Pages

November 25, 2014

Bila Tok Imam Langgar Lampu Merah



credit



Kereta terus dipandu membuntuti kereta hijau di hadapan. Kereta tok imam kampung dengan isterinya. 


Hari ini mengikut parents konvoi tok imam dengan beberapa orang lagi pakcik makcik masjid pergi kenduri di sebuah rumah ustaz. Kenduri aqiqah anaknya. 


Pergi pun sebab kena jadi driver tanpa gaji. Heheh


Sedang memandu, lampu isyarat di simpang empat bertukar merah. Saat itu juga lampu brek kereta di depan menyala. Tanda kereta akan berhenti.


Terus kaki turut sama menekan brek kereta. Berhenti. 



Kemudian sabar menanti lampu merah bertukar hijau. Sedang sabar menanti lampu isyarat bertukar, tiba-tiba....


'zooommm'



Laju kereta hijau tok imam membelok kiri. 



"Eh, tok imam, lampu merah lagi." Terpacul ayat tersebut dari mulut saya. Walaupun yang mendengar hanyalah mak dan ayah dalam kereta.



Terkejut dengan apa yang dilihat.



Memang lampu isyarat masih merah. Tetapi jalan lengang tika itu. Tiada kereta yang melintas simpang empat berkenaan.


Eh eh eh.. Tok imam langgar lampu isyarat. Kot ye pon takde kereta. Tunggu je lah. Bukan nak ke mana pun. Kenduri je.


Sepatutnya jadi lah role model untuk orang kampung. Ni dia pun langgar sama lampu merah. 


Sebenarnya saya agak kesal dengan sikap beliau. Kerana tidak sepatutnya beliau melanggar lampu isyarat. Bukan sahaja boleh membahayakan jika tiba-tiba ada motor yang melintas dengan laju, malah ia memberi persepsi dan contoh tidak baik buat orang lain.


Mungkin bagi sesetangah orang mengikut lampu isyarat tampak remeh. Tampak skema. Tampak tak cool.


Alah. Lampu isyarat je kot. Itupun nak bising.


Tetapi ia sebenarnya menunjukkan siapa kita. Mentaliti kita. Mentaliti dunia ketiga.



Yang langgar peraturan itulah yang kononnya nampak cool. Nampak hebat. Nampak macho. 


Tang mana yang nampak cool dan macho tu tak tahu lah.


Kerana sepanjang saya memandu di Benua Koala, boleh bilang dengan jari berapa kali sahaja saya nampak orang melanggar lampu isyarat. Jarang. Tersangat-sangat jarang mereka melanggar lampu isyarat. Langgar had laju pun setakat ni tak pernah nampak. Kecuali ambulans lah. 


Itu negara maju. Negara bukan islam. Mereka ikut peraturan. Kita? 


Malah jika lampu isyarat sudah bertukar kuning kebanyakkan sudah mula menekan brek dan bersedia untuk berhenti.


Ulang suara. Mereka bersedia untuk BERHENTI apabila lampu bertukar KUNING.


Bukan semakin memecut bila lampu bertukar kuning supaya tak payah brek bila lampu merah.



Tapi orang kita. Kadang bila lampu merah dah lama pun masih ada juga yang memecut.  



Jadi apa gunanya lampu isyarat jika tidak diikuti? 



Apa fungsinya di jalan raya?



Hanya sekadar untuk dijadikan hiasan? Atau tugu di jalan raya?



Sedangkan lampu isyarat ini dipasang untuk dipatuhi bagi melancarkan pergerakan kenderaan sejagat. Mengelakkan kemalangan yang tidak diingini.


Bahkan mematuhi lampu isyarat dan peraturan di jalan raya juga merupakan sebahagian daripada islam. Sebahagian daripada ibadah kita. Tetapi malangnya ramai yang kurang memahami erti sebenar ibadah ini. Ramai yang memandang kecil skop ibadah. Skop islam. 



