Pages

July 24, 2014

What? I'm A Terrorist?!



"So, tell me what's the mechanism for heart regulation?" Dr Arnold bertanya. 

Doktor berbangsa Jerman itu mengarahkan pandangan matanya ke arah lima orang pelajar perubatan yang sedang duduk di hadapannya. Satu-persatu wajah mereka ditenung. Menantikan jawapan yang bakal keluar dari bibir mereka. 

Tetapi sepi. Tiada sebutir kata yang keluar daripada kelima-limanya. Masing-masing sebaik mungkin cuba mengelak daripada bertentang mata dengan Dr Arnold.  Ada yang menyambung menulis nota di buku. Ada yang lagaknya sedang berfikir tajam. Ada yang memandang kosong menembusi dinding seolah-olah hanyut. Tidak pasti samada sedang memerah otak mencari jawapan atau fikiran sudah hanyut melayang jauh keluar dari hospital.

"Is it regulated by the autonomic nervous system?" Tiba-tiba satu suara menjawab. 

Agak perlahan.  Tapi sudah cukup kuat untuk memecah kesunyian bilik kecil di hujung wad G62 di mana tutorial sedang  berjalan.

"Say it again. I'm a foreigner. I have bad hearing." Balas Dr Arnold sambil matanya mula tertumpu pada gadis bertudung labuh berwarna pink dihadapannya. 

Balqis, seorang gadis dari Malaysia. Seorang gadis yang lengkap mengenakan pakaian muslimah. Malah lengkap bersarung kaki dan bersarung lengan. Satu-satunya muslim yang bertudung dalam 'batch'nya dan sudah pasti satu-satunya yang bertutup-litup dari hujung rambut hingga hujung kaki dalam bilik itu.

"It is regulated by the autonomic nervous system." Balqis bersuara kembali. 

Tetapi kali ini dengan nada lebih tinggi agar doktor dihadapannya dapat mendengar jawapannya dengan jelas. 

"You can't just say it generally. You have to be specific. You have to explain it precisely." Dr Arnold membalas sambil matanya tertancap tepat ke arah Balqis. Tiada nada marah pada jawapan doktor yang berusia lingkungan 40-an itu.

"It's like when you want to build a rocket. You can't just simply put this stuff and mix with other stuff without knowing the real component to build it. It will just explode in your face." Sambung Dr Arnold sambil tangannya turut sama mengikut rentak percakapannya.

Balqis mencuba sekali lagi dengan menerangkan lebih lanjut mekanisma fisiologi jantung. Diterang satu-persatu walaupun ada dipertengahan penjelasannya dicelah oleh Dr Arnold kerana ada info yang diberi kurang tepat atau tertinggal.   

Sesi tutorial itu diteruskan lagi dengan penerangan lebih lanjut mengenai jenis-jenis ubat jantung. Semua menumpukan perhatian kecuali Balqis. Matanya seperti memandang tepat ke hadapan dan sedang memberi tumpuan tetapi fikirannya sebenarnya sedang mengulang-ngulang kembali kata-kata Dr Arnold. Kata-kata yang membuatkannya berhenti untuk berfikir sejenak.

Build rocket? Explode in your face? Doktor ni bunyi macam racist je. Macam nak kata muslim tu terrorist. Ke aku je yang fikir macam tu? 

Ligat fikiran Balqis mencari jawapan pada soalan dirinya sendiri. Cuba menginterpretasikan kata-kata doktor tadi.

Eh. Tapi kalau ye pun nak bagi contoh, tak payah la nak sebut roket dan explode bagai. Banyak lagi kot contoh lain yang lagi simple nak bagi. Perlu ke roket? Jangan la just sebab aku pakai tudung jadi dia terus cop aku ni terrorist. Muslim bukannya terrorist!

Marah Balqis dalam hati.

Tak pun doktor ni pro-Israel. Kan sekarang ni Israel tengah perang dengan Palestine. So dia ni maybe tak puas hati Israel dikerjakan teruk oleh briged al-Qassam. Sebab tu saja je nak sindir aku yang muslim tu terrorist. Ni sapa yang bedil sapa? Sapa yang terrorist sebenarnya? 

