simply put this stuff and mix with other stuff without knowing the real component to build it. It will just explode in your face." Sambung Dr Arnold sambil tangannya turut sama mengikut rentak percakapannya.

Balqis mencuba sekali lagi dengan menerangkan lebih lanjut mekanisma fisiologi jantung. Diterang satu-persatu walaupun ada dipertengahan penjelasannya dicelah oleh Dr Arnold kerana ada info yang diberi kurang tepat atau tertinggal.   

Sesi tutorial itu diteruskan lagi dengan penerangan lebih lanjut mengenai jenis-jenis ubat jantung. Semua menumpukan perhatian kecuali Balqis. Matanya seperti memandang tepat ke hadapan dan sedang memberi tumpuan tetapi fikirannya sebenarnya sedang mengulang-ngulang kembali kata-kata Dr Arnold. Kata-kata yang membuatkannya berhenti untuk berfikir sejenak.

Build rocket? Explode in your face? Doktor ni bunyi macam racist je. Macam nak kata muslim tu terrorist. Ke aku je yang fikir macam tu? 

Ligat fikiran Balqis mencari jawapan pada soalan dirinya sendiri. Cuba menginterpretasikan kata-kata doktor tadi.

Eh. Tapi kalau ye pun nak bagi contoh, tak payah la nak sebut roket dan explode bagai. Banyak lagi kot contoh lain yang lagi simple nak bagi. Perlu ke roket? Jangan la just sebab aku pakai tudung jadi dia terus cop aku ni terrorist. Muslim bukannya terrorist!

Marah Balqis dalam hati.

Tak pun doktor ni pro-Israel. Kan sekarang ni Israel tengah perang dengan Palestine. So dia ni maybe tak puas hati Israel dikerjakan teruk oleh briged al-Qassam. Sebab tu saja je nak sindir aku yang muslim tu terrorist. Ni sapa yang bedil sapa? Sapa yang terrorist sebenarnya? 

Balqis membebel dalam hati. Tidak terluah dengan kata-kata.

Hish. Tak puas hati betul aku. Nak je aku tanya apa maksud doktor ni sebut macam tu tadi. Tak patut kot dia cakap macam tu. 

Sambung Balqis di dalam hati. Ingin diluahkan tetapi itu bermakna dia bakal mencari masalah.

Takpe. Takpe. Fikir positif Balqis. Biarlah dia nak cakap apa pun. Yang pasti kau tau yang kau berada di pihak yang benar. Islam itu benar. Dan kufur itu adalah kebatilan. Kau tau yang Allah yang mengizinkan dan membenarkan dia mengeluarkan kata-kata tadi tu. Jadi biarlah. Maybe jugak dia tak sedar atau dia tak bermaksud pun macam tu. Kau je yang fikir jauh dan bukan-bukan. Jadi cukuplah. Benda pun dah lepas. 

Balqis cuba menenangkan dan memujuk dirinya sendiri.


*****


Marcapada ini islam sering dikaitkan dengan terrorism atau keganasan. Asal disebut islam pasti dalam kotak fikiran masyarakat umum dunia akan terbayangkan pengganas, roket, bom dan segala bentuk keganasan. Sepertinya sudah sebati perkataan islam itu dengan keganasan. Ini tidak dapat dinafikan kerana media Barat sudah berjaya memainkan peranan mereka untuk menanam propaganda ini jauh ke dalam benak masyarakat. 

Umum mengetahui perihal ini tetapi mungkin kurang dirasakan impaknya jika berada di tanah air tercinta yang majoritinya beragama islam. Tetapi bagi yang berada di luar negara yang negaranya bukan islam, tempiasnya kadang-kadang terkena juga. Mungkin tidak serius atau besar tetapi tetap dirasai. Lebih-lebih lagi bagi sisters bertudung yang jelas menunjukkan imejnya sebagai seorang muslim. 

Tetapi kini, di negara yang mengakui sebagai negara islam, islam turut diperlekeh. Contohnya dengan apa yang berlaku kini di Mesir. As-Sisi dengan bongkak, angkuh lagi sombong memerintah negara dengan kekerasan dan kekejaman. Pendemonstari aman ditembak dan ditangkap hanya kerana bersuara menuntut keadilan. Banyak masjid ditutup. Malah pelekat kenderaan dan slogan-slogan yang tergantung mengajak berselawat ke atas Rasulullah SAW juga haram untuk dipamerkan. Tetapi diganti pula dengan poster-poster besar As-Sisi.