Hanya terbatas pada rukun islam yang lima. Solat. Puasa. Zakat. Haji dan zikir 



Buat semua ini dah ibadah. Lepas tu cukup lah. 



Barangkali kerana itulah tok imam pun boleh langgar lampu isyarat. Kerana dia sendiri tidak nampak perkara di luar masjid juga ibadah. Perkara di luar solat juga ibadah. Ikut peraturan juga ibadah.



Bukan saya ingin kata tok imam ini tak tahu apa erti ibadah sebenar. Cuma dari apa yang saya lihat membuatkan saya membuat konklusi sedemikian. 



Dan bukan juga saya ingin kata rukun yang lima itu bukan ibadah. Itu semua adalah ibadah. Tetapi kehidupan seharian kita juga adalah ibadah. 



Skop ibadah cukup luas.



Abul A'la Al-Maududi dalam bukunya Dasar-Dasar Islam, beliau mengulas dengan panjang lebar erti ibadah yang sebenar. 


Ibadah berasal daripada perkataan 'abd yang bermaksud 'pelayan' dan 'budak'. Maka ibadah bererti 'penghambaan' dan juga 'pembudakan'.


Ibadah ini menjadikan kita ini pelayan, hamba dan budak Tuhan. Yang mana sepanjang masa sejak kita baligh sehingga roh berpisah daripada jasad sewajibnya diabdikan hanya kepadaNya.


Setiap waktu. Setiap ketika. Setiap saat.


Terdapat tiga kewajipan dan tingkah laku selayaknya seorang hamba kepada Tuannya.


Pertama, seorang hamba itu wajib memandang Tuannya sebagai penguasa dan setia kepadaNya.


Kedua, seorang hamba itu selalu patuh kepada Tuannya. Melaksanakan segala perintahNya. Tidak pernah melanggar laranganNya. Dan tidak mendengar kata-kata dan perintah orang lain selain daripada Tuhannya.


Ketiga, seorang hamba itu menghormati dan menghargai Tuannya. Hamba yang sering hadir untuk memberi hormat pada waktu yang ditetapkan.


Kerana itu Allah telah menyatakan dalam Kitab suciNya,




Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka BERIBADAH kepadaKu.
(Az-Zariyat, 51:56)




Oleh yang demikian erti ibadah yang sebenar adalah untuk mengikut segala aturan dan hukum Allah dalam kehidupan kita. Dalam setiap langkah. Dalam setiap tutur kata. Dalam setiap perlakuan. Dalam setiap keadaan. 


Serta kita melepaskan diri dari segala yang bertentangan dengan hukumNya. 


Setiap saat dalam kehidupan. Harus berpaksikan Allah semata. Berlandaskan hukumNya semata.


Maka kehidupan kita menjadi ibadah. Makan. Minum. Tidur. Bicara serta langkah kaki menjadi ibadat kita. 


Mengikut peraturan di jalan raya juga.



Demikianlah luasnya ruang lingkup ibadah. 


Senang bukan untuk buat ibadah dan mendapat pahala?


Begitulah mudahnya dan indahnya islam.



Tetapi malangnya ramai yang terkeliru dengan pengertian ibadah yang sebenar. Maka lahirlah tiga jenis hamba daripada kekhilafan memaknai erti sebenar ibadah.


Hamba yang pertama adalah golongan yang sering disebut sebagai ulama, kiyai, orang yang soleh dan orang yang taat. Tetapi mereka bersekongkol dengan musuh-musuh Allah.


Mereka memakai pakaian seragam yang lengkap. Menghadap Tuannya dengan penuh hormat. Dengan sepenuh hati berjanji akan mentaati perintah Tuhannya. Mereka sering dengan untaian tasbih. Tampak soleh dengan janggut dan serban. Tampak alim dengan kesan sujud di dahi.


Tetapi akhirnya mereka berpaling dan berkerjasama dengan musuh Allah untuk memusnahkan agama dan menentang Tuhannya sendiri.


