Pages

December 26, 2013

Seketul Daging Bernama Hati








Aku melihat seketul hati,
Dulunya merah menyala dengan obor perjuangan islam,
Kini membara malap, tertunduk lesu menyembah bumi,
Kerna disiram apinya dengan curahan futur yang melalaikan.


Aku melihat seketul hati,
Dulunya harum semerbak didakap ukhuwwah fillah,
Kini membusuk, berlendir lagi merebak dipenuhi nanah ,
Kerna diselubung harumnya dengan najis hasad dan ego yang meloyakan.


Aku melihat seketul hati,
Dulunya berkilau gemerlapan digilap tarbiyyah,
Kini menggerutu, berkarat tebal menghilangkan serinya,
Kerna ditempel kilauannya dengan karat jahiliyyah yang merosakkan.


Aku melihat seketul hati,
Dulunya suci bersih disental muhasabah dan taubat kepadaNya,
Kini kelam, berbintil hitam memenuhi segenap penjuru,
Kerna dinodai kesuciannya dengan maksiat dan dosa yang menjelikkan.


Aku melihat seketul hati,
Dulunya lembut basah digenangi dzikir mengagungkanNya,
Kini gersang, merekah lagi rapuh menanti untuk jatuh berkecai,
Kerna dihenyak kelembutannya dengan kata-kata lagha yang merugikan.


Sesungguhnya seketul hati itu, ku lihat terbenam dalam di dada sempitku....

December 20, 2013

Aku, Hamba Berkelana Di Bumi Tuhan



kredit


Aku dulu,

Bak anak kecil bermain sambil tersenyum sendiri,
Asyik dengan permainan duniawi penuh warna-warni,
Yang seindah pelangi selepas hujan di petang hari,
Hingga alpa tujuan lahirnya ke dunia yang fana ini.


Aku dulu,

Bak pelayar kehilangan kompasnya,
Belayar tanpa tahu destinasi akhirnya,
Hanya mara mengejar fantasi dunia,
Terlupa tugas agung menjadi khalifahNya.


Aku dulu,

Bak penjenayah di mahkamah duniawi,
Berhujah penuh semangat membela diri,
Beralasan untuk bersenang dan bergoyang kaki,
Dari mengerah keringat menyampaikan al-Haq yang suci.


Aku dulu,

Bak tikus kecil di kawasan pembentungan,
Yang busuk, kotor, gelap lagi menjijikkan,
Diselubungi jahiliyyah pekat, hitam yang merosakkan,
Membutakan hati dari merasa indahnya hidup bertuhan.


Aku dulu,

Bak kijang buta lari ketakutan,
Ke kiri, ke kanan mengelak sang murabbi punya bidikan,
Juga dari perangkap tarbiyah yang penuh kemanisan,
Dek gersang dan kontangnya hati kehausan iman.


Aku kini,

Bak bayi baru lahir dari rahim ibunya,
Menangis nyaring sesaat udara mengisi paru-parunya,
Hati meraung saat dikenalkan kembali siapa itu Sang Pencipta,
Kerna sesal betapa jahilnya diri sebagai hamba marhaenNya.


Aku kini,

Bak singa garang mengaum di hutan belantara,
Gagah perkasa mengejar buruan yang lincah larinya,
Bersemangat jitu menyebarkan risalah ad-deen mulia,
Tatkala sedar tugas khalifah tergalas di atas bahunya.


Aku kini,

Bak empangan yang melimpahkan isinya,
Menyalir dan menyuburkan tanah yang kemarau sekian lama,
Membasahi segenap hati dengan iman kepada Pencipta Yang Esa,
Sambil menyulusuri liku tarbiyah mengharapkan hanya redhaNya.


Aku kini,

Bak orang minyak yang gigih menyental kulitnya,
Membersihkan lekit minyak hitam dengan sedayanya,
Sesukar mengikis tebal karat jahiliyyah bersarang di jiwa,
Akhirnya bebas dari perhambaan yang selain daripadaNya.


Aku kini,

Bak Si Pungguk merindukan bulan di malam hari,
Yang makannya tak kenyang terkenangkan si jantung hati,
Hanya mendamba kasih dan rahmah pemilik alam buana ini,
Agar dapat menghadap Ar-Rahman Ar-Rahim di syurgaNya nanti.



