Pages

August 29, 2014

Dia Sayang Awak



Suasana kamar tidur itu kelam dengan tingkap tertutup rapat dan langsir tidak diselak. Menghadang cahaya mentari dari menerangi bilik berkatil dua itu.


Haih.


Tangannya menguak langsir bilik membiarkan cahaya menerobos dan memenuhi ruang kamar.


Matanya terpandang sekujur tubuh berselimut menutupi kepala.


"Dian. Awak ke tu?" 


Tubuh Dian ditolak perlahan. Tidak pasti anggota mana tangannya menyentuh.


Kaku. Tidur barangkali. 


Baru kaki Lisa ingin melangkah, telinganya menangkap satu bunyi halus. Aneh. Seakan-akan suara esak tangis yang cuba ditahan.


"Dian. Awak ok ke?" Sekali lagi tubuh yang berkelubung itu disentuh lembut.


Tangan Lisa ditepis. Kasar. 


"Dah! Jangan kacau aku! Berambus!" 


Kaget. Lisa tahu hubungannya agak dingin dengan Dian, teman sebiliknya sejak setahun yang lalu. Tetapi tidak pernah Dian sekasar ini dengannya. Perbuatan mahupun perkataan. 


Umum tahu mereka berdua memang bagaikan langit dengan bumi.


Lisa, pelajar jurusan farmasi tahun dua, cukup lemah lembut orangnya. Sangat dikenali dengan tutur kata dan perlakuannya yang cukup sopan. Malah seorang muslimah yang bertudung labuh dan lengkap menutup aurat.


Berbeza dengan Dian. Seorang pelajar arkitek tahun dua. Ala-ala tomboy dan berkarakter macho. Seiring dengan itu, pemakaiannya juga mirip lelaki, sering berjeans dan berkemeja.


Kerana itu hubungan Lisa dan Dian tidak lebih daripada dua individu yang berkongsi bilik. Tidak pernah rapat. Tetapi tidak juga bertengkar. 


"Awak ok Dian?"


"Aku cakap berambus lah! Aku tak nak tengok sape-sape dalam bilik ni!" 


Jerit Dian sambil bingkas bangun. 


Kusut dan serabai. 


"Kau ni tak faham bahasa ke? Aku kata berambus!" Jari telunjuknya menunjukkan ke arah pintu.


Lisa gugup. "Awak.. Awak.. ada masalah ke? Kalau saya boleh tolong saya akan tolong." 


"Kau nak tolong aku?" Soal Dian menyindir.


Mata bengkaknya menikam tajam mata Lisa yang redup itu.


"Kalau nak tolong sangat, kau mintak boyfriend aku kembali balik kat aku!" Dian mula menangis, teresak-esak.


Oh.


Pasal boyfriend rupanya.


Lisa mengambil tempat di atas katil Dian. Dirangkul teman sebiliknya. Erat.


"Tuhan tak sayang aku."


"Tuhan benci aku sebab aku jahat."


Dian mengongoi bagai anak kecil.


Geleng. "Tak Dian. Allah tak pernah benci awak Dian. Dia sayang awak." Tangannya mengusap-usap belakang Dian yang terhenjut-henjut.


"Kalau Dia sayang aku kenapa Dia ambil semuanya dari aku?"


"Bulan lepas Dia ambil parents aku. Sekarang boyfriend aku pulak dump aku. Aku dah tak de sape-sape dah sekarang."


Allah.


Tak tahu pun parents Dian meninggal. Roommate apa aku ni. 


Dada Lisa terasa sempit. Sesak dengan rasa bersalah.


Dipejamkan matanya, rapat. 


"Awak tak sorang-sorang Dian. Awak ada saya." Setitis air mata gugur membasahi pipi Lisa. 


"Tapi kau pun benci aku jugak." Balas Dian dalam sedu-sedan.


Lisa mengeratkan lagi rangkulan pada tubuh Dian. "Allah. Saya tak pernah sekali pun benci awak. Awak kan roommate saya."   


"Tapi aku kan jahat. Tak baik macam kau. Budak usrah."


Pelukan dileraikan. Dipegang lembut kedua-dua belah bahu Dian. Lalu matanya merenung tepat sepasang anak mata berwarna hazelnut milik Dian.  


"Saya, tak pernah rasa awak jahat." 


"Walaupun sekali." Senyuman ikhlas terukir.


Dahi Dian berkerut. "Tipu."


Lisa menyeka air mata di pipi Dian. Dia tersenyum sekali lagi.


"Budak usrah mana boleh menipu."  


Dian hampir tergelak. Lucu. 


"Tapi kau tak rasa aku baik." Duga Dian.


Lisa menggeleng. "Setiap manusia dilahirkan suci. Jadi semua manusia itu asalnya baik."


"Awak pun." 


"Kau rasa aku baik?" 


Lisa mengangguk. 


"Tapi kenapa Tuhan hukum aku kalau aku baik? Kenapa Dia ambil orang yang aku sayang?" 


Soal Dian. Hatinya kembali sebak.


"Allah tak hukum awak. Tapi Dia cuma uji awak. Sebab Dia sayang awak."


Wajah Dian berkerut. "Aku tak paham."


Haih.


Lisa menarik nafas dalam. Dihembus perlahan sebelum menjawab. 


"Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang, Dian. Dia takkan pernah menzalimi hambaNya. Tidak sekali-kali." 


"Jadi Allah kurniakan awak ujian ni sebab Dia sangat rindukan awak."


"Mungkin sebab awak dah lama lupakan Dia? Jadi Dia nak awak kembali cari Dia balik." 


Sepi seketika. 


Dian tunduk. Cuba menahan perasaan.


Tetapi air matanya gugur lagi. 


Ah. Murahnya air mata ni. 


