Pages

October 3, 2014

Excuse Me, Nenek Moyang Saya Bukan Cimpanzi!





credit



Suasana hingar di Mary Lockett Hall menjadi sepi apabila Dr Spencer melangkah masuk. Semua pelajar mula merendahkan suara mereka. Berbisik-bisik. Dr Spencer lantas membuka fail di komputer. Mikrofon diklipkan pada kemeja putihnya. Kemudian dia berjalan menghadap pelajar.


"So, today we're gonna have interactive session. I want you to talk.Instead of me talking alone and you fall asleep."


Lembut tetapi ada nada tegas pada suara Dr Spencer yang memecahkan suasana sepi dewan. Ada aura kepimpinan pada suaranya. 


Yalah. Pakar bedah tulang. Antara pakar yang mempunyai aura mereka yang tersendiri. Narcissistic tetapi tidak narcissistic. Tinggi ego tetapi tidak terlalu tinggi. Mudah cerita mereka ada karakter mereka yang tersendiri. 


Maka kelas berlangsung dengan interaksi dua hala antara pelajar-pelajar dan Dr Spencer. Cukup menarik dan interaktif dengan soalan-soalan Dr Spencer. Ditambah dengan soalan-soalan diluar jangkaan oleh para pelajar. Sangat out of the box. 


Dan buat pertama kalinya sepanjang berada di sekolah perubatan, saya merasakan lecture boleh menjadi cukup menarik. Tidak bosan dan tidak menekankan perasaan. Kerana boleh dibilang dengan jari bilangan lecture yang boleh betul-betul menarik perhatian saya. Yang tidak membuatkan saya tersengguk-sengguk di dalam kelas. Dan salah satu daripadanya adalah lecture kali ini berkenaan fracture (patah tulang) oleh Dr Spencer.


Sebelum berakhir lecturenya pada hari itu, Dr Spencer menayangkan satu gambar kerangka tulang tangan manusia.


"Anyone knows how old is this skeleton?"


Sepi. Tiada yang menjawab.


"Just guess. Anyone? Just give me a number."


Mata Dr Spencer melirik memerhati pelajar-pelajar. Mengharapkan ada seorang akan menjeritkan satu jawapan.


"Five thousands years?" Seorang pelajar menjawab.


"Almost there. Higher than five thousands."


"Ten thousands?" Seorang lagi pelajar menjerit dari belakang dewan.


"You almost nail it. It's actually eleven thousands years. The skeleton was dated eleven thousands years. What you see is an evolution of human from monkeys. And it is believed to be the earliest human-like fingers formation."


Dr Spencer tersenyum.


Kejap. Kejap. Apa yang Dr Spencer cakap?


Dia kata jari tu jari monyet yang tengah berevolusi menjadi manusia?


So, literally dia nak kata dulu nenek moyang dia monyet lah? 


Ulangan. Nenek moyang dia. Bukan saya.


Saya tidak akan mungkin sekali-kali mengaku nenek moyang saya berasal dari monyet. Atau tidak akan mungkin sekali-kali saya akan mengaku keturunan saya daripada monyet. 


Never ever. Fullstop.


Bagi anda yang mengambil subjek biologi selain daripada biologi SPM, pasti anda pernah mendengar Teori Evolusi yang dipelopori oleh Charles Darwin. Kalau tidak belajar biologi sekalipun, pasti ramai yang pernah mendengar teori yang cukup terkenal ini. Seluruh dunia lebih-lebih lagi Barat seolah-olah mengimani teori ini.


Perlu diingatkan ini adalah teori evolusi dan bukan revolusi. Diharap tiada yang terkeliru makna dua perkataan ini. Besar perbezaan maksud dua perkataan ini, tahu?


Teori evolusi ini mengenengahkan idea asal-usul kehidupan di dunia yang terjadi dengan sendirinya. Asal-usul haiwan. Asal-usul tumbuhan. Dan tidak ketinggalan asal-usul kejadian manusia. Mereka membahaskan kewujudan hidupan langsung tidak berkaitan dengan kuasa Tuhan. Dan mereka-mereka yang menyokong teori ini yakin bahawa setiap hidupan di dunia ini berasal dari satu sumber yang sama iaitu bakteria yang kemudian berkembang menjadi hidupan lain.