P.s - Puisi ni ditulis ketika berdaurah. Nampak sangat tak fokus masa tu. Hehe. Tapi sekurang-kurangnya harap dapat memberi manfaat. ^_^

December 8, 2013

Wanita Tua Itu










Farhah menoleh jam tangannya yang berjenama B.U.M hadiah pemberian ibunya. 


"Alamak lagi lima minit. Sempat ke nak kejar bas ni. Jangan la terlepas lagi macam semalam."    


Farhah menggumam dalam hati.

Kakinya melangkah pantas di kaki lima kedai berdekatan rumah sewanya menuju ke arah perhentian bas. Perhentian bas yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya itu tidak lah terlalu jauh. 


Tetapi mengirakan masa yang diperlukan untuk melintas jalan ditambah sistem pengangkutan awam yang sangat cekap dan menepati masa, dia ragu-ragu akan sempat mengejar bas kali ini. Jika terlepas kali ini, terpaksalah dia menunggu bas seterusnya 15 minit kemudian. Alamatnya dia akan terlewat menyertai ward round pagi itu.


Semalam dia sudah terlambat ke hospital kerana ketinggalan bas. Kali ini dia nekad tidak mahu terlambat lagi. Cukuplah jelingan tajam consultantnya semalam menjadi amaran baginya agar menepati masa. Naik meremang juga bulu romanya melihatkan panahan tajam itu. Masakan tidak, Dr Erensson yang terkenal dengan ketegasan beliau sudah beberapa kali menghamburkan amarahnya kepada pelajar perubatan yang tidak cekap dan tidak berdisiplin. Dan dia tidak mahu terkena penangan amarah Dr Erenson.


Hati Farhah semakin cuak mengingatkan muka tegas consultantnya. Peluh dingin mula merembes keluar dari liang-liang roma kulitnya dan membasahi kulitnya sambil kaki terus melangkah laju.


"Itulah. Siapa suruh tidur lepas subuh. Kan dah tak berkat. Terlambat pulak tu." 


Farhah membebel dirinya sendiri. Satu perkara yang sering Farhah lakukan bilamana dia membuat kesilapan atau ada insiden yang memalukan diri.


Satu perkara yang dipelajari dan agak sukar untuk diaplikasikan Farhah sejak  menyambung pelajarannya ke Negara Koala ini adalah menepati masa. Agak sukar baginya untuk merancang perjalanan. Yalah, di Malaysia sangat jarang orang menepati masa. Kalau berjanji pukul 11 pagi, pukul 11.30 baru akan nampak batang hidung.  Tapi di sini, tepat pada masanya adalah mesti dan perlu dihormati kecuali ada sesuatu yang di luar jangkaan berlaku. Itu akan dimaafkan.


Bukan Farhah tidak cuba untuk mengamalkan budaya yang baik ini. Cuba untuk menepati masa sebaik mungkin. Cumanya, dalam seminggu ini dia beberapa kali terlambat ke hospital dek malamnya dia terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan repot ditambah dengan segala tok nek pelajaran yang perlu ditelaah. Hari-harinya dia kepenatan berkejar mengikut doktor di hospital. Malamnya pula tidur tidak cukup kerana diganti dengan membaca buku-buku medikal yang tebal sebagai bahan telahan. Dia penat. Teramat penat. Dek kepenatan seharian, dia sering terlambat bangun tidur dan akhirnya lambat ke hospital.

*   *   *



“Wait! Wait!” 


Farhah menjerit sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah bas yang berhenti di perhentian bas. Bas bernombor 24 itu sedang setia menunggu penumpang untuk memenuhi perutnya. Kelihatan penumpang terakhir telah melangkah ke dalam perut bas. Beberapa ketika lagi bas akan mula bergerak. Tapi Farhah masih lagi berlari-lari anak menuju ke arah bas, masih agak jauh ketinggalan.


'Come on. Lagi 50 meter je. Janganlah driver bas ni buat-buat tak nampak.'
Hati kecil Farhah mengomel. Kaki yang sebelumnya luas melangkah kini sudah mula berlari-lari anak menghampiri bas bernombor 24 yang destinasinya menuju ke arah bandar. 

