Pages

November 25, 2014

Bila Tok Imam Langgar Lampu Merah



credit



Kereta terus dipandu membuntuti kereta hijau di hadapan. Kereta tok imam kampung dengan isterinya. 


Hari ini mengikut parents konvoi tok imam dengan beberapa orang lagi pakcik makcik masjid pergi kenduri di sebuah rumah ustaz. Kenduri aqiqah anaknya. 


Pergi pun sebab kena jadi driver tanpa gaji. Heheh


Sedang memandu, lampu isyarat di simpang empat bertukar merah. Saat itu juga lampu brek kereta di depan menyala. Tanda kereta akan berhenti.


Terus kaki turut sama menekan brek kereta. Berhenti. 



Kemudian sabar menanti lampu merah bertukar hijau. Sedang sabar menanti lampu isyarat bertukar, tiba-tiba....


'zooommm'



Laju kereta hijau tok imam membelok kiri. 



"Eh, tok imam, lampu merah lagi." Terpacul ayat tersebut dari mulut saya. Walaupun yang mendengar hanyalah mak dan ayah dalam kereta.



Terkejut dengan apa yang dilihat.



Memang lampu isyarat masih merah. Tetapi jalan lengang tika itu. Tiada kereta yang melintas simpang empat berkenaan.


Eh eh eh.. Tok imam langgar lampu isyarat. Kot ye pon takde kereta. Tunggu je lah. Bukan nak ke mana pun. Kenduri je.


Sepatutnya jadi lah role model untuk orang kampung. Ni dia pun langgar sama lampu merah. 


Sebenarnya saya agak kesal dengan sikap beliau. Kerana tidak sepatutnya beliau melanggar lampu isyarat. Bukan sahaja boleh membahayakan jika tiba-tiba ada motor yang melintas dengan laju, malah ia memberi persepsi dan contoh tidak baik buat orang lain.


Mungkin bagi sesetangah orang mengikut lampu isyarat tampak remeh. Tampak skema. Tampak tak cool.


Alah. Lampu isyarat je kot. Itupun nak bising.


Tetapi ia sebenarnya menunjukkan siapa kita. Mentaliti kita. Mentaliti dunia ketiga.



Yang langgar peraturan itulah yang kononnya nampak cool. Nampak hebat. Nampak macho. 


Tang mana yang nampak cool dan macho tu tak tahu lah.


Kerana sepanjang saya memandu di Benua Koala, boleh bilang dengan jari berapa kali sahaja saya nampak orang melanggar lampu isyarat. Jarang. Tersangat-sangat jarang mereka melanggar lampu isyarat. Langgar had laju pun setakat ni tak pernah nampak. Kecuali ambulans lah. 


Itu negara maju. Negara bukan islam. Mereka ikut peraturan. Kita? 


Malah jika lampu isyarat sudah bertukar kuning kebanyakkan sudah mula menekan brek dan bersedia untuk berhenti.


Ulang suara. Mereka bersedia untuk BERHENTI apabila lampu bertukar KUNING.


Bukan semakin memecut bila lampu bertukar kuning supaya tak payah brek bila lampu merah.



Tapi orang kita. Kadang bila lampu merah dah lama pun masih ada juga yang memecut.  



Jadi apa gunanya lampu isyarat jika tidak diikuti? 



Apa fungsinya di jalan raya?



Hanya sekadar untuk dijadikan hiasan? Atau tugu di jalan raya?



Sedangkan lampu isyarat ini dipasang untuk dipatuhi bagi melancarkan pergerakan kenderaan sejagat. Mengelakkan kemalangan yang tidak diingini.


Bahkan mematuhi lampu isyarat dan peraturan di jalan raya juga merupakan sebahagian daripada islam. Sebahagian daripada ibadah kita. Tetapi malangnya ramai yang kurang memahami erti sebenar ibadah ini. Ramai yang memandang kecil skop ibadah. Skop islam. 