Dian masih menunduk. "Macam mana...." Suara Dian tersekat di kerongkong.


Terangkat kening Lisa. "Macam mana?" 


"Nak kembali pada Tuhan."


Senyum. "Tak susah Dian. Kembali baca KitabNya, Dian. Dan mintalah supaya Allah tenangkan hati awak untuk hadapi ujian ini. Dan banyakkan solat. " 


"Solat?" Dian mengangkat muka. 


Matanya jatuh pada sepasang anak mata milik Lisa.


"Tapi aku.. Tapi aku.." 


Suasana sepi seketika.


Lisa sabar menanti Dian menghabiskan ayatnya.


"Aku tak pernah solat." Dian mengaku, penuh penyesalan. 


Tenang. Tiada riak terkejut pada wajah Lisa. Jauh di sudut hatinya dia sudah dapat mengagak. 


Awalnya dia bersangka baik. Uzur barangkali. Tapi jika sudah sampai berbulan-bulan, bukan uzurlah jawabnya.


"Kau rasa dah terlambat ke aku nak taubat?" Dian bertanya, lemah.


"Allah tu Maha Pengampun Dian. InsyaAllah pintu taubat masih terbuka." Lisa menggenggam erat tangan Dian.


"Boleh kau ajar aku solat?"


Lisa mengangguk sambil menitiskan air mata kegembiraan, "Boleh Dian. Boleh."


Tubuh Lisa dirangkul erat.


"Mulai sekarang kau sahabat aku dunia akhirat."









August 21, 2014

Kenapa Anda Bunuh Diri Robin Williams?




Robin Williams (21.7.1951-11.8.2014) -credit-


Robin Williams. Satu nama yang sudah tidak asing lagi di persada seni Hollywood. Sebuah figura yang cukup hebat sebaris dengan bintang ternama antarbangsa. Malah auranya tidak pernah pudar dan masih kekal hingga kini walaupun sudah ramai bintang-bintang baru yang muncul dan meningkat naik.

Menyebut nama Robin Williams, pasti memori di zaman kanak-kanak kembali menjengah minda saya. Memori menonton layar peraknya yang sangat saya minati, Jumanji.  Ia merupakan sebuah filem fantasi yang menceritakan bagaimana hidup dua orang kanak-kanak menjadi porak-peranda apabila mereka bermain 'board game' bernama Jumanji. Dan seperti 'board game' lain yang mempunyai misi yang perlu diselesaikan, begitu jugalah Jumanji. Cuma 'istimewanya' permainan ini adalah misi yang perlu diselesaikan berlaku di alam realiti dan boleh merubah corak kehidupan pemainnya.

Seperti jika diberikan satu teka-teki yang berbunyi, 'In the jungle you must wait, until the dice read five or eight'. Maka watak Robin Williams versi kanak-kanak yang sedang bermain ketika itu akhirnya menghilang ke udara dan hanya kembali semula ke dunia asalnya selepas berpuluh-puluh tahun apabila ada seorang kanak-kanak lain bermain Jumanji dan dadunya berhenti pada nombor lima.   

Begitulah ceritanya. Ala-ala mistikal sikit.

Itu baru satu daripada banyak lagi filem beliau yang lain. 

Oleh kerana kehebatan beliau, berita pemergiannya yang begitu mengejut dan tidak disangka-sangka seminggu yang lepas telah menggemparkan dunia dan mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar, laman sesawang serta di media sosial. Menambahkan lagi sensasi berita, pemergiannya cukup tragis apabila beliau meninggal di tali gantung buatan sendiri di rumah akibat masalah tekanan emosi. 

Kepada peminat-peminat kipas susah mati beliau di serata dunia, berita ini memberi tamparan yang cukup hebat. Bukan sahaja kerana dunia telah kehilangan sebutir berlian berharga dalam arena lakonan, tetapi tidak dapat dibayangkan di sebalik wajah yang cukup ceria di layar perak itu sebenarnya menyembunyikan satu wajah dan karakter yang kelam. Kelam akibat telah lama menderitai  kemurungan atau depression. 

Nampaknya ramai tertipu dengan senyuman dan lawak jenaka yang sering menghiasi bibir Robin Williams selama ini. Kerana bibir yang tidak lekang dengan senyuman itu sebenarnya adalah topeng yang mengaburi mata manusia di luar daripada melihat masalah tekanan sebenar yang dihadapi beliau. 

Bercerita tentang pemergian Robin Williams membuatkan saya terpanggil untuk menulis tentangnya. 

Bukan perihal bagaimana caranya beliau mengakhiri kehidupan. 

Tetapi apa yang ingin saya tarik perhatian anda adalah mengenai impak tekanan emosi yang akhirnya membawa kepada kematian beliau.

Tekanan emosi atau depression ini tidaklah terlalu diberi perhatian yang besar sebelum kematian beliau. Mungkin ada yang tahu tetapi bukanlah secara terperinci. Sekadar tahu depression itu wujud. Tetapi bagaimana ia boleh terjadi dan bagaimana ia memberi impak kepada diri tidak diketahui ramai barangkali.

Sebelum seseorang itu boleh diberi diagnosis depression atau kemurungan, beberapa gejala atau kriteria perlu ada dan dialami oleh diri individu tersebut. Seperti, rasa tertekan dan hilang rasa minat untuk melakukan aktiviti harian sepanjang hari selama berhari-hari. Antara simptom lain adalah perubahan cara pemakanan atau perubahan berat badan yang sangat mendadak sehingga bertambah atau berkurang daripada 5% berat badan asal. Disamping itu, pola tidur yang sangat ekstrim juga salah satu simptomnya. Samada insomnia iaitu sukar untuk tidur atau hypersomnia iaitu terlebih tidur. 