Mereka ini ulama-ulama yang sering menyebelahi musuh. Seperti sesetengah ulama al-Azhar di Mesir yang terang terangan menyebelahi As-Sisi durjana. Atau ulama yang menggunakan agama untuk kepentingan diri atau mempolittikkan agama.


Mereka inikah hamba yang taat kepada Tuhannya?


Sedangkan mereka tidak menjalankan kewajipan pertama mereka iaitu setia kepada Allah.


Maka mereka tidak lebih daripada hamba-kepada-manusia-lain.



Hamba yang kedua adalah mereka yang sering digelar sebagai orang yang soleh. Tetapi tidak cuba menegakkan agama Allah.


Mereka ini melaksanakan arahan-arahan Tuhannya dengan berdiri dan terus menerus menyebut nama Tuhannya. Duduk di masjid. Solat, sujud dan berdoa kepada Allah sepanjang masa. Berzikir dan menambah amalan sunat.


Tetapi apabila disuruh membetulkan dan membanteras kejahatan di muka bumi, hamba ini hanya sujud dan berdiri memohon kepada Tuhannya. Tidak berganjak. Tidak bergerak. Tidak cuba membetulkan.


Tuhannya berkata, "Sebatlah orang berzina. Rejamlah orang berzina." Tapi hamba ini tidak pernah berusaha untuk menegakkan satu sistem pemerintahan berdasarkan perintah Allah. 


Mereka tidak mengendahkan suruhan Tuhannya agar berbuat baik dan mencegah kemungkaran. Mendirikan hukumNya di muka bumi.


Asal aku baik sudah. Tak payah jaga tepi kain orang.


Asal aku masuk syurga sudah. Kubur masing-masing.


Mereka inikah yang layak digelar hamba?


Sedangkan kewajipan kedua sebagai hamba iaitu melaksanakan segala perintahNya tidak tertunai. Perintah menegakkan hukumNya di dunia ini.


Mereka ini hanyalah hamba-kepada-diri-sendiri.



Hamba yang ketiga adalah golongan yang paling ramai. Golongan orang kebanyakkan.



Yang siang malam membanting tulang. Menyiapkan perintah-perintah dan tugasan-tugasan manusia lain. Kemudian datang berjumpa memberi penghormatan kepada Tuan sebenarnya lima kali sehari. Untuk lima sehingga sepuluh minit.


Sujud bangun sujud bangun. Siap. Dah. Habis perhambaan.



Mereka ini menganggap ibadah itu perbuatan seperti solat, puasa, zakat, haji, membaca quran dan berzikir sebagai ibadat. 



Yang selain itu semua hukum Allah yang lain dilanggar. Urusan hidup langsung tidak mengikut perintah Allah.


Rasuah. Curi tulang. Tidak menutup aurat. Ber'couple'. Dan senarainya berterusan. 


Maka adakah layak mereka ini digelar sebagai hamba? 


Sedang kewajipan pertama dan kedua mereka tidak tunaikan. Hanya kewajipan memberi hormat sahaja yang dijalankan.


Mereka ini hamba-sepuluh-minit-lima-kali-sehari-30 hari-setahun. 


Semoga kita dapat menghindarkan diri kita daripada menjadi salah satu daripada tiga golongan hamba di atas. Merasakan diri seperti hamba Allah yang taat tetapi tidak melaksanakan segala yang diperintahkan Allah.



Seperti yang dijelaskan sebelum ini, skop ibadah itu cukup luas. 24 jam sehari boleh menjadi ibadah. Selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah dan dilakukan hanya keranaNya. 



Pekerjaan duniawi sehari-hari boleh menjadi ibadah kita. Kerja mencari nafkah setiap hari boleh menjadi ibadah. Asalkan cara mencarinya adalah halal dan tidak mendatangkan kemurkaan Allah. 



Kerana begitu mudah untuk mendapat rezeki tambahan dengan cara yang haram. 