Hanya terbatas pada rukun islam yang lima. Solat. Puasa. Zakat. Haji dan zikir 



Buat semua ini dah ibadah. Lepas tu cukup lah. 



Barangkali kerana itulah tok imam pun boleh langgar lampu isyarat. Kerana dia sendiri tidak nampak perkara di luar masjid juga ibadah. Perkara di luar solat juga ibadah. Ikut peraturan juga ibadah.



Bukan saya ingin kata tok imam ini tak tahu apa erti ibadah sebenar. Cuma dari apa yang saya lihat membuatkan saya membuat konklusi sedemikian. 



Dan bukan juga saya ingin kata rukun yang lima itu bukan ibadah. Itu semua adalah ibadah. Tetapi kehidupan seharian kita juga adalah ibadah. 



Skop ibadah cukup luas.



Abul A'la Al-Maududi dalam bukunya Dasar-Dasar Islam, beliau mengulas dengan panjang lebar erti ibadah yang sebenar. 


Ibadah berasal daripada perkataan 'abd yang bermaksud 'pelayan' dan 'budak'. Maka ibadah bererti 'penghambaan' dan juga 'pembudakan'.


Ibadah ini menjadikan kita ini pelayan, hamba dan budak Tuhan. Yang mana sepanjang masa sejak kita baligh sehingga roh berpisah daripada jasad sewajibnya diabdikan hanya kepadaNya.


Setiap waktu. Setiap ketika. Setiap saat.


Terdapat tiga kewajipan dan tingkah laku selayaknya seorang hamba kepada Tuannya.


Pertama, seorang hamba itu wajib memandang Tuannya sebagai penguasa dan setia kepadaNya.


Kedua, seorang hamba itu selalu patuh kepada Tuannya. Melaksanakan segala perintahNya. Tidak pernah melanggar laranganNya. Dan tidak mendengar kata-kata dan perintah orang lain selain daripada Tuhannya.


Ketiga, seorang hamba itu menghormati dan menghargai Tuannya. Hamba yang sering hadir untuk memberi hormat pada waktu yang ditetapkan.


Kerana itu Allah telah menyatakan dalam Kitab suciNya,




Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka BERIBADAH kepadaKu.
(Az-Zariyat, 51:56)




Oleh yang demikian erti ibadah yang sebenar adalah untuk mengikut segala aturan dan hukum Allah dalam kehidupan kita. Dalam setiap langkah. Dalam setiap tutur kata. Dalam setiap perlakuan. Dalam setiap keadaan. 


Serta kita melepaskan diri dari segala yang bertentangan dengan hukumNya. 


Setiap saat dalam kehidupan. Harus berpaksikan Allah semata. Berlandaskan hukumNya semata.


Maka kehidupan kita menjadi ibadah. Makan. Minum. Tidur. Bicara serta langkah kaki menjadi ibadat kita. 


Mengikut peraturan di jalan raya juga.



Demikianlah luasnya ruang lingkup ibadah. 


Senang bukan untuk buat ibadah dan mendapat pahala?


Begitulah mudahnya dan indahnya islam.



Tetapi malangnya ramai yang terkeliru dengan pengertian ibadah yang sebenar. Maka lahirlah tiga jenis hamba daripada kekhilafan memaknai erti sebenar ibadah.


Hamba yang pertama adalah golongan yang sering disebut sebagai ulama, kiyai, orang yang soleh dan orang yang taat. Tetapi mereka bersekongkol dengan musuh-musuh Allah.


Mereka memakai pakaian seragam yang lengkap. Menghadap Tuannya dengan penuh hormat. Dengan sepenuh hati berjanji akan mentaati perintah Tuhannya. Mereka sering dengan untaian tasbih. Tampak soleh dengan janggut dan serban. Tampak alim dengan kesan sujud di dahi.


Tetapi akhirnya mereka berpaling dan berkerjasama dengan musuh Allah untuk memusnahkan agama dan menentang Tuhannya sendiri.