Antara gejala lain adalah perasaan bersalah yang melampau-lampau atau tidak bertempat dan juga adanya perasaan dan pemikiran untuk membunuh diri. Jika lima gejala ini dialami oleh seseorang, pakar sakit jiwa boleh membuat diagnosis secara klinikal dan pesakit akan diberi rawatan yang bersesuain untuk mengatasi kemurungan ini.

Alamak. Aku adalah semua simptom-simptom ni. Macam mana ni? Aku ada depression ke? Kene pergi jumpa doktor ke tak ni?

Dah. Dah. Tak perlu anda nak serabutkan kepala anda tu mendiagnos diri sendiri. 

Kalau anda ada masa untuk membaca blog ini dan dengan penuh eksaitednya mendiagnos diri sendiri, itu tandanya anda masih normal. 

Kerana orang yang mengalami kemurungan ini tidak akan ada minat langsung untuk melakukan apa-apa dalam hidup, apatah lagi membaca blog. 

Simptom mereka cukup kritikal berbanding apa yang saya terangkan di atas. Dan apa yang dinyatakan di atas hanyalah ringkasan diagnosis kemurungan. 

Malah untuk mendiagnos seseorang dengan kemurungan memerlukan seseorang pakar sakit jiwa itu mendalami hidup individu tersebut. Berbicara dengan mereka sehingga berjam-jam. Memeriksa keputusan darah. Kemudian barulah mereka didiagnos dengan depression.

Bukan sekadar  main tick je simptom yang ada kemudian terus kata pesakit tu ada depression. 

Ianya lebih rumit daripada itu.

Bagi masyarakat Barat, kemurungan boleh dilabelkan sebagai sesuatu fenomena yang biasa dalam masyarakat. Malah di Australia ini, mereka menerima dengan terbuka dan memberi penekanan pada masalah depression. Dan cukup normal bagi seseorang yang mengalami kemurungan datang ke hospital untuk mendapatkan bantuan. Kebiasaannya mereka ini datang apabila timbul perasaan membuak-buak untuk mencederakan diri atau membunuh diri. 

Tetapi lebih biasa dari tidak, mereka ini dibawa dengan ambulans setelah membuat cubaan membunuh diri. Kadang-kadang dengan meracun diri sendiri dengan menelan pil atau ubatan secara berlebihan. Kadang-kadang dengan mengelar pergelangan tangan. Kadang-kadang dengan cubaan terjun dari tempat tinggi.

Kebanyakan kes-kes cubaan membunuh diri kerana depression ini saya pernah lihat dan saya dengar sendiri daripada pesakit. 

Saya sendiri pernah melihat pergelangan tangan seorang wanita yang dikelar pisau dengan niat untuk membunuh diri. Kelaran pada pergelangan tangannya cukup dalam sehingga menampakkan urat-urat tangan di dalamnya.  

Yang ini memang ngeri. Serius. Ngeri.

Saya sendiri pernah mendengar cerita seorang remaja yang menelan sebotol paracetamol. Juga dengan niat untuk menamatkan riwayat hidupnya. 

Saya sendiri pernah berjumpa dengan seorang pesakit yang memberitahu dia akan cuba membunuh diri. Dan keesokan harinya, wad digemparkan dengan berita pesakit ini cuba menggantung diri dengan sehelai cadar yang digantung pada tirai wad. 

Begitulah antara kisah yang saya dengar dan saksikan sendiri. 

Melihat dan mendengar sendiri cerita mereka, membuatkan saya terfikir punca permasalahan ini. 

Tidak dapat dinafikan pelbagai teori telah dikeluarkan oleh para saintis untuk menjelaskan mekanisma di dalam otak yang membawa kepada kemurungan. Ada teori yang telah dibuktikan kesahihannya menunjukkan ketidakseimbangan neurotransmitter yang menghubungkan neuron-neuron dalam otak mengakibatkan kemurungan.  Juga terdapat pelbagai lagi teori dan penyebab lain yang kini diuji kaji oleh para saintis untuk menjelaskan penyebab masalah kemurungan. 

Walaubagaimanapun, saya mempunyai teori saya yang tersendiri. Teori yang dibuat berdasarkan pemerhatian tidak rasmi saya di hospital. 

Teori ini tidak mungkin akan diterima oleh jurnal-jurnal antarabangsa. Tidak mungkin juga boleh diterima oleh para doktor. Tetapi saya yakin teori ini masih logik dan masih boleh diterima akal.

Kemurungan ini berlaku pada pendapat saya adalah kesan daripada ketidakfungsian manusia mengikut aturan asal penciptaannya. Kerana manusia bertindak di luar manual asalnya. 

Menyebutkan tujuan asal hidup manusia, saya ingin bertanya satu soalan.

Adakah anda tahu tujuan hidup anda? Apakah tujuan anda diciptakan di dunia ini?

Bagaimana? 

Anda tahu?

Jika tidak, suka untuk saya menyebutnya berdasarkan firman Allah,



Dan  (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi".
(Al-Baqarah, 2:30)


Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Adz-Dzaariyyat, 51:56)


Allah menciptakan kita tidak lain hanya dengan dua tujuan iaitu untuk menjadi khalifah di bumiNya dan menjadi hamba yang menyembahNya. 

Tetapi malangnya, ramai manusia di dunia ini yang lupa bahkan tidak tahu tujuan asal penciptaanya. Tertanya-tanya dan tercari-cari makna hidup yang sebenar. Oleh kerana itu, mereka ini sering hanyut terkapai-kapai dan akhirnya membawa mereka kepada kesesatan dalam melalui lorong-lorong kehidupan.