Balqis membebel dalam hati. Tidak terluah dengan kata-kata.

Hish. Tak puas hati betul aku. Nak je aku tanya apa maksud doktor ni sebut macam tu tadi. Tak patut kot dia cakap macam tu. 

Sambung Balqis di dalam hati. Ingin diluahkan tetapi itu bermakna dia bakal mencari masalah.

Takpe. Takpe. Fikir positif Balqis. Biarlah dia nak cakap apa pun. Yang pasti kau tau yang kau berada di pihak yang benar. Islam itu benar. Dan kufur itu adalah kebatilan. Kau tau yang Allah yang mengizinkan dan membenarkan dia mengeluarkan kata-kata tadi tu. Jadi biarlah. Maybe jugak dia tak sedar atau dia tak bermaksud pun macam tu. Kau je yang fikir jauh dan bukan-bukan. Jadi cukuplah. Benda pun dah lepas. 

Balqis cuba menenangkan dan memujuk dirinya sendiri.


*****


Marcapada ini islam sering dikaitkan dengan terrorism atau keganasan. Asal disebut islam pasti dalam kotak fikiran masyarakat umum dunia akan terbayangkan pengganas, roket, bom dan segala bentuk keganasan. Sepertinya sudah sebati perkataan islam itu dengan keganasan. Ini tidak dapat dinafikan kerana media Barat sudah berjaya memainkan peranan mereka untuk menanam propaganda ini jauh ke dalam benak masyarakat. 

Umum mengetahui perihal ini tetapi mungkin kurang dirasakan impaknya jika berada di tanah air tercinta yang majoritinya beragama islam. Tetapi bagi yang berada di luar negara yang negaranya bukan islam, tempiasnya kadang-kadang terkena juga. Mungkin tidak serius atau besar tetapi tetap dirasai. Lebih-lebih lagi bagi sisters bertudung yang jelas menunjukkan imejnya sebagai seorang muslim. 

Tetapi kini, di negara yang mengakui sebagai negara islam, islam turut diperlekeh. Contohnya dengan apa yang berlaku kini di Mesir. As-Sisi dengan bongkak, angkuh lagi sombong memerintah negara dengan kekerasan dan kekejaman. Pendemonstari aman ditembak dan ditangkap hanya kerana bersuara menuntut keadilan. Banyak masjid ditutup. Malah pelekat kenderaan dan slogan-slogan yang tergantung mengajak berselawat ke atas Rasulullah SAW juga haram untuk dipamerkan. Tetapi diganti pula dengan poster-poster besar As-Sisi.

Dan mengapa agaknya perkara ini berlaku? 

Mengapa agaknya islam seringkali dilabel dengan pelbagai label yang sangat tidak cocok dengan ajarannya yang sebenar? 

Mengapa agaknya sinar islam itu kelihatan pudar di dunia ini?

Sedangkan agama ini agama yang haq. Agama rahmat. Jadi adakah ini rahmat Allah? Dengan membiarkan hambaNya tertindas, tersepit dan berkubang dalam lumpur kehinaan di atas muka bumiNya? Atau adakah Allah itu zalim kerana sengaja membiarkan hambaNya merana dan menderita tanpa diturunkan pertolonganNya?

Tidak. Sudah pasti tidak. 

Allah itu tidak zalim tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri. Kita yang meletakkan diri kita terperosok jauh dalam lubang kehinaan ini dan kita juga sebenarnya yang menjadikan islam berada di tempatnya sekarang. 

Kerana jika kita percaya bahawa Allah tidak mungkin akan membalas kepatuhan hambaNya dengan kehinaan, maka kita perlu mengakui adanya lompang-lompang dalam perhambaan kita. Mengakui bahawa kepatuhan kita pada Allah belum cukup total dan teguh. 

Tidak cukup dengan hanya mengakui dan meluahkan dengan kata-kata "Aku seorang muslim" menjadikan kita seorang muslim. 