Mereka ini ulama-ulama yang sering menyebelahi musuh. Seperti sesetengah ulama al-Azhar di Mesir yang terang terangan menyebelahi As-Sisi durjana. Atau ulama yang menggunakan agama untuk kepentingan diri atau mempolittikkan agama.


Mereka inikah hamba yang taat kepada Tuhannya?


Sedangkan mereka tidak menjalankan kewajipan pertama mereka iaitu setia kepada Allah.


Maka mereka tidak lebih daripada hamba-kepada-manusia-lain.



Hamba yang kedua adalah mereka yang sering digelar sebagai orang yang soleh. Tetapi tidak cuba menegakkan agama Allah.


Mereka ini melaksanakan arahan-arahan Tuhannya dengan berdiri dan terus menerus menyebut nama Tuhannya. Duduk di masjid. Solat, sujud dan berdoa kepada Allah sepanjang masa. Berzikir dan menambah amalan sunat.


Tetapi apabila disuruh membetulkan dan membanteras kejahatan di muka bumi, hamba ini hanya sujud dan berdiri memohon kepada Tuhannya. Tidak berganjak. Tidak bergerak. Tidak cuba membetulkan.


Tuhannya berkata, "Sebatlah orang berzina. Rejamlah orang berzina." Tapi hamba ini tidak pernah berusaha untuk menegakkan satu sistem pemerintahan berdasarkan perintah Allah. 


Mereka tidak mengendahkan suruhan Tuhannya agar berbuat baik dan mencegah kemungkaran. Mendirikan hukumNya di muka bumi.


Asal aku baik sudah. Tak payah jaga tepi kain orang.


Asal aku masuk syurga sudah. Kubur masing-masing.


Mereka inikah yang layak digelar hamba?


Sedangkan kewajipan kedua sebagai hamba iaitu melaksanakan segala perintahNya tidak tertunai. Perintah menegakkan hukumNya di dunia ini.


Mereka ini hanyalah hamba-kepada-diri-sendiri.



Hamba yang ketiga adalah golongan yang paling ramai. Golongan orang kebanyakkan.



Yang siang malam membanting tulang. Menyiapkan perintah-perintah dan tugasan-tugasan manusia lain. Kemudian datang berjumpa memberi penghormatan kepada Tuan sebenarnya lima kali sehari. Untuk lima sehingga sepuluh minit.


Sujud bangun sujud bangun. Siap. Dah. Habis perhambaan.



Mereka ini menganggap ibadah itu perbuatan seperti solat, puasa, zakat, haji, membaca quran dan berzikir sebagai ibadat. 



Yang selain itu semua hukum Allah yang lain dilanggar. Urusan hidup langsung tidak mengikut perintah Allah.


Rasuah. Curi tulang. Tidak menutup aurat. Ber'couple'. Dan senarainya berterusan. 


Maka adakah layak mereka ini digelar sebagai hamba? 


Sedang kewajipan pertama dan kedua mereka tidak tunaikan. Hanya kewajipan memberi hormat sahaja yang dijalankan.


Mereka ini hamba-sepuluh-minit-lima-kali-sehari-30 hari-setahun. 


Semoga kita dapat menghindarkan diri kita daripada menjadi salah satu daripada tiga golongan hamba di atas. Merasakan diri seperti hamba Allah yang taat tetapi tidak melaksanakan segala yang diperintahkan Allah.



Seperti yang dijelaskan sebelum ini, skop ibadah itu cukup luas. 24 jam sehari boleh menjadi ibadah. Selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah dan dilakukan hanya keranaNya. 



Pekerjaan duniawi sehari-hari boleh menjadi ibadah kita. Kerja mencari nafkah setiap hari boleh menjadi ibadah. Asalkan cara mencarinya adalah halal dan tidak mendatangkan kemurkaan Allah. 



Kerana begitu mudah untuk mendapat rezeki tambahan dengan cara yang haram. 



Rasuah. Sekecil-kecil mengambil bayaran RM10 agar urusan pemberi diselesaikan terlebih dahulu.