Mereka seperti manusia yang sesat di sebuah terowong gelap. Tercari-cari cahaya untuk memandu mereka keluar dari kegelapan yang pekat. Mereka ini tidak akan keluar daripada kegelapan itu selagi mereka tidak kembali kepada Pencipta mereka. Selagi mereka tidak menjalankan tangggungjawab mereka sebagai hamba Allah. Karena Allah jua yang menciptakan manusia. Maka sudah menjadi fitrah manusia perlu kembali ke pada Allah. Hidup bertuhankan Yang Maha Kuasa. Bukan bertuhankan hawa nafsu.

Jika tidak, mereka ini seperti sebuah mesin yang rosak. 

Ibaratnya jika anda mencipta sebuah mesin membasuh baju. Sudah pasti mesin itu digunakan untuk membasuh baju bukan? 

Tetapi, jika anda tiba-tiba  gunakan mesin tersebut untuk membasuh pinggan, sudah pasti mesin basuh itu akan rosak kerana tidak digunakan mengikut tujuan asal penciptaannya. Malah pinggan mangkuk juga akan turut sama rosak dalam proses tersebut.

Begitu jugalah manusia. Mana mungkin manusia dapat berfungsi dengan baik jika hidup diluar tujuan asal penciptaan. Diciptakan untuk menyembah Allah semata-mata tetapi ramai manusia hidup untuk menyembah hawa nafsu mereka.

Jiwa dan hati mereka dicipta untuk diisi dengan perhambaan dan cinta kepada Allah. Maka tidak mungkin hati mereka akan terisi dengan apa-apa selain daripada Allah. Walaupun dengan dunia dan seisinya. 

Segala yang diisi selain daripada Allah hanya menjadikan jiwa-jiwa ini gersang dan kering. Seperti yang dapat dilihat pada manusia di zaman ini. Mereka adalah mayat-mayat bernyawa sedangkan jiwa mereka kosong dan mati. Dan jiwa kosong ini  membuatkan mereka resah, gelisah dan tidak tenang sepanjang masa. 

Maka untuk menghilangkan keresahan, ramai yang memilih untuk mengisinya dengan hiburan. Mengisinya dengan keseronokan dunia. 

Jika di Barat ini, mereka memilih untuk minum alkohol dan  mengambil dadah untuk lari dari kehidupan sebenar buat sementara waktu. Hanyut dan khayal dalam dunia warna-warni buat seketika. Tetapi apabila tersedar, mereka kembali resah dan terpaksa berhadapan dengan realiti hidup sebenar. Oleh kerana tidak tahan dengan keadaan ini, ramai di antara mereka mengalami kemurunga kerana pergantungan mereka untuk gembira hanyalah bersifat sementara.  

Jika kita pula, ramai yang mengisi jiwa mereka dengan keseronokan sementara seperti menonton wayang atau filem, mendengar lagu dan bermain game komputer. Kita akan rasa sangat seronok ketika melakukan semua aktiviti ini buat seketika. 

Tetapi percayalah, semua ini tidak akan pernah memenuhi jiwa kita. Malah jika anda perasan, anda akan rasa ada sesuatu kekosongan dan lompang dalam hati setelah anda lakukan semua ini. Anda hanya akan terus ingin menonton dan mendengar dan bermain. 

Selepas satu filem ke satu filem yang lain. 

Selepas satu siri drama ke siri drama yang seterusnya.

Selepas satu game ke game yang baru.

Kitaran yang sama yang berulang-ulang.

Tetapi tidak pernah puas. Tidak pernah cukup. 

Seolah-olah kita semakin ketagih untuk melakukannya.

Sebenarnya, jiwa kita sedang kelaparan dan kebuluran. Jiwa kita sedang menjerit-jerit meminta supaya diberi makan padanya. Tetapi kita pula memberi sampah sebagai makanannya. Sudah pasti tidak akan pernah kenyang malah jiwa kita akan jatuh sakit.

Seperti tubuh badan yang memerlukan gizi yang cukup untuk menjamin kesihatan begitu jugalah jiwa kita. Ia perlu diisi dengan perkara-perkara rohaniah. Perkara-perkara yang membawa kita kepada Tuhan. Itulah makanan asasinya. 

Bukan hiburan. Bukan dunia. 

Hiburan dan dunia hanyalah sampah yang akan mengenyangkan jiwa kita buat seketika. Solusi jangka pendek. Tetapi memberi impak besar untuk kesan jangka panjang. Kerana jiwa kita akan jatuh sakit daripada sampah-sampah yang diisi padanya. Dan jiwa yang sakit ini akan membawa kepada permasalahan dalam kehidupan seharian. Tiada ketenangan dalam hidup. Tiada ketenteraman.

Jujur, saya pernah terperangkap dalam perangkap dunia ini. Hidup saya tidak lain hanya untuk mencari keseronokan dunia. Hidup saya dipenuhi dengan drama-drama Korea, lagu-lagu Barat dan game-game komputer.

Saya pernah marathon 24 episod drama Korea dalam masa dua hari. Menonton tanpa henti. Berhenti untuk makan dan mandi. 

Saya pernah bermain game The Sims hingga tidak tidur semalaman. Semata-mata untuk menyiapkan rekaan rumah idaman saya.

Tetapi semua ini tidak pernah membuatkan saya rasa terisi. Saya tidak merasakan satu kepuasan setelah menghabiskan satu siri drama Korea. Saya hanya ingin menyambung drama seterusnya. Kemudian ke drama seterusnya. Setelah bosan menonton drama saya beralih kepada video atau game pula. 

Begitulah hidup saya. 

Dan saya sangka ia adalah kebahagian hidup sebenar. 

Malangnya saya silap besar. 

Itu bukanlah kebahagiaan sebenar. Tetapi ia hanyalah fatamorgana dunia. 