Sampai di hadapan pintu bas, Farhah tercungap-cungap. Sepanjang mungkin nafas ditarik untuk mengisi paru-parunya yang kehausan oksigen. 'Alhamdulillah. Sempat jugak.' 

  
"Mornin'!" 


Sapa pemandu bas ramah sambil memerhati Farhah yang terkial-kial mencari kad pas pengangkutan awam dalam beg tangannya. 


Farhah menguntumkan senyuman manis sambil mengucapkan terima kasih. Ditag kad pengangkutan awamnya dan kemudian duduk di kerusi kosong berdekatan sambil menghela nafas lega.



*  *  *               


Farhah terduduk kepenatan di kerusi di hadapan wad 9A. Sebuah sudut kecil yang menempatkan beberapa buah kerusi dan sebuah meja kecil yang dipenuhi dengan beberapa buah majalah. Ruang menunggu yang disediakan untuk pelawat bagi pesakit wad 9A, sebuah wad geriatric. Kelihatan sepasang suami isteri lingkungan 70-an sedang berbual-bual rancak tidak jauh dari tempat duduknya. Melawat rakan barangkali. Farhah membuat telahan.


Matanya dipejam kejap. Kepenatan. Impak dari berjalan dan berdiri sejak melangkah ke hospital pagi tadi. Sejak dari pagi Farhah bergerak mengikut Dr Erensson membuat ward round bersama kumpulannya yang terdiri daripada seorang registrar, dua orang intern dan tiga lagi pelajar perubatan sepertinya. Kebetulan minggu ini ramai pesakit diletakkan di bawah Dr Erensson. Jadinya ward round minggu ini lebih lama dan lebih meletihkan dari biasa.


Sekilas Farhah menoleh jam di tangan. Jarum jam menunjukkan jam 11.45. Baru sekarang Farhah berpeluang untuk duduk, menghilangkan seketika lenguh kaki yang mula menjalar. 


Sedang dia berkira-kira sama ada ingin turun ke cafe hospital makan tengah hari atau pergi berjumpa dan mengambil history seorang pesakit, Shen, seorang rakan sekumpulan yang juga dari Malaysia menyapa.


Hey Farhah, do you wanna come with me and see a new patient?”


Farhah memandang Shen. Menimbang-nimbang.


Yup. Sure. Who’s the patient?


She’s Mrs Davis in 4D. She came for UTI yesterday. But she has Alzheimer for years. Might not take her history since it’s not that helpful but we can just do mini mental state examination.” Terang Shen ringkas.


Ok. Let’s meet her.


Farhah berjalan beriringan dengan Shen menuju ke arah katil 4D. Kelihatan seorang wanita 70-an yang agak berisi sedang duduk di sebuah kerusi bersebelahan katil sambil membuang pandang ke luar jendela.


Wanita dengan rambut beruban putih ke paras bahu dan mengenakan baju tidur berwarna biru muda itu begitu asyik melihat pemandangan di luar jendela. Melihat kereta menyusuri jalan raya dan kereta api bergerak mengikut landasannya. Atau mungkin memandang kosong dan mengelamun sebenarnya.


Dek terlalu hanyut dalam lautan fikirannya, wanita lebih separuh abad ini tidak menyedari Farhah dan Shen yang kini sudah berdiri menghadapnya.
Shen lalu menegur lembut Mrs Davis. Mematikan lamunannya. Kepalanya menoleh dan dipandang anak muda berbangsa Cina itu dengan senyuman ceria. Jelas terpamer kedutan di sudut mata dan di sebahagian besar wajahnya yang dimamah usia. Tanda usianya yang semakin senja.


Shen dengan ramahnya memperkenalkan dirinya dan Farhah serta tujuan mereka berdua menemui wanita itu.


Hello Mrs Davis. I am Shen and this is my collague, Farhah. We’re fourth year medical students. So, today we would like to assess your mini mental state. It’s just basically asking you a few simple questions. Are you okay with that?


Ini adalah ayat pengenalan diri yang dihafal dan digunakan oleh hampir semua pelajar perubatan. Dialog yang sama, cuma diubah mengikut situasi. Senang. Ringkas. Tidak perlu memerah otak untuk menggoreng ayat yang extravaganza.