Dan mengapa agaknya perkara ini berlaku? 

Mengapa agaknya islam seringkali dilabel dengan pelbagai label yang sangat tidak cocok dengan ajarannya yang sebenar? 

Mengapa agaknya sinar islam itu kelihatan pudar di dunia ini?

Sedangkan agama ini agama yang haq. Agama rahmat. Jadi adakah ini rahmat Allah? Dengan membiarkan hambaNya tertindas, tersepit dan berkubang dalam lumpur kehinaan di atas muka bumiNya? Atau adakah Allah itu zalim kerana sengaja membiarkan hambaNya merana dan menderita tanpa diturunkan pertolonganNya?

Tidak. Sudah pasti tidak. 

Allah itu tidak zalim tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri. Kita yang meletakkan diri kita terperosok jauh dalam lubang kehinaan ini dan kita juga sebenarnya yang menjadikan islam berada di tempatnya sekarang. 

Kerana jika kita percaya bahawa Allah tidak mungkin akan membalas kepatuhan hambaNya dengan kehinaan, maka kita perlu mengakui adanya lompang-lompang dalam perhambaan kita. Mengakui bahawa kepatuhan kita pada Allah belum cukup total dan teguh. 

Tidak cukup dengan hanya mengakui dan meluahkan dengan kata-kata "Aku seorang muslim" menjadikan kita seorang muslim. 

Tidak cukup dengan terteranya islam pada kad pengenalan menjadikan kita seorang muslim. 

Tidak cukup dengan dilahirkan dalam keluarga muslim dan mempunyai nama islam menjadikan kita muslim. 

Menjadi muslim itu menuntut kita mempunyai pengetahuan islam yang dengannya akan terlahir perbuatan kepatuhan pada Allah. Pengetahuan islam itu meliputi pengetahuan siapa Tuhan yang sebenar, perintah-perintahnya, cara-cara untuk menurut kehendakNya dan perbuatan-perbuatan yang dicintai dan dimurkaiNya. Dan dengan pengetahuan ini, kita akan tunduk dan patuh melaksanakan segala perintahNya tanpa soal.

Ini yang membezakan seorang muslim dengan seorang non-muslim. Maka jika pengetahuan kita tiada bezanya dengan non-muslim, adakah kita sudah benar-benar muslim? 

Kita masih meninggalkan kitabNya, panduan dan manual bagi kita. Maka adakah cukup pengetahuan kita untuk mengenali Pencipta kita? Kita biarkan kitabNya berhabuk di atas rak, tidak dibuka dan dibaca. Dan jika dibaca, adakah kita memahami dan memaknai kalamNya agar dapat kita mengetahui cara-cara menjadi hambaNya yang patuh? Atau kita sekadar terkumat-kamit membaca di bibir seperti membaca jampi mentera?

Kita jauh dari mengamalkan sunnah kekasih Allah. Sunnah yang mengajar kita jalan untuk memperoleh kehormatan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat. Adakah kita sudah mengamalkannya? Atau hanya mengambil sekerat yang dirasakan sesuai dengan cara hidup dan meninggalkan sebahagian lain yang sukar untuk diaplikasi dalam kehidupan? Atau lebih malang lagi, hanya sekadar mengambil hadith-hadith tertentu untuk menghebatkan dan melariskan barang jualan. 

Maka dengan kurangnya pengetahuan kita tentang kalamNya dan sunnah kekasihNya, malah tanpa segan silu lagi kita melanggar suruhan-suruhanNya, adakah layak jika kita digelar seorang muslim?

Saya bukan ingin melabel. Bukan juga ingin menuding jari kesalahan kepada sesiapa. Malah saya juga seorang manusia marhaen yang banyak kekurangan. Tetapi saya tidak lain hanya ingin membawa kita semua kembali muhasabah dan berfikir sedalam-dalamnya, apakah erti syahadah kita selama ini?