Kebahagiaan sebenar adalah apabila saya berkenalan kembali dengan Pencipta saya. Dan untuk itu saya bersyukur dengan kesedaran dan hidayah yang diberikan Allah. Bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai erti kebahagiaan sebenar. Kebahagiaan apabila dapat mengenal kembali siapa sebenarnya Allah dan kembali mendekatkan diri kepadaNya. 

Setelah berjumpa kembali denganNya, hidup saya terasa cukup lengkap. Saya tidak lagi tercari-cari drama Korea, game The Sims atau segala jahiliyyah yang seangkatan dengannya. Jiwa saya cukup tenang dengan hanya KitabNya dan kata-kataNya. Sehinggakan segala masalah yang datang saya kini boleh memandangnya dari sudut pandang yang positif dan menerimanya dengan tenang. Tidak lagi stres dan tertekan. Cukup tenang menghadapinya dengan hanya mengingati bahawa Allah sentiasa bersama saya. 

Oleh yang demikian, permulaan kita meninggalkan Allah serta apabila kita lupa tujuan asal hidup adalah permulaan kepada masalah dalam kehidupan kita. Bermula dengan keresahan akhirnya ia boleh menjurus kepada masalah yang lebih besar seperti kemurungan. Keseronokan dunia hanyalah solusi sementara untuk jiwa. Tetapi kembali kepada Allah jualah solusi dan penawar yang sebenar.



Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Ar-Ra'd, 13:28)





August 11, 2014

Dari Australia Untuk Gaza Dengan Cinta




Adik kecil comel ni turut sama menyertai flashmob rally for Palestine. Gerammm sangat tengok!



"Free, free Palestine!"

"From the river to the sea, Palestine will be free!"

"Israel, USA, how many kids did you kill today?!"

"Resistance is justified, when people is occupied!"

Bergema dan begitu lantang suara-suara ratusan orang yang datang menyatakan solidariti mereka terhadap Palestine. Minggu ini adalah minggu kelima rally atau demonstrasi aman untuk Palestine dijalankan di salah sebuah bandar kecil di bumi koala, tempat saya berada sekarang.

Maka wajarlah yang datang hanyalah ratusan sahaja. Tidak sampai ribu riban. Tidak sebesar perarakan di bandar-bandar besar lain di seluruh dunia. Tidak sehebat dan segah seperti tanggal 2 Ogos lalu di Dataran Merdeka.

Tetapi saya amat yakin bahawa jiwa-jiwa yang hadir cukup besar sehinggakan dapat menutupi dan menampung lompang kuantitinya yang kecil.

Kenapa saya begitu yakin?

Kerana saya menyaksikan dengan mata saya sendiri kesungguhan mereka. Kerana saya mendengar laungan suara mereka dengan telinga saya sendiri. Dan kerana batang tubuh saya bergerak bersama-sama mereka-mereka ini.

Sedang mereka boleh memilih untuk berada di rumah menggoyang kaki atau menghabiskan masa bersama keluarga di rumah pada hujung minggu. Tetapi mereka memilih untuk turut bersama menyuarakan bantahan mereka walaupun dengan membawa bersama keluarga dan anak-anak kecil yang masih di dalam stroller.

Mereka yang hadir mungkin berbeza warna kulit. Berbeza kepercayaan. Berbeza bahasa. Malah berbeza kewarganegaraan. Tetapi hati mereka adalah satu dalam menyatakan kebersamaan dengan Palestine. Bersatu dalam mengutuk dan membantah kekejaman israhell laknatullah.

Minggu ini merupakan minggu kelima perarakan seumpama ini diadakan. Bukan seminggu tapi lima minggu berturut-turut bermula sejak Gaza diserang 8 Julai lalu. Bahkan bakal menyaksikan kali keenam demonstrasi berjalan di bandar ini pada hujung minggu ini.

Fuh. Boleh tahan juga orang Oz ni. Istiqamah!

Manakala saya pula buat kali pertama kalinya dalam hidup menjejakkan kaki ke demonstrasi pada minggu lalu. Tak pernah dalam hayat hidup saya mengikuti apa-apa rally yang diadakan tidak kiralah di Malaysia atau di Australia. Tapi pengalaman pertama ini cukup terkesan di hati saya. Sangat memberi impak besar buat kehidupan saya. Membuatkan jiwa muda saya bergejolak untuk bangkit melakukan perubahan pada dunia yang sudah tunggang terbalik dan sudah jauh dari sifat kemanusiaan.

Mungkin ini hanyalah impian saya untuk merubah dunia. Tetapi hakikatnya sesuatu itu bermula dengan angan-angan. Jika disertakan dengan gerak kerja, ia bakal menghasilkan sesuatu yang bisa menggoncangkan dunia. Sepertimana angan-angan gila dan tidak logik adik-beradik Wrights untuk terbang dan bagaimana hari ini membuktikan angan-angan gila mereka itu sebenarnya tidak mustahil malah cukup bernas.

'Now, everyone can fly'. Bak kata Airasia.

Seperti itu jugalah angan-angan saya untuk melihat dunia ini kembali seperti kehendak penciptaNya. Tertegaknya islam sebagai ustaziyatul alam dan mengembalikan dunia ini kepada keamanan dan kemakmuran.

Oh, ini bukanlah angan-angan.

Tetapi ini adalah janji Allah. Yang pasti akan ditunaikanNya. Hanya menantikan masa untuk disempurnakan olehNya. 