Shen bertanya sedikit sebanyak kondisi Mrs Davis hari itu. Sekadar membina rapport atau berbasa-basi. Wanita berbangsa Inggeris itu begitu peramah. Begitu senang bercerita dan begitu ceria. Farhah dan Shen melayan sahaja segala ceritanya. Kadang-kadang terangguk-angguk kepala mereka mengiya cerita wanita itu. Kadang-kadang tersengih-sengih mereka mendengar lawak Mrs Davis.


Sedang Shen khusyuk mendengar cerita penghijrahan Mrs davis ke Australia lebih 40 tahun lalu, mata Farhah melilau memerhatikan sekeliling wad. Wad ini menempatkan empat buah katil pesakit yang disusun berhadapan antara satu sama lain bersama sebuah kabinet kecil di tiap-tiap sebelah katil.


Katil di sebelah Mrs Davis kelihatan lengang tapi jag air dan gelas di atas meja menandakan katil tersebut bertuan.


‘Ke fisioterapi atau ke tandas mungkin.’  Getus hati Farhah.


Matanya beralih ke arah katil berhadapan Mrs Davis. Seorang pesakit wanita sedang tidur dengan selimut menutupi paras dada. Badan pesakit tersebut bergerak perlahan. Mengubah posisi badan barangkali.


Tiba-tiba telinga Farhah menangkap suara halus mengerang kesakitan. Setiap kali sekujur badan pesakit itu bergerak ia akan diringi dengan suara yang mengaduh kesakitan. Sedikit demi sedikit pesakit itu bergerak mengubah posisi badannya.


Timbul rasa kasihan dalam hati Farhah. Lantas dia mengangkat punggung menuju ke arah pesakit berkenaan. Meninggalkan Shen dan Mrs Davis yang semakin rancak berbual.


Mrs Smith. Farhah membaca nama yang tertera di atas kepala katil. Farhah menegur Mrs Smith lalu menawarkan diri untuk membantu. Mendengarkan tawaran Farhah, jelas terpampang rasa lega pada wajah tua itu.


Perlahan-lahan dan dengan penuh berhati-hati Farhah menolong wanita tadi membetulkan baringnya. Dengan penuh kepayahan dan kesakitan, akhirnya wanita tadi berbaring dengan posisi berlawanan dari sebelumnya. Lenguh badan berbaring dengan kedudukan yang sama berjam-jam lamanya. Terang Mrs Smith. Tetapi wajahnya sungguh muram dan sugul. Mungkin tidak tertahan dan tertanggung dengan kesakitan yang dialami.


Baru Farhah ingin berlalu, Mrs Smith tiba-tiba bersuara,


Why I’m in pain? Why God make me suffer? Why God doesn’t love me?


Farhah terkedu. Kaku. Tidak pasti bagaimana ingin membalas.


Dipandang wanita tua itu dengan penuh belas kasihan,


It’s alright, dear. It’s not that God doesn’t love you. Because He loves you, He gives you this test. Because He knows you’re strong and can overcome this test. He just prepares you to be stronger. He just knows you can go through this. Just remember Him and pray to Him to ease everything.”


Tenang Farhah membalas.


Air mata mula bergenang di penjuru mata tua itu. Dipandang Farhah dengan penuh kasih. Kedua-dua tangannya kemudian mencapai tangan kanan Farhah dan digenggam erat tangan itu.


That is so sweet of you.”


Hati Farhah tersentuh. Tidak disangka dengan sedikit kata-kata semangat, dia berjaya mengembirakan seseorang yang sedang menderita kesakitan. Betul lah. Kadang-kala, apa yang diperlukan pesakit bukanlah segala jenis ubat untuk mengurangkan kesakitan tetapi yang diperlukan adalah sedikit kata-kata semangat untuk mereka mengharung dan meneruskan perjuangan mereka melawan penyakit yang dihadapi.


Farhah tersenyum. Dalam kotak fikirannya ligat menganalisa dua pesakit ini. Dia melihat betapa berbezanya dua orang pesakit ini. Mrs Davis yang sangat ceria dan positif sedang Mrs Smith bermuram dan dalam kesakitan.
Tetapi persamaan mereka berdua adalah pada satu titik bilamana mereka sangat menghargai sesiapa yang datang berbual-bual dan mengambil berat tentang mereka. Itulah manusia. Fitrahnya mereka sukakan kebaikan. Hanya sedikit ‘act of kindness’ boleh merubah hari seseorang menjadi lebih baik dari semalam. 