Rasuah. Sekecil-kecil mengambil bayaran RM10 agar urusan pemberi diselesaikan terlebih dahulu.



Curi tulang. Walaupun sekadar tidur 10 minit di surau ketika waktu kerja. 



Ponteng kerja. Pergi kedai mamak dari pukul 8 sampai 11. Ini tak perlu cakaplah. Memang makan gaji butalah jawabnya.


Maka di mana ibadahnya jika semua yang dilakukan tidak disukai Allah?


Di mana berkatnya rezeki yang diperoleh?



Tetapi jika setiap pekerjaan yang dilakukan membuatkan Allah senang dan sayang kepada kita. Mencari rezeki dengan cara yang halal, tidak mengelat dan menggunakan hasil yang diperoleh seperti yang ditentukan Allah, segalanya menjadi akan menjadi ibadah. 


Dan insyaAllah Allah akan mengurniakan pahala dan rahmatNya.


Selain dalam ruang lingkup kerja, sekecil-kecil perbuatan boleh menjadi ibadah.


Membuang batu di tengah jalan.


Memimpin orang buta melintas jalan.


Memberi makan kepada kucing terbiar.


Bercakap dengan lembut dan menjaga perasaan orang.


Mengikut peraturan jalan raya.


Dan segalanya yang baik.


Semuanya adalah ibadah dan islam.


Tetapi kita sahaja yang mengecilkan erti ibadah. Mengecilkan cakupan islam. Kepada rukun islam yang lima. Dan rukun iman yang enam.


Dan merasakan diri sudah cukup islam apabila cukup mengamalkan rukun islam dan iman ini.


Tetapi tidak mengikut Allah dan rasul dalam urusan kehidupan yang lain.


Kerana itulah ramai yang hairan, Malaysia negara islam tetapi....


Saban hari ada bayi dibuang.


Saban minggu anak muda berlumba haram.


Rasuah dan ketirisan sumber negara tidak berkesudahan.


Kemalangan maut kerana tidak mematuhi undang-undang jalan raya tiada pengakhiran.



Kes-kes rogol, bunuh, rompak, ragut yang memenuhi akhbar harian.


Rancangan-rancangan lagha yang melalaikan didoktrinkan dalam minda rakyat bawahan.



Itulah negara islam apabila rakyatnya tidak berapa islam. Pemimpinnya tidak faham islam.


Sekadar islam pada nama dan kad pengenalan. Yang lain semuanya dicampak ke hutan.


Selagi kita tidak mengislamkan diri kita sebenar-benarnya. Tidak memahami erti islam yang sebenarnya, tidak menngerti maksud ibadah yang sebenarnya, kita tidak akan nampak perubahan pada diri kita. Pada masyarakat. Pada negara.


Islam itu syumul. Mencakupi seluruh ruang kehidupan. Malah islam itu cara hidup. Maka segalanya perlu bermula daripada kita untuk mengubahnya. Jadikan kehidupan seharian sebagai ibadah. Jadikan islam itu cara hidup. 


Ikut segala suruhan Allah. Ikut segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan selagi tidak bercanggah dengan islam. Berbuat baiklah dan bersopan santunlah sesama makhluk.


Tiada ruginya. Jika tidak dibalas manusia insyaAllah dibalas ganjaran sebaiknya oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Dan Dia juga Maha Pemurah Maha Penyayang.


Sama-samalah kita mengamalkan islam yang sebenar agar kita menjadi seorang individu muslim sejati. Agar negara kita juga suatu hari nanti menjadi sebuah negara yang benar-benar melaksanakan islam. Malah dunia juga berkiblatkan kita sepertimana yang pernah dikecapi pada zaman kegemilangan islam. 


Almarhum Syeikh Muhammad Abduh pernah berkata, 


"Aku melihat islam di Barat namun tiada muslim disana. Aku melihat muslim di Timur tetapi tiada islam di sana"


    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...