"Dialah yang telah mengutuskan RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (islam) untuk dimenangkan dan ditinggikannya mengatasi segala agama yang lain walaupun orang musyrik tidak menyukainya." 
(As-Saff, 61;9)


Untuk menyentuh hati dan agar lebih menjiwai demonstrasi aman kali ini, setiap yang hadir diberikan sekeping kertas yang tertera nama para syuhada yang telah gugur di Gaza untuk diangkat dan ditayang sepanjang demonstrasi. Kerana para syuhada itu bukanlah sebuah entiti yang hanya layak digelar dengan nombor. Tetapi mereka juga manusia seperti anda dan saya.


Mempunyai nama.

Mempunyai keluarga.

Mempunyai tanah air.

Dan menjalani kehidupan sehari-hari seperti kita.

Maka selayaknya mereka diingati dengan nama mereka.

Tatkala tangan saya mencapai kertas yang dihulurkan oleh sukarelawan, mata saya merenung dan menatap lama pada nama tertera.


Rally for Palestine (2 Ogos 2014)



Adik Adel. Adik saya. Adik seaqidah saya.

Baru berusia 2 tahun tapi telah syahid menemui Penciptanya di Shuja'eyya. 

Apa salah adik kecil ini sehinggakan dia dibunuh dengan kejam?

Bagaimana agaknya saat kematiannya? 

Adakah penuh dengan ketakutan?

Bagaimana pula keadaan keluarganya? 

Allah. 

Kepala saya berlegar-legar dengan persoalan ini. Persoalan yang saya sendiri tiada jawapannya. 

Tetapi ada satu perkara yang saya pasti dan yakin. Saya yakin adik Adel akan ditempatkan di syurgaNya bersama para syuhada lain. Bermain dan berlari girang di taman syurga nan indah.  

Cuma, saya tidak dapat bayangkan ketakutan seorang kanak-kanak yang berusia 2 tahun saat mendengar dan melihat ledakan bom dan tembakan yang bertubi-tubi dihadapan mata kepalanya sendiri. 

Jika saya sendiri sudah gerun menyaksikan serangan bom dengan duduk di hadapan skrin komputer, tidak dapat dibayangkan bagaimana ketakutan yang adik Adel hadapi.  

Mengenangkan ini, mata saya mulai kabur. Kabur kerana digenangi air mata kesedihan dan penyesalan. Sedih dengan penyeksaan yang terpaksa dihadapi oleh saudara-saudara yang lain. Penyesalan kerana tidak mampu untuk membantu adik Adel serta jutaan saudara-saudara yang lain di Palestine. Yang termampu hanyalah dengan sumbangan kewangan yang seciput cuma dan sumbangan sedikit tenaga dan suara menyatakan solidariti untuk perarakan ini. Ditambah dengan tadahan doa memohon kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Itu sahaja. Titik.

Terasa diri tersangat lemah dan tidak berdaya meringankan kesusahan saudara-saudara di Palestine. Malah di seluruh dunia yang kini ditindas. 

Syria.

Mesir.

Myanmmar.

Afrika.

Dan senarainnya berterusan.

Melihatkan saudara-saudara sendiri diperlekeh, dihenyak dan diperlakukan dengan sesuka hati oleh taghut (musuh-musuh Allah), hati saya merundum sedih. Sedih dan sayu melihatkan nasib umat yang tidak terbela. 

Mengapakah agaknya umat islam yang begitu ramai di dunia begitu terhina sekarang?  

Sedangkan islam ini merupakan agama rahmat untuk seluruh alam?

Jawapan bagi persoalan ini, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana salah kita. 

Ya. Salah saya dan anda. Salah kita.

Kerana kita yang mengaku sebagai umat islam. Yang mengucap dua kalimah syahadah. Yang berpakaian mengikut syariat islam. Tetapi masih kurang kepatuhan dan kehambaan kita kepada Allah. Kurangnya pemahaman dan penguasaan kita dalam al-quran. Kurangnya ketaatan dan ikutan kita pada sunnah Rasulullah SAW.

Kita mengaku muslim tetapi kelakuan kita tiada bezanya dengan non-muslim. Pengetahuan kita tentang ad-deen ini sama ceteknya dengan non-muslim. Perlakuan dan akhlak kita sama buruknya dengan yang tidak beragama.

Maka, adakah dengan luahan kata-kata 'Saya seorang muslim' menjadikan saya dan anda berbeza dengan mereka yang bernama John, Ah Seong atau Ramasami?

Tidak. Sudah pasti tidak.    

Kerana hakikatnya, pengetahuan yang melahirkan perbuatan perhambaan diri kepada Allah dan ketaatan kepada Rasulullah itu yang menjadikan kita seorang muslim.

Kata kuncinya pengetahuan dan perbuatan. Bukan kata-kata dan pengakuan kosong.

Oleh itu, dengan perlakuan kita yang 'tidak-berapa-muslim' ini, sudah selayaknya kita tidak mendapat pertolongan Allah. Tidak mendapat rahmat Allah. Dan kerana perlakuan kita juga, saudara-saudara lain turut sama tidak mendapat pertolongan Allah. Kerana perlakuan kita juga, islam ini masih belum tertegak di dunia ini sebagai ustaziyatul alam.

Semuanya terletak pada diri kita. Hubungan kita dengan Allah. Kedekatan kita dengan kitabNya. Kerapatan kita dengan sunnah kekeasihNya. Semua ini yang membawa kita kepada kemenangan. 

Bukan sekadar kemenangan di Palestine. Tetapi di Syria. Di Mesir. Bahkan di seluruh dunia.

Maka sewajibnya kita merubah diri kita terlebih dahulu dengan mendekatkan diri dengan Sang Pencipta.

Memahami, memaknai dan mengikut arahanNya di dalam al-Quran.

Mengamalkan dan mentaati sunnah RasulNya.

Lakukanlah semua ini. Kembali dan masuk ke dalam islam secara menyeluruh. Di samping segala usaha lain untuk membantu meringankan bebanan saudara-saudara yang lain. 