Tidak cukup dengan terteranya islam pada kad pengenalan menjadikan kita seorang muslim. 

Tidak cukup dengan dilahirkan dalam keluarga muslim dan mempunyai nama islam menjadikan kita muslim. 

Menjadi muslim itu menuntut kita mempunyai pengetahuan islam yang dengannya akan terlahir perbuatan kepatuhan pada Allah. Pengetahuan islam itu meliputi pengetahuan siapa Tuhan yang sebenar, perintah-perintahnya, cara-cara untuk menurut kehendakNya dan perbuatan-perbuatan yang dicintai dan dimurkaiNya. Dan dengan pengetahuan ini, kita akan tunduk dan patuh melaksanakan segala perintahNya tanpa soal.

Ini yang membezakan seorang muslim dengan seorang non-muslim. Maka jika pengetahuan kita tiada bezanya dengan non-muslim, adakah kita sudah benar-benar muslim? 

Kita masih meninggalkan kitabNya, panduan dan manual bagi kita. Maka adakah cukup pengetahuan kita untuk mengenali Pencipta kita? Kita biarkan kitabNya berhabuk di atas rak, tidak dibuka dan dibaca. Dan jika dibaca, adakah kita memahami dan memaknai kalamNya agar dapat kita mengetahui cara-cara menjadi hambaNya yang patuh? Atau kita sekadar terkumat-kamit membaca di bibir seperti membaca jampi mentera?

Kita jauh dari mengamalkan sunnah kekasih Allah. Sunnah yang mengajar kita jalan untuk memperoleh kehormatan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat. Adakah kita sudah mengamalkannya? Atau hanya mengambil sekerat yang dirasakan sesuai dengan cara hidup dan meninggalkan sebahagian lain yang sukar untuk diaplikasi dalam kehidupan? Atau lebih malang lagi, hanya sekadar mengambil hadith-hadith tertentu untuk menghebatkan dan melariskan barang jualan. 

Maka dengan kurangnya pengetahuan kita tentang kalamNya dan sunnah kekasihNya, malah tanpa segan silu lagi kita melanggar suruhan-suruhanNya, adakah layak jika kita digelar seorang muslim?

Saya bukan ingin melabel. Bukan juga ingin menuding jari kesalahan kepada sesiapa. Malah saya juga seorang manusia marhaen yang banyak kekurangan. Tetapi saya tidak lain hanya ingin membawa kita semua kembali muhasabah dan berfikir sedalam-dalamnya, apakah erti syahadah kita selama ini?

Adakah syahadah kita membezakan pengetahuan dan perbuatan kita dengan non-muslim? Atau langsung tiada bezanya? Seorang non-muslim tidak membaca malah tidak tahu apa yang terkandung di dalam al-quran. Adakah kita juga sama seperti mereka? Begitu culas untuk membuka, membaca dan memahaminya?

Seorang non-muslim tidak patuh dan mengingkari segala suruhan dan perintah Allah. Adakah kita juga sering meninggalkan suruhanNya dan melakukan laranganNya? Begitu keras kepala sehingga mengacuhkan Allah dan menghambakan diri kepada nafsu sendiri?

Jika tiada bezanya kita dengan non-muslim, bagaimanakah kita boleh mengaku diri kita seorang muslim dan mengharap pertolongan Allah akan datang dan agama ini kembali di puncak dunia? 

Selagi kita tidak betul-betul menjadi hambaNya yang taat, selagi itulah kita akan terus diratah dan dilapah oleh kuffar. Dihina dan ditindas oleh musuh-musuh Allah. Tanpa pertolonganNya. Maka tanggungjawab memahami dan kembali kepada islam yang sebenar itu terletak pada pundak kita. Agar suatu hari nanti dengan izinNya islam ini akan berada di ustaziyatul alam sekali lagi.

Jadi ayuh kita sama-sama memperbaiki diri dan menaikkan kembali agama ini ke tanggga yang tertinggi.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...