Curi tulang. Walaupun sekadar tidur 10 minit di surau ketika waktu kerja. 



Ponteng kerja. Pergi kedai mamak dari pukul 8 sampai 11. Ini tak perlu cakaplah. Memang makan gaji butalah jawabnya.


Maka di mana ibadahnya jika semua yang dilakukan tidak disukai Allah?


Di mana berkatnya rezeki yang diperoleh?



Tetapi jika setiap pekerjaan yang dilakukan membuatkan Allah senang dan sayang kepada kita. Mencari rezeki dengan cara yang halal, tidak mengelat dan menggunakan hasil yang diperoleh seperti yang ditentukan Allah, segalanya menjadi akan menjadi ibadah. 


Dan insyaAllah Allah akan mengurniakan pahala dan rahmatNya.


Selain dalam ruang lingkup kerja, sekecil-kecil perbuatan boleh menjadi ibadah.


Membuang batu di tengah jalan.


Memimpin orang buta melintas jalan.


Memberi makan kepada kucing terbiar.


Bercakap dengan lembut dan menjaga perasaan orang.


Mengikut peraturan jalan raya.


Dan segalanya yang baik.


Semuanya adalah ibadah dan islam.


Tetapi kita sahaja yang mengecilkan erti ibadah. Mengecilkan cakupan islam. Kepada rukun islam yang lima. Dan rukun iman yang enam.


Dan merasakan diri sudah cukup islam apabila cukup mengamalkan rukun islam dan iman ini.


Tetapi tidak mengikut Allah dan rasul dalam urusan kehidupan yang lain.


Kerana itulah ramai yang hairan, Malaysia negara islam tetapi....


Saban hari ada bayi dibuang.


Saban minggu anak muda berlumba haram.


Rasuah dan ketirisan sumber negara tidak berkesudahan.


Kemalangan maut kerana tidak mematuhi undang-undang jalan raya tiada pengakhiran.



Kes-kes rogol, bunuh, rompak, ragut yang memenuhi akhbar harian.


Rancangan-rancangan lagha yang melalaikan didoktrinkan dalam minda rakyat bawahan.



Itulah negara islam apabila rakyatnya tidak berapa islam. Pemimpinnya tidak faham islam.


Sekadar islam pada nama dan kad pengenalan. Yang lain semuanya dicampak ke hutan.


Selagi kita tidak mengislamkan diri kita sebenar-benarnya. Tidak memahami erti islam yang sebenarnya, tidak menngerti maksud ibadah yang sebenarnya, kita tidak akan nampak perubahan pada diri kita. Pada masyarakat. Pada negara.


Islam itu syumul. Mencakupi seluruh ruang kehidupan. Malah islam itu cara hidup. Maka segalanya perlu bermula daripada kita untuk mengubahnya. Jadikan kehidupan seharian sebagai ibadah. Jadikan islam itu cara hidup. 


Ikut segala suruhan Allah. Ikut segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan selagi tidak bercanggah dengan islam. Berbuat baiklah dan bersopan santunlah sesama makhluk.


Tiada ruginya. Jika tidak dibalas manusia insyaAllah dibalas ganjaran sebaiknya oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Dan Dia juga Maha Pemurah Maha Penyayang.


Sama-samalah kita mengamalkan islam yang sebenar agar kita menjadi seorang individu muslim sejati. Agar negara kita juga suatu hari nanti menjadi sebuah negara yang benar-benar melaksanakan islam. Malah dunia juga berkiblatkan kita sepertimana yang pernah dikecapi pada zaman kegemilangan islam. 


Almarhum Syeikh Muhammad Abduh pernah berkata, 


"Aku melihat islam di Barat namun tiada muslim disana. Aku melihat muslim di Timur tetapi tiada islam di sana"


    

November 8, 2014

Stereotyping



Credit



Alhamdulillah, tsummal hamdulillah. Akhirnya diberi kelapangan masa oleh Allah untuk mengisi blog usang ini.