Kerana islam ini tidak membutuhkan kita tetapi kita pastinya yang membutuhkan islam.


Wahai manusia! Kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
(Faathir, 35;15)



Ayuh kita kembali kepada islam! 

Free Palestine!  







August 2, 2014

Of Sneakers & Stilettos





Ini sangat cool!! Credit




Pernahkah anda mencuri dengar perbualan orang lain tanpa sengaja? 

Atau jika digubah kepada ayat yang lebih sopan bunyinya lebih kepada, pernahkah anda terpaksa mendengar tanpa sengaja perbualan orang lain?

Bunyinya mungkin kurang sopan. Menadah telinga mendengar perbualan orang lain yang mungkin ada privasi dan aib yang tidak sepatutnya diketahui umum.

Tetapi apakan daya, jika dua orang yang sedang rancak berbual dengan nada yang tinggi membuntuti anda secara dekat sepanjang perjalanan, dan anda pula tiada teman untuk berbicara dan tiada earphone untuk disumbat pada lubang telinga yang sedang ternganga luas.

Sudah pasti bukan salah anda bukan jika perbualan mereka menyinggah dan mengetuk gegendang telinga anda sebelum disalurkan pada koklea dan dinterpretasikan oleh otak?

Nampaknya saya cuba menjustifikasikan perbuatan saya yang SANGAT TIDAK DISENGAJAKAN pada hari ini.

Bagaimana mungkin jika saya berada dalam situasi di atas dapat mengelak daripada menjadi pencuri kepada perbualan mereka. Nak ditutup telinga dengan tangan sepanjang jalan, bimbang dikatakan tidak waras pula. Saya cuba mengelamun untuk seketika. Berfikir ini dan itu. Tetapi berapa lama sangatlah bertahan. Nak tak nak akhirnya kembali ke dunia realiti juga.

Tetapi alhamdulillah apa yang saya dengar bukanlah aib orang. Bukan gosip liar orang. Bukan juga cerita perihal rumah tangga orang. Cuma sekadar cerita kehidupan dua orang pelajar universiti yang saling meng'update' perihal diri selepas mereka tidak berjumpa buat seketika sepanjang cuti musim sejuk.

Tidaklah secara terperinci saya mendengar perbualan mereka. Hanya sedikit sahaja yang sampai ke pendengaran saya memandangkan suasana bingit jalan raya menjadi penghadang butiran kata mereka. Dan juga bukanlah saya ini penjaga tepi kain orang yang cuba memanjangkan tengkuk ke belakang semata-mata untuk mendengar dengan penuh konsentrasi perbualan rancak mereka.

Tidak! Sama sekali tidak! 

Ini semua tidak lah disengajakan. Yang masuk ke corong telinga, akan saya dengar dan cuba lupakan. Yang tidak terdengar tu syukur alhamdulillah.

Dalam perbualan di antara mat salleh dan minah salleh yang saya dengar tanpa disengajakan itu, ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya dan membuatkan saya berfikir pengajaran disebaliknya. 

Dengar dengar juga. Kalau dapat ambil ibrah atau iktibar itu lebih baik.

Antara yang menarik perhatian saya adalah apabila si minah salleh ini mengadu kepada rakannya mengenai saiz comel tubuhnya yang genit itu. Atau bahasa kampungnya, tak cukup tinggi. Betapa dia teringin menjadi seperti rakan-rakan lain yang bersaiz model. Tinggi lampai. Jika tidak, tinggi 5'3" pun sudah memadai.

Wah. Nampaknya minah salleh ni memang sangat kecil dan comel. 

Detik saya dalam hati memandangkan saya tidak nampak mereka berdua yang berjalan di belakang saya.

Saya sendiri pun berketinggian 5'5". Boleh dikategorikan sebagai wanita yang tinggi jika berada di Malaysia. Tetapi jika di sini, saya termasuk dalam kalangan wanita bersaiz sederhana atau sebenarnya di bawah tahap ketinggian normal. Boleh masuk dalam kategori kecil jugalah. 

Yalah. Mat salleh besar-besar dan tinggi-tinggi saiz mereka. Jadi saya agak memahami luahan hati minah salleh tadi.

Mat salleh, teman kepada minah salleh tadi juga menyuarakan keinginannya untuk mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 6'. Mereka berdua ni memang kecil-kecil rupanya. Itu jika dibandingkan dengan ketinggian masyarakat mereka. Kalau di Malaysia, mereka pasti tidak akan mengomel omongan-omongan seperti ini. Pasti gembira sahaja berjalan dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersaiz comel-comel dan genit-genit.

Ketidakpuasan hati mereka tidak terhenti di situ. Minah salleh ini menyambung cerita bagaimana pada tahun pertama pengajian dia memilih untuk memakai stilettos ke kelas. Semata-mata untuk kelihatan lebih tinggi dan ranggi. 

Seminggu berkasut tumit tinggi, dia terpaksa mengangkat bendera putih. Terlalu jerih baginya untuk istiqamah dengan kasut sedemikian. Tidak sanggup katanya menaiki dan menuruni bas dengan kasut yang cantik bergaya tetapi membunuh kaki itu. Akhirnya dia membuat pilihan bijak dengan memilih sneakers sebagai kasut rasminya untuk ke universiti.


Stilettos yang cukup mengancam! Credit


Bahkan, minah salleh ini menambah lagi bahawa kini dia sudah tidak lagi  peduli untuk berpakaian ranggi, bersolek tebal seinci dan berdandan rambut berjam-jam semata-mata untuk ke kelas. Sudah dia berhenti melakukannya setelah sebulan berada di kampus pada tahun pertama pengajian. Bukan ada orang memandang, bukan juga ada yang peduli katanya. Dia kini lebih selesa dengan gaya rambut biasa-biasa, berbaju ringkas dengan sepasang jeans dan tiada solekan.