Hati Farhah berbunga girang mengenangkan hari ini dia telah belajar sesuatu yang sangat penting. Sesuatu yang tidak dapat dipelajari dari buku-buku teks tebal di perpustakaan. Sesuatu yang hanya boleh dipelajari dari pengalaman hidup. Dalam diam, hati Farhah berjanji untuk memegang dan mengaplikasikan pelajaran baru ini dalam dia meniti hari-harinya sebagai pelajar perubatan dan insyaAllah sebagai pegawai perubatan suatu hari nanti.


Glosari

Consultant - Senior doktor yang telah menamatkan latihan kepakaran a.k.a doktor pakar

Registrar - Doktor dalam training untuk menjadi pakar

Intern - Junior doktor a.k.a houseman di Malaysia

Ward round - Lawatan doktor pada setiap pesakit di bawah jagaannya 

Mini mental state examination - Sejenis ujian lisan yang dijalankan ke atas pesakit untuk menilai tahap memori mereka. 

Rapport - Berkenalan dan membina hubungan kepercayaan.  



P.s - Cubalah belajar untuk menepati masa.

P.s.s - Berbuat baiklah kepada sesiapa pun yang kita jumpa. Dan layanlah orang lain sama sepertimana kita nak orang lain layan kita. Mutual respect.

P.s.s.s - Saya pon still struggle untuk mengurus masa. Haih. -_-

December 7, 2013

MASTER! tunjuk ajar ku sifu?



Ohoi! Iced coffee ini sangat menggoda!


Ok, ini bukan iklan mempromosikan 'iced coffee' berjenama Masters. Ini juga bukan post berkaitan dengan Masters degree yang baru diperoleh selepas tamat pengajian. Juga bukan post berkaitan dengan shaolin kung fu master yang berkepala botak dengan kain kuning dan merah membaluti badan. Jadi anda boleh meneruskan pembacaan anda.  

Habis tu, post ni pasal apa? Tanya anda dengan dahi berkerut berlapis-lapis macam kuih lapis. 


Erk... Sabar kak, sabar. Kalau marah nanti kene jual. =P




Post ini tidak lain hanya sekadar ingin memberi definisi perkataan 'master' dari bahasa mat salleh ke dalam Bahasa Melayu bagi mereka yang masih tidak mengetahuinya. 

What! Itu je ke? Baik tak payah tulis! Marah anda lagi sambil terjegil biji mata.


Ok ok. Itu tipu. Post ini bukan nak beri definisi master. Itu hanya gimik semata-mata ye. 


Anda mula mengepal-ngepal penumbuk anda yang tak berapa nak besar tu. 


Baik. Tenang, tenang. *Sambil angkat tangan tanda surrender.


Apa yang ingin saya tuliskan sebenarnya lebih dari sekadar itu. Apa yang ingin dikongsikan adalah untuk merungkai maksud 'master' dengan lebih terperinci dalam konteks kita sebagai muslim. Siapakah 'master' dalam hidup kita? Dan apakah erti 'master' ini dalam kehidupan kita?


'Master' dalam bahasa mat salleh jika diterjemahkan dengan ringkas ke bahasa ibunda kita membawa maksud 'tuan'. Dan 'master' mempunyai kata lawannya iaitu 'slave' yang membawa maksud hamba. Perkataan 'master' dan 'slave' ini agak sensitif bagi sesetengah bangsa terutama bangsa yang pernah ditindas pada zaman dahulu. Terutama ketika zaman perhambaan orang Afrika di Amerika. Tetapi jika dibelek kembali buku sejarah, sebenarnya sejarah perhambaan ini bermula pada zaman jahiliyyah lagi. Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul. Even ketika zaman firaun lagi.