Adakah syahadah kita membezakan pengetahuan dan perbuatan kita dengan non-muslim? Atau langsung tiada bezanya? Seorang non-muslim tidak membaca malah tidak tahu apa yang terkandung di dalam al-quran. Adakah kita juga sama seperti mereka? Begitu culas untuk membuka, membaca dan memahaminya?

Seorang non-muslim tidak patuh dan mengingkari segala suruhan dan perintah Allah. Adakah kita juga sering meninggalkan suruhanNya dan melakukan laranganNya? Begitu keras kepala sehingga mengacuhkan Allah dan menghambakan diri kepada nafsu sendiri?

Jika tiada bezanya kita dengan non-muslim, bagaimanakah kita boleh mengaku diri kita seorang muslim dan mengharap pertolongan Allah akan datang dan agama ini kembali di puncak dunia? 

Selagi kita tidak betul-betul menjadi hambaNya yang taat, selagi itulah kita akan terus diratah dan dilapah oleh kuffar. Dihina dan ditindas oleh musuh-musuh Allah. Tanpa pertolonganNya. Maka tanggungjawab memahami dan kembali kepada islam yang sebenar itu terletak pada pundak kita. Agar suatu hari nanti dengan izinNya islam ini akan berada di ustaziyatul alam sekali lagi.

Jadi ayuh kita sama-sama memperbaiki diri dan menaikkan kembali agama ini ke tanggga yang tertinggi.






July 18, 2014

Hanya Kau Yang Pertama Bagiku


Credit


Grrrr. Grrrr. Telefon bimbit di atas riba Alwani bergetar. Terganggu seketika tumpuannya pada Dr Stuart yang sedang memberi tutorial mengenai ECG di hadapan. Matanya teralih pada mesej yang baru masuk.

Salam. Apa khabar iman semua? Dan semoga sentiasa dalam peliharaan Allah. =) Akak just nak remind homework hari tu. Hehe. Harap semua boleh habiskan Usul 20 time cuti ni ye. Dan sharelah nota masing-masing nanti. ;) p/s: homesick =(

Alwani tersenyum membaca mesej akak naqibahnya di Watsapp group usrah.

"Haih. Orang lain je yang cuti. Aku ni masih tersangkut kat hospital nih." Alwani bermonolog sendirian.

Dipandang sekali lagi mesej tadi. Matanya tertancap pada perkataan 'homesick'. 

Tiba-tiba hatinya sayu. Sedih mengenangkan dirinya yang sedang berpuasa dan bakal beraya di negeri orang tahun ini. Buat pertama kalinya. Bersendirian pula. Sedang teman-teman serumahnya yang lain sedang bercuti di Malaysia selama sebulan lebih. Cuti musim sejuk. Sempat mereka berpuasa sebulan malah masih sempat beraya di tanah air tahun ini. Kebetulan raya tahun ini jatuh dalam cuti musim sejuk. Hanya pelajar perubatan sepertinya sahaja yang cutinya tidak sama seperti yang lain.

Kata-kata Dr Stuart di hadapan sudah tengggelam dalam lautan perasaan yang bercampur-baur. Rindu pada keluarga semakin menggamit. Lebih-lebih lagi kurang dua minggu lagi raya akan menjelang.

Sebelum ini, pernah Alwani menyatakan hasrat untuk beraya di tanah air tahun ini pada ibu-bapanya. Tetapi permintaannya itu ditolak memandangkan dia perlu memohon cuti dengan pihak universiti yang mana cuti itu mungkin akan mengganggu pelajarannya. Serta cuti yang akan diberi oleh pihak universiti hanyalah 5 hari bekerja.

"Bukan mak dengan ayah tak nak bagi balik tapi buat penat badan je kalau balik. Bukannya dekat. Cuti pun tak lama. Nak kena naik jumpa Dekan lagi nak minta cuti. Mak tak nak Alwani susah. Tu je. Bukan tak nak bagi balik." Ibunya pernah memujuk.

Akhirnya setelah dipujuk beberapa kali oleh ibu bapanya, Alwani mengalah. Dibatalkan hasratnya untuk pulang. Ada benar juga kata ibu bapanya. Memang memenatkan badan kalau balik. Kerana perjalanan pulang sahaja boleh memakan masa dua hari untuk sampai ke kampungnya. Nak berjumpa Dekan universiti lagi untuk memohon cuti. Renyah dan menyusahkan.