Ketawa kecil keluar dari mulut mat salleh mendengarkan kata-kata minah salleh tadi. Dia mengiyakan kata-kata temannya. Dia sendiri merasakan agak lucu dan kelakar apabila melihatkan pelajar-pelajar terutamanya pelajar perempuan tahun pertama yang baru memulakan sesi pengajian. Kelakar melihatkan gelagat mereka yang terlajak berhias dan tergedik-gedik cuba menarik perhatian orang lain. Minah salleh tadi juga bersetuju dengan kenyataan temannya. Dia sendiri kadang-kadang tidak faham apa tujuan mereka berperlakuan sedemikian.

Inilah antara intipati perbualan mereka yang saya dengar dengan TIDAK SENGAJA. Sangat menarik mendengar luahan hati mereka. Tetapi saya kemudiannya terfikir. Betapa manusia ini sememangnya makhluk yang tidak pernah bersyukur. Sering tidak berpuas hati dengan apa yang mereka ada. Sering merungut dengan apa yang mereka tidak miliki. Sering membanding-bandingkan kekurangan diri dan dengki dengan kelebihan yang ada pada orang lain.

Jika mat salleh dan minah salleh tadi mempunyai agama, pasti mereka tidak akan merungut dan mengeluh sedemikian. Mereka pasti bersyukur dengan nikmat kehidupan yang mereka miliki sekarang. Mereka sudah diciptakan Allah dengan cukup sifat. Cukup anggota dan sihat tubuh badan. Cukup sempurna sekali

Apa lagi nikmat yang mereka inginkan?

Bayangkan orang yang cacat anggotanya dan tidak mempunyai kaki. Ketinggian sudah tidak lagi menjadi perkara utama. Cukup sudah bagi mereka jika mempunyai sepasang kaki yang boleh membawa mereka berjalan menjelajah bumi Tuhan yang luas ini.

Cukup sudah jika mereka dapat rasai bagaimana rasanya rumput dan pasir membelai kaki mereka.

Cukup sudah jika mereka dapat berlari girang dengan kurniaan sepasang kaki.

Tetapi itulah manusia. Tidak akan pernah menghargai apa yang ada disekeliling mereka sehinggalah mereka kehilangannya. Malah mereka ini tanpa segan silu merungut dengan segala pemberian dan nikmat kurniaan Allah.  

Ibaratnya, anda menghadiahkan sebuah hadiah kepada orang yang sangat anda sayangi, tetapi dia mengkritik pemberian anda dihadapan anda. Lebih buruk lagi apabila dia mengubah hadiah pemberian anda itu sesuka hatinya. Dihadapan anda pula tu.

Apakah agaknya reaksi anda?

Adakah anda akan berkecil hati?

Adakah anda akan terus mengamuk kemarahan?

Atau lebih ekstrim lagi, adakah anda akan merampas kembali hadiah pemberiaan anda itu?

Tepuk kepala tanya otak.

Begitu jugalah dengan Allah. Sudah dihadiahkan dan dikurniakan dengan sebaik-baik nikmat pada hambaNya yang sangat dikasihi. Tetapi hambaNya pula menyombong dan bersikap angkuh dengan merungut dengan segala pemberianNya. Malah mengubah pula ciptaanNya yang cukup teliti lagi sempurna itu.

Alah, kenapa lah aku ni pendek sangat. 

Alah, kenapa lah aku ni montel sangat.

Alah, kenapa lah hidung aku ni penyet sangat.

Alah dan alah. Kenapa dan kenapa. Rungutan dan rengekan yang tidak pernah sudah.

Dah ada kaki, tangan, hidung, mulut, telinga dan semua anggota lain pun dah cukup. Macam mana jika Allah tak bagi? Apa yang boleh anda katakan?

Dan sudah pasti Allah boleh murka dan menuntut kembali kurniaanNya kalau kita ni banyak songeh sangat, bukan?

Allah menciptakan setiap daripada kita dengan cukup unik. Dengan rupa yang tersendiri. Dengan identiti tersendiri. Tidak ada seorang pun di dunia ini yang mempunyai cap jari yang sama. Malah jika kembar seiras sekali pun, pasti ada titik perbezaan yang membezakan rupa paras mereka.  

Maka, mengapa kita masih membanding-bandingkan diri kita dengan apa yang dimiliki oleh orang lain? Tidak syukurkah kita?

Kerana itu Allah sudah menyatakan dalam kitabNya perangai manusia yang memang tidak tahu bersyukur ini.


Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya serta meniupkan padanya Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (supaya kamu bersyukur) tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.
(As-Sajdah, 32:9)



Lihat, Allah sangat arif dengan ciptaanNya sampai Dia sangat arif dan tahu bahawa manusia ini memang sedikit sekali yang bersyukur. 

Allah.

Jadi adakah anda dan termasuk diri saya sendiri tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang kerek dan muka tembok tidak tahu malu berbangga dengan pemberian Allah dan kemudiannya mengaku hak milik sendiri? 

Bahkan tidak tahu untuk berterima kasih kepada Sang Pemberi?

Semoga kita dijauhkan daripada termasuk dalam golongan yang sedemikian. 

Dengan kesempurnaan yang dimiliki, maka sudah sewajibnya ia digunakan sebaik mungkin sebagai tanda syukur kepadaNya. Dengan mendekatkan lagi diri kepadaNya.

Maka hargailah apa yang anda miliki. Syukurilah nikmatNya. Dan jangan pernah diungkit perbezaan, kelebihan dan kekurangan yang ada.  

Jom raikan hari berhenti merungut sedunia! 

  



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...