Dalam sistem perhambaan seorang hamba perlu mentaati tuannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ianya ibarat penyerahan total kepada tuannya. Dan setiap perhambaan datang dengan paksaan. Dan saya berani jamin, semua hamba tidak pernah ingin atau tidak pernah berharap menjadi seorang hamba. Mereng agaknya sesiapa yang rela diri mereka diperhambakan. Tidak akan pernah ada seorang manusia yang ingin diri mereka diperhambakan. Tidak akan ada seorang manusia yang datang kepada manusia lain sambil berkata, "Aku nak jadi hamba kau. Rantailah aku. Aku rela buat segala suruhan kau." Jika ada, orang ini memang gila!


Selagi tuannya tidak membebaskan, tiada apa yang dapat dilakukan oleh si hamba selain berkhidmat dengan setia terhadap tuannya. Si hamba saban hari menunggu untuk dibebaskan atau ditebus. Tidak sabar untuk bebas dari perhambaan kepada tuannya. Even, ditempat kerja, jika kita disuruh melakukan pelbagai kerja diberikan oleh majikan yang melebihi kapasiti kerja, kita akan mula mencebik bibir sambil tidak habis-habis mengomel tidak puas hati. Itu baru majikan, dan kita juga dibayar untuk bekerja. Bukannya kerja free. Bayangkan kalau kita jadi hamba. Mahu hari-hari tuan kita dapat pahala percuma kerana mulut Cik Joyah kita asyik mengutuk dan memaki hamunnya. Tapi di belakang tuan atau dalam hati je la kan. Kalau tak, mahu haru biru dikerjakan oleh tuan.


Apa relevannya penjelasan panjang lebar mengenai 'master' dan 'slave' ini? Saya ingin membawa anda menghayati kembali dua perkataan ini dalam kehidupan kita. Kita mungkin bukan hamba kepada manusia lain seperti zaman-zaman dahulu. Tetapi kita adalah hamba kepada Pencipta kita, Allah Azza Wa Jalla sejak tangisan pertama sehingga hembusan nafas terakhir kita. Allah is the master and we are the slaves. Tetapi sangat unik dan cantik sistem perhambaan kita dengan Allah. Tidak seperti perhambaan manusia kepada manusia yang lain. Kerana apa? Kerana yang paling utama kita sendiri memilih untuk menghambakan diri kepada Allah. Kita sendiri dengan rela hati tunduk kepada segala suruhanNya. Bukan dipaksa. Bukan disuruh. Terpulang kepada setiap individu samada ingin menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah atau tidak. Sepertimana firman Allah,





لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Karena itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al-Baqarah [2] ;256) 


Jadi, apakah jenis perhambaan ini? Bukan paksaan tetapi satu pilihan? Wahai!


Walaupun Allah memberi pilihan, tetapi kita masih ingin menghambakan diri dengan tunduk kepada Allah dan mengakui Allah adalah sebagai tuan kita. Dan kita memanifestasikan perhambaan ini dengan sentiasa memuji dan bersyukur kepadaNya dan bersujud sekurang-kurangnya lima kali sehari kepadaNya. Tidak dilupakan juga dzikir pembasah lidah kita sehari-hari mengagungkanNya. Nah, ada hamba yang sanggup melakukan sedemikian rupa kepada tuan manusianya? Mengagungkan dan bersyukur kepada tuannya? Sudah pasti tidak. Malah, dalam hati mereka hanya terpalit rasa benci, rasa tidak puas hati dan dendam kesumat terhadap tuan mereka. Tiada rasa bersyukur, tiada rasa sayang. Malah, selepas perhambaan telah tamat berdekad atau berkurun lamanya, akan masih ada rasa benci oleh bangsa yang diperhambakan. Tetapi hebatnya Allah, Dia metakkan diriNya sebagai tuan kita dan sebelum itu, Allah menyatakan segala puji hanya bagiNya, segala syukur hanya kepadaNya dan segala kebaikan hanya daripadaNya sepertimana dalam surah al-fatihah: 
 


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٢)
  
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين

 Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
 (Al-Fatihah [1] ; 2)



Begitulah berbezanya hubungan perhambaan kita dengan Allah. Kita memuji, bersyukur dan menyayangi Allah. Sungguh cantik dan unik hubungan perhambaan ini.