Eceh. Ayat skema sangat.


Nevertheless, syukur dan syukur hanya kepadaNya. Kerana setelah lebih seminggu tamat menduduki kertas peperiksaan dan seterusnya berhempas pulas mengemas rumah sebelum berpindah, akhirnya Allah memberi sedikit ruang untuk betul-betul menatap skrin komputer. Dan membuka blog ini sebelum balik ke Malaysia untuk menghabiskan cuti musim panas. InsyaAllah.



Baiklah. let's just make it short. Tak perlulah dipanjang lebarkan lagi pendahuluannya.


Stereotyping.


Ya. Stereotyping.


Sangat familiar perkataan ini bukan?


Stereotyping mengikut definisi Pakcik Wiki adalah sesuatu yang berkaitan dengan psychology. Berkaitan mengikut atau mengimplimentasi cara yang dilakukan oleh seseorang inidvidu,


Hurm..


Masuk bab psychology lah pulak.



Dan rasanya saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengulasnya dari sudut psychology.


Walaubagaimanapun, stereotyping yang ingin diketengahkan di sini adalah dari sudut melabel seseorang atau sekumpulan manusia. Tanpa kita mengenali mereka.


Kurang lebih begitulah maksudnya secara kasar.


Contoh paling mudah dan paling biasa kita dengar adalah 'All muslims are terrorists.'


'Semua muslim adalah pengganas'.


Atau 'lelaki pengotor'.


Atau 'budak medik nerd'.



Semua ini adalah stereotyping. Kerana kita menganggap dan menyamakan setiap orang ke dalam satu klasifikasi kumpulan tertentu. 


Mengambil contoh di atas, ISIS kononnya mewakili muslim. Paling kurang dari segi nama yang dibawanya. Tetapi mereka yang sebenarnya adalah pengganas kerana membunuh ramai jiwa awam yang tidak berdosa, Tetapi tidak semua muslim menyokong malah hampir seluruhnya mengutuk kekejaman ISIS.


Jadi adakah semua muslim layak digelar sebagai pengganas?


Mungkin contoh ini lebih sesuai diberikan kepada mat salleh atau minah salleh yang sering melabel sisters yang berhijab atau brothers yang berjubah dan berserban sebagai pengganas.


Tidak sesuai untuk konteks kita sebagai muslim itu sendiri. Kerana kita yang sering dilabel. Bukan yang melabel.


Tetapi oleh kerana kita sering dalam kumpulan yang dilabel, kita sering merasakan kita berada di zon selesa.


Zon-tidak-men-stereotype-kan-orang.


Oh. Itu adalah silap besar.


Kerana suka atau tidak, kita tetap akan men'stereotype'kan seseorang kerana bangsa atau agamanya.


Jika tidak anda, saya.


Saya tanpa sedar juga telah men'stereotype'kan seseorang. Tanpa saya mengenalinya. Langsung.


Dan insiden ini berlaku hanya beberapa hari lepas. Ketika saya sibuk mencari kotak untuk berpindah.


Untuk dijadikan cerita, saya pergi ke sebuah kompleks membeli belah untuk membeli kotak. Alang-alang mencari kotak, saya mencari juga hadiah untuk hari lahir mak dan adik.




Itu alasan sebenarnya nak pergi shopping complex.




Sedang mata melilau mencari hadiah yang sesuai, dari kedai ke kedai, seorang jurujual lelaki dari satu booth menahan saya. Memberi pamplet.


"Do you have time miss? I want to show you a product,"


Saya memandang. Skeptik.


Nak promote baranglah tu.


Dan ini bukan stereotyping. Dia memang jurujual yang nak jual barang.



"Sorry. I'm in hurry." Saya membalas. Senyum.


"Oh. It's just a quick one. No more than five minutes." Pujuknya dalam telor bahasa yang tidak dapat dikenal pasti.


"Please. Just five minutes. And you don't have to buy it."