Tapi hari ini, hatinya berbolak-balik. 

Betul ke aku tak nak balik ni. Macam sedih sangat je kalau tak balik ni. Raya sorang-sorang.

Ke, balik je lah. Tak yah bagitau mak dan ayah. Balik senyap-senyap. Hatinya membisikkan idea baru.

Pantas telefon bimbit di tangan dibuka dan aplikasi carian tiket murah di talian ditekan. 

"Boleh tahan jugak harga tiket ni. Mahal sikit. Tapi boleh lagi kalau nak balik ni."Alwani berkira-kira. 

Hatinya sudah hampir membulatkan tekad untuk pulang beraya di kampung. 

Tetapi tiba-tiba dia teringatkan satu program umum yang dirancang untuk dijalankan bersama teman-teman seusrahnya seminggu selepas hari raya. Setelah mereka semua kembali apabila cuti musim sejuk tamat. 

Alamak, bertindan dengan program la pulak kalau balik. Hati Alwani merungut.

Dia serba salah. Nak mengikut kata hati atau mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Kalau ikut hati memang dia nak balik. Tapi mengingatkan komitmen yang diberi untuk event yang bakal diadakan malah kepercayaan teman-teman seusrah yang lain, dia ragu-ragu.

Homesick jugak. Dah start survey tiket dah. Possible je balik Malaysia untuk raya tahun ni. Huhu.  =(

Alwani membalas mesej Watsapp group usrahnya. 

Dia berharap ada ahli usrahnya yang akan memujuk. Jika tidak pun, sekadar memberi simpati. Itu juga sudah cukup baginya.

*****

Belakang Alwani sakit-sakit. Kakinya juga sudah lenguh-lenguh. Sakit dan lenguh setelah berdiri lebih empat jam kerana membantu satu pembedahan. Dia sendiri yang mencari penyakit. Ditawarkan diri untuk berada dalam salah satu pembedahan membaiki abdominal aortic anerysm (AAA) hari itu. Tetapi malangnya, terdapat komplikasi ketika pembedahan menyebabkan ia terpaksa dilanjutkan.

Sampai sahaja di rumah Alwani terus melabuhkan punggung di kerusi dapur. Sambil mengurut-ngurut betisnya yang lenguh, matanya menatap skrin telefon bimbit. Ditekan butang Watsapp group usrahnya. 

Sampai hati diaorang. Ignore je apa aku cakap. Terus cakap pasal program yang nak buat tu. Takde lah nak berbasa-basi ke. Ke memang dia orang tak pernah suka aku pun. Sebab macam selalu je macam ni. Selalu kena ignore. Hati kecil Alwani berbisik. Agak terguris dengan perlakuan ahli usrahnya.

Bukanlah Alwani inginkan begitu banyak perhatian. Tetapi dia sering rasakan bahawa dia sahaja yang sering berusaha untuk mengembirakan yang lain. Dia yang sering terpaksa berkorban. Dia yang sering terpaksa menelan dan menahan perasaan. Sedangkan yang lain kadang-kadang boleh buat tidak tahu. Malah buat muka lagi. Itu kadang-kadang membuatkan Alwani terasa seperti bertepuk sebelah tangan.

Alwani malas ambil pusing perbualan ahli usrahnya yang lain di Watsapp group. Terus didial nombor ibunya.

Gembira bukan kepalang dia mendengar suara ibunya. Mereka berbual panjang. Lamanya sehingga lebih satu jam mereka di telefon. Bertanya khabar sambil bergurau-senda.

Segala masalah dicurahkan kepada ibunya. Segala apa yang terjadi di hospital diceritakan pada ibunya. Segala yang berlaku dalam hidupnya hari itu dikongsikan dengan ibunya. Semuanya tanpa ada rahsia. Hubungannya dengan ibunya sejak dari dahulu begitu. Mereka cukup rapat sehinggkan jika ditanya siapa sahabat karib, Alwani tanpa ragu-ragu menjawab sahabat karibnya adalah ibunya sendiri.