Jika seorang hamba mungkin mendapat ganjaran yang begitu kecil, sekecil tahi hidung cuma dibandingkan dengan kerahan tenaga berkerja kepada tuannya, ianya berlainan dengan kehambaan kita kepada Allah. Segala usaha kita menghambakan diri kepadaNya, walau sekecil mana sekalipun, walau sekadar mengucapkan alhamdulillah dengan seikhlas hati, ianya akan dikira dan diberi ganjaran di akhirat kelak. Titik peluh dan keringat yang dicurahkan dalam menjadi hambaNya akan dibayar setimpal. Satu per satu akan dihitung. Tiada yang kurang. Walaupun sebesar zarah. Begitulah pemurahnya Allah terhadap hambaNya dan mereka tidak akan pernah dizalimi oleh Yang Maha Adil. Dan kita masih culas menghambakan diri kepada Allah? Alangkah ruginya. Sedangkan apa yang dituntut Allah hanyalah melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Cukup mudah. Cukup senang.  






PemurahNya Allah melebihi segala-galanya. Ar-rahman dalam ayat kedua surah al-fatihah sangat sukar dialih bahasa dengan hanya menggunakan satu perkataan, sehinggakan perkataan pemurah sahaja tidak cukup menerangkan ar-rahman. Para penafsir boleh menceritakan berhelai-helai malah boleh menghasilkan sebuah buku dengan perkataan ar-rahman. Ar-rahman menurut ustaz Nouman Ali Khan membawa maksud, cinta Allah, penjagaan Allah dan pemurahNya Allah yang ekstrim terhadap hambaNya. Bukan normal tetapi ekstrim. Terlalu dan terlebih sayang. Begitulah maksud ar-rahman. Dan begitulah kasihnya Allah terhadap hamba-hambaNya. 

Segala-galanya dikurniakanNya kepada kita. Sedangkan kita ini hanyalah seorang hamba marhaen. Cuma kita. Ya. Anda dan juga saya sendiri tidak terkecuali dari terlupa betapa pemurahnya Allah. Terlalu banyak nikmat Allah yang telah kita lalai dari mengingatinya membuatkan kita menjadi hamba yang tidak bersyukur kepada tuannya. Sekecil-kecil nikmat seperti denyutan jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh. Jantung yang hanya sebesar penumbuk, tanpa lelah berdenyut di antara 60 sehingga 100 denyutan seminit dan mengepam 5 liter darah setiap minit sepanjang hayat kita. Tetapi kita tidak pernah menyedarinya. Bayangkan jantung kita tiba-tiba terhenti. Ketika itu, kita boleh mengucapkan sayonara kepada dunia. Lihat, betapa lemahnya kita. Sehinggakan denyutan jantung pun masih perlukan pertolongan Allah. Dan kerana itu Allah berfirman dalam surah Ar-Rahman berulang-ulang kali:



Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (kredit)


Nah, segalanya telah terbentang di hadapan mata. Maka apa yang ditunggu lagi? Mari kita sama-sama memaknai perhambaan kita kepada Allah. Semak kembali siapa kita kepadaNya. Adakah kita selama ini hamba yang taat atau kufur? Adakah kita hanya hamba ketika susah atau ketika musibah datang melanda sahaja? Atau paling teruk, kita tidak pernah merasai kehambaan itu. Nu’uzubillah. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini. Oleh itu, jadilah hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Hamba yang takut dengan janji-janjiNya dan hamba yang taat dengan segala suruhanNya. Yang sujud menghadapNya dengan penuh rasa rendah diri, penuh rasa kehambaan. Yang meletakkan segala kebergantungan hanya kepadaNya. 

Ingin berubah itu bukan mudah. Tidak semudah makan coklat M&M atau Nips. Ianya memerlukan mujahadah yang tinggi. Tetapi insyaAllah jika segalanya kita lakukan hanya mencari redhaNya, Dia akan membantu. Selangkah kita melangkah kearahNya, Allah akan berlari ke arah kita. Bukankah itu sangat mengujakan? Pencipta kita yang berlari ke arah kita. Yang penting berusahalah menjadi hambaNya yang patuh dan taat dengan segala suruhanNya. Berusahalah walau sesukar mana sekalipun. Berusahalah dengan mengoirak langkah pertama ke arahNya. Dan semoga Allah redha dengan perhambaan kita kepadaNya. Amiin.


P.s: Kempunan nak minum iced coffee... T.T
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...