Catching phrase tu lagi. Nanti mesti kena beli jugaknya.



Tetapi entah kenapa, saya berhenti juga. Melihat dan mendengar penerangan jurujual tadi tentang produk jualannya.



Set penjagaan kuku.


Oh. Dan ini bukan men'stereotype'kan jurujual lelaki tadi sebagai lembut atau seangkatan dengannya. Hanya kerana dia menjual set kosmetik untuk tangan dan kuku yang biasanya digunakan oleh golongan hawa.


Walaupun  mungkin ada yang beranggapan sedemikian.


"With this nail buffer your fingernails will be shiny in less than a minute. I can show you how good it is."


Saya hanya senyum dan mengangguk. Dalam hati memang dah tak nak beli.


"And can I have your hand miss? I'll show you how to use it."


"I'm sorry. It's not that I don't want to. But we're not allowed to touch different gender." Saya cuba menerangkan.



"Oh. Sorry about that. But you can do it yourself while I show it to you." Katanya dalam nada agak bersalah. Tapi masih cuba memujuk agar membeli produknya.



Maka bermulalah sesi tutorial ringkas menggunakan produk tersebut. Produk yang berkualiti boleh saya katakan. Kerana kurang seminit menggunakan nail buffer (pengasah kuku), kuku saya sudah mula berkilat. Dan tampak cantik.



Tetapi ianya masih tidak menguatkan alasan saya untuk membelinya.



Membazir je beli. Lagipun banyak lagi benda besar lain nak dibuat selain kilatkan kuku. Permainan kanak-kanak je kilat kuku ni.



"I'm sorry if I don't explain in a good way. You know. I just arrived in Australia. So I'm not good in talking English yet." Kata jurujual tadi. Cuba meyakinkan produknya berbaloi untuk dibeli.



"Oh. So where are you originally from?"



"I'm from Israel." Balasnya tersenyum.



Terus fikiran saya kaku seketika. Terdiam.



Oh. Kau ni pembunuh rupanya. Kau lah yang duk bom dan bunuh saudara-saudara aku kat Palestine. Kau lah yang nak rampas Masjid al-Aqsa daripada kami. Sekarang ada hati nak jual barang kat aku.



Terus fikiran ini memenuhi segenap sel otak. Secara automatik.



Tetapi sedetik kemudian saya tersedar.



You are stereotyping him now. 


Mungkin dia dari Israel. Tapi tak ada bukti dia pernah bunuh orang Palestine. 



Dia memang dari Israel. Tapi mungkin dia tak pernah sokong dan setuju dengan apa yang berlaku di sana. Siapa tahu?



Malah saya tidak pernah mengenalinya. Maka adilkah bagi saya untuk terus melabelnya sebagai pembunuh?



Tika itu juga saya terfikir, beginilah agaknya perasaan atau fikiran non-muslim yang percaya muslim itu pengganas.



Setiap kali terpandang sister berhijab terus mereka memandang serong. Menganggapnya pengganas yang membawa bom dan senjata. Sedangkan sister ini hanya manusia biasa yang menganut agama berbeza daripada mereka. 


Malangnya ini kadang-kadang bukan salah mereka. Tetapi salah propaganda media Barat.


Sama seperti jurujual tadi. Walaupun kita memang tahu Israel itu musuh kita tetapi itu tidak bermakna kita boleh menyamakan setiap daripada mereka. Kerana hakikatnya masih ada yahudi yang tidak menyokong dan membenci dengan apa yang dilakukan pada rakyat Palestine.


Tapi dah memang terang tang tang dia tu musuh kita kan. Dalam al-quran sendiri cakap Yahudi ni musuh kita. Dah memang sah lah dieorang ni jahat.



Tapi adakah kerana semata-mata mereka sememangnya musuh kita maka kita perlu melabel, berkeras dan menyakiti mereka kembali? 


Islam adalah agama rahmat seluruh alam.