Alwani gembira setelah bercerita dengan ibunya. Senyumannya kembali terukir di bibir.

Tetapi walaubagaimana dia tersenyum sekalipun, dia tidak dapat menipu diri sendiri. Hatinya masih ada rasa kurang senang, tidak tenang dan bercelaru.

Alwani tidak tahu mengapa. Hatinya masih ada rasa tidak puas hati. Masih ada rasa jengkel. Masih ada rasa yang menghimpit. Dadanya rasa sesak dengan semua perasaan ini. Tetapi dia buntu. Buntu mencari jalan penyelesaiannya.

*****

Usai solat isyak, tangan Alwani mencapai al-quran tafsir di atas meja. Dibacanya satu muka sebelum mentadabbur ayat-ayatnya. 

Sampai pada satu ayat, dia berhenti. Ditatap lama ayat itu. Kemudian dibaca ayat itu sekali lagi. Ayat ini cukup menyentuh sanubarinya. Tiba-tiba air matanya bergenang. Sebak mula menguasai diri dan tidak semena-mena setitis air matanya gugur. Tetapi, dibiarkan sahaja air mata itu tidak diseka.  

Matanya masih tidak berganjak daripada ayat tadi. Dibaca lagi ayat itu berulang kali dan dimaknai bait-baitnya. Hatinya terasa cukup basah dengan ayat yang dibaca sehinggakan pipinya juga turut mula dibasahi dengan air mata dan disusuli dengan esakan kecil.


Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan, dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim menjadi kesayanganNya.
(An-Nisa', 4;125)


Allah. Zalimnya aku selama ni. Jahilnya aku. 

Agama aku rupanya masih ada lompang yang perlu diperbaiki. Dalam sedar atau tak aku masih tidak ikhlas dalam amalku untukMu.  Aku masih buat sesuatu kerana mencari redha makhluk marhaenMu. Sedangkan yang aku patut utamakan adalah redhaMu. 

Tak kiralah apa reaksi manusia lain dengan kebaikan yang dihulurkan. Mereka menerima atau tidak. Mereka menyukai atau tidak. Itu sepatutnya aku tolak tepi. Kerana segala kebaikan yang aku lakukan hanyalah keranaMu. Kerana apa aku ikut tarbiyah semua kalau bukan keranaMu.

Tapi seolah-olahnya sekarang aku lakukan semua ini bukan keranaMu. Aku masih tidak ikhlas. Aku masih berkira dan tidak berlapang dada. 

Aku masih mengharap perhatian makhlukMu sedangkan 24 jam tanpa henti Kau memberi perhatian padaku. 

Aku masih mengharap sekelumit balasan daripada makhlukMu sedang Kau sudah memberi pelbagai bentuk nikmat yang tidak terkira padaku. 

Aku masih belum betul-betul berserah diri padaMu apabila aku mencari keluargaku untuk meluahkan perasaan dan masalah sedang Engkaulah yang Maha Mendengar dan sentiasa dekat denganku.

Aku masih merindui keluargaku lebih daripada rasa rindu untuk berjumpa denganMu di akhirat sedangkan Kau setiap detik merindui dan menanti hambaMu kembali padaMu.

Dan aku masih meletakkan Engkau di tangga kedua dalam hidupku tanpa aku sedar sedangkan Engkau tidak pernah sesekali melupakan aku.

Allahu.
Patutlah hatiku selalu tak tenang. Patutlah aku resah. Kerana walaupun aku dalam tarbiyah, hatiku masih ada karat-karat jahiliyyah tanpa aku sedar. Karat-karat halus yang aku sendiri tidak nampak. 

Mungkin aku sudah jauh dari maksiat dan jahiliyyah yang besar. Tapi rupanya hati aku masih tidak terlepas. Masih banyak perlu aku lakukan untuk mencungkil dan membuang semua karat-karat ini, ya Allah.

Allah ampunkan aku diatas kealpaanku.

Ampunkan aku di atas kekhilafanku.

Kini aku kembali sedar. Sedar sekali lagi dengan rahmat kasih sayang dan petunjukMu.

Dan kini aku berjanji.

Berjanji hanya Kau yang pertama bagiku.







 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...