Maka dari situlah datangnya fakta tidak benar manusia berasal dari keluarga monyet. Bahasa mudah, nenek moyang manusia adalah monyet. 


Teori bagaimana seorang manusia itu bermula dengan seekor monyet yang merangkak dan memanjat pokok kemudian berubah perlahan-lahan kepada berjalan membongkok dengan dua kaki sebelum berjalan tegak seperti manusia hari ini. Daripada makan tumbuh-tumbuhan kemudian belajar memasak dan seterusnya.


Rasanya ramai yang tahu teori evolusi manusia ini. Tidak perlu saya terangkan secara panjang lebar lagi.


Cuma apa yang dikatakan Dr Spencer malah teori evolusi itu sendiri sukar untuk diterima akal. 



Bukan sukar tetapi tidak boleh diterima akal langsung. 


Pertamanya adakah begitu rendah martabat kita sebagai manusia berakal untuk disamakan dengan seekor monyet yang tidak dikurniakan akal? 


Sanggup anda mengaku nenek moyang anda dulu seekor monyet? 


Kalau saya, tak sanggup.


Tetapi itu bukan poin utamanya.


Poin utamanya adalah jika kita selongkari fakta sains sendiri, sudah banyak kertas-kertas kajian yang mengemukakan fakta yang menidakkan teori evolusi ini. Tetapi kebanyakkannya di'diam'kan oleh kuasa besar dunia dengan diugut para saintis dengan kerjaya akademik mereka atau mereka dituduh sebagai anti-saintifik.


Antara bukti yang paling nyata untuk menangkis dan menafikan kebenaran teori ini adalah dengan tiadanya manusia atau hidupan lain yang sedang berevolusi sekarang. Tiadanya manusia yang sedang mengalami proses perubahan menjadi bentuk lain. Tiada kita lihat monyet yang separa manusia. Tiada kita lihat haiwan lain yang sedang mengalami perubahan.


Tiada bukan? Maka, jika hidupan boleh berubah suatu masa dahulu, mengapa tidak sekarang?


Dan mengapa manusia adalah produk terakhir dan tiada evolusi selepas manusia?


Selain itu, terdapat para saintis yang cuba menjalankan eksperimen untuk melihat evolusi pada hidupan yang mempunyai kitaran hidup yang singkat. Sesingkat kurang daripada seminggu.


Contohnya lalat buah. Satu eksperimen yang dijalankan pada lalat buah menunjukkan tiada perubahan pada hidupan ini setelah 600 generasi. Maknanya selepas lalat buah pertama, anak cucu cicitnya selepas 600 generasi tetap tidak berubah. Masih mempunyai rupa lalat buat. Malah kajian lain pada bakteria E.coli juga menunjukkan bakteria ini tidak berevolusi setelah 40,000 generasi.

Yang ini lagi hebat.


Antara fakta yang mengukuhkan lagi penolakan teori tidak masuk akal ini adalah dengan ramainya pakar biologi mengakui hidupan di dunia ini adalah sangat kompleks. Dari sekecil-kecil DNA, protin dan sel yang merupakan asas binaan pada setiap hidupan. Dan jika dilihat pada kompleksnya susunan struktur DNA dan juga mekanisma yang ada pada DNA, mustahil evolusi boleh bertahan. 



Dan jika sekecil-kecil organisma tidak mungkin berubah bentuk, masakan hidupan sekompleks manusia boleh berevolusi.


Pelik bukan?


Maka terserlah sudah lompang serta kecacatan pada teori ini. 


Itu jika dari sudut sains. Jika dilihat dari sudut agama pasti teori ini sudah dicampak ke laut awal-awal lagi.


Bukan dari sudut islam semata-mata malah dari sudut agama lain yang percaya pada wujudnya kuasa Tuhan. Semuanya menolak teori ciptaan Darwin ini.


Para cendekiawan islam bersependapat bahawa kewujudan teori evolusi ini adalah untuk menutup mata manusia daripada melihat penciptaan alam ini adalah kerana kuasa Tuhan. Menutup hati manusia daripada meneroka kekuasan Tuhan pada satu-satu penciptaan di dunia ini. Malah ianya memudahkan mereka untuk menerangkan kejadian setiap hidupan dengan sendirinya tanpa bersangkutan dengan kuasa besar lain.