Islam mengajar umatnya agar menyantuni setiap makhluk. Walaupun musuh sendiri. Selagi mereka tidak mengajak kepada peperangan atau perbalahan.


Kerana dengan sikap ini juga boleh menjadi dakwah kita kepada mereka. Dengan menunjukkan islam yang sebenar. Islam yang penuh kebaikan dan rahmah. 


Because actions speak louder than words.


Dan kerana kita tidak pernah tahu kepada siapa hidayah Allah akan turunkan. Barangkali dia belum muslim kini. Tetapi siapa tahu dia bakal menghuni syurga kelak.



Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk menerima islam.
(Al-An'am, 6:125)



Bahkan ketika zaman Rasulullah, Rasulullah sendiri pernah memberi makan pada seorang tua yahudi yang buta. Saban hari Rasulullah memberinya makan penuh kasih sedangkan orang tua ini setiap kali itu jugalah mengutuk Rasulullah. Tanpa mengetahui siapa yang menyuapkan makanan untuknya.


Sehinggalah setelah Rasulullah wafat, seorang sahabat menggantikan memberi makan kepadanya. Orang tua ini bertanya ke mana pergi lelaki yang selalu menyuapkan makanan padanya. 


"Kerana ternyata kamu bukanlah orang yang sering menyuapkan aku makan." Orang tua itu berkata.


Apabila sahabat memberitahu bahawa Rasulullah sudah wafat barulah dia sedar, orang yang menyuapnya selama ini adalah Rasulullah. Dan barulah dia sedar selama dia menghina dan mengutuk Rasulullah, baginda tidak pernah sekali pun melawannya bahkan terus memberinya makan. Dan kerana akhlak Rasulullah inilah, akhirnya orang tua ini memeluk islam.


Begitulah akhlak Rasulullah pada non-muslim. Cukup menyantuni mereka. Dan inilah yang menarik mereka untuk memeluk islam.


Maka seharusnyalah kita mencontohi baginda. Berbuat baik kepada insan lain. 



Walaupun mereka berbeza agama, bangsa atau warna kulit.



Kerana yang dipandang Allah itu adalah taqwa dan iman.  



Selain itu, stereotyping hanya akan menjauhkan kita daripada melakukan kebaikan kepada musuh kita, kepada non-muslim. Menghalang kita untuk berdakwah kepada mereka.


Even kepada sesama muslim sendiri.



"Alah dia tu free hair, mesti islam separuh separuh je tu."


"Dia tu asyik bertukar boyfriend je dari dulu. Tak payah lah nak ajak dia usrah. Buang masa je."



Senang kita melabel. 


Ini dia sekarang. Free hair. Bercouple.


Siapa tahu mereka sebenarnya sedang berusaha untuk berubah. Bahkan barangkali hubungan mereka lebih rapat dengan Allah berbanding kita, manusia-manusia yang mengaku berada dalam tarbiyah ini.


Dan siapa tahu dia inilah yang bakal menghuni syurga yang tertinggi di akhirat kelak. Sedang kita masih menerima azab di neraka sebelum ke syurga. Nau'zubillah.



Maka banyakkan husnuzhon atau bersangka baik pada sesama manusia. InsyaAllah Allah bakal menilainya. Dan jauhilah melabel atau men'stereotype' orang. 


Kerana hanya Allah yang lebih tahu akan setiap makhluknya. 



Kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui.






P.s: Saya tidak menyokong Israel dan Zionis malah sangat membenci perbuatan mereka terhadap saudara-saudara di Palestine, Cuma di sini saya hanya memberi reaksi yang terbaik dalam situasi berkenaan. Takkan nak emo dan marah-marah tak tentu pasal kan? ;)


P.s.s: Akhirnya saya tak beli produk yang dijual. Tapi saya tak cabut lari. Hanya menolak dengan cara baik. =)


P.s.s.s: Poin penting dalam penulisan ini adalah jangan cepat kita melabel atau menghukum seseorang a.k.a stereotyping tanpa kita mengetahui mereka. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...