Di Barat, atau kebanyakan tempat di dunia, pelajar-pelajar sekolah atau universiti masih didoktrin dengan teori evolusi walaupun sudah banyak bukti yang menolak teori ini. Hanya kerana teori ini paling mudah untuk menolak ke tepi kewujudan kuasa Tuhan.


Menurut pakar sains islam yang lain, manusia ini secara semula jadinya wujud dalam dua bentuk. Satu roh dan satu lagi jasad. Malah roh lah yang memainkan peranan penting dalam mengaspirasikan kehidupan manusia. Tetapi teori evolusi ini hanya menjelaskan perubahan pada fizikal manusia. Tidak pada rohaninya. 


Bahkan jika menurut logik akal dan melalui nas quran, kita semua tahu manusia pertama yang hidup di muka bumi ini adalah Nabi Adam AS dan isterinya Hawa. Sepertimana firmanNya,


'Dan ketika TuhanMu berfirman kepada malaikat, "Sungguh, Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan (kejadian)nya, dan Aku telah meniupkan roh (ciptaan)Ku ke dalamnya, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.'
(Al-Hijr, 15:28-29)


Manusia pertama yang diciptakan Allah dan disuruh makhluk lain untuk bersujud padanya adalah Adam AS. Maka logikkah seekor monyet yang tidak berakal yang diciptakan Allah untuk menjadi khalifahnya di bumi dan diminta sujud padanya?


Ayatnya mungkin kasar dan tidak enak didengar. Tetapi itulah kebenarannya.


Malah adakah layak seorang rasul yang akan mengajar dan memandu manusia kepada Allah begitu rendah martabatnya? 


Tidak. Tidak mungkin sama sekali.


Sedangkan darjat manusia lebih daripada itu. Diangkat untuk memimpin makhluk lain. Malah dipilih lebih daripada syaitan yang dicipta daripada api.


Jadi mengapakah manusia begitu beria-ia merendahkan martabat mereka? Menyamakan diri mereka dengan monyet? 


Itu tidak dapat saya fikirkan. Melainkan mereka hanya ingin menjauhkan kita daripada agama. Atau mereka mengikut hawa nafsu mereka untuk membenarkan kehendak hati mereka. Itu sahaja. 


Kerana ianya seperti satu penghinaan mempunyai nenek moyang dari keluarga cimpanzi, gorila atau seangkatan dengannya.


No offense. Monyet makhluk yang tidak bersalah. Malah mereka adalah antara haiwan yang pintar. Mereka hamba Allah yang taat. Yang sentiasa berzikir dan memujiNya. Tetapi menyamakan manusia yang dikurniakan akal yang tidak ada pada makhluk lain adalah seperti menghina ciptaan Allah itu sendiri.


Kerana Allah telah menceritakan dalam kitabNya kejadian penciptaan manusia dengan terperinci dalam banyak ayat. Terlalu banyak. Cuma menanti manusia-manusia ini untuk membaca dan memahaminya. Membuka hati mereka, Agar mereka dapat melihat betapa tingginya darjat mereka di sisi Allah berbanding makhluk lain. 


Lebih tinggi daripada makhluk sebaik malaikat.


Oleh itu, ingin saya ingatkan kembali tujuan penciptaan kita di muka bumi ini.


'Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi."......
(Al-Baqarah, 2:30)


'Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.'
(Az-Zariyat, 51:56)


Ya, abid dan khalifahNya. 


Dan jika kita tidak melakukannya?


'Dan sungguh akan Kami isi neraka jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka memiliki mata tetapi mereka tidak menggunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengarkan ayat-ayat Allah. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itu adalah orang-orang yang lalai. 
(Al-A'raf, 7:179)


Maka kita lebih teruk daripada monyet itu sendiri.


Wallahu 'alam.






P.S: Link kepada sumber fakta di atas. Sila klik untuk membuka pautan.
     

  1.        Four Scientific Reasons That Refute Evolusion
  2.        The Muslim Responses To Evolution
  3.        The transitional Form Dilemma
  4.        Refuting Evolution
  5.        Harun Yahya




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...