Pages

August 2, 2014

Of Sneakers & Stilettos





Ini sangat cool!! Credit




Pernahkah anda mencuri dengar perbualan orang lain tanpa sengaja? 

Atau jika digubah kepada ayat yang lebih sopan bunyinya lebih kepada, pernahkah anda terpaksa mendengar tanpa sengaja perbualan orang lain?

Bunyinya mungkin kurang sopan. Menadah telinga mendengar perbualan orang lain yang mungkin ada privasi dan aib yang tidak sepatutnya diketahui umum.

Tetapi apakan daya, jika dua orang yang sedang rancak berbual dengan nada yang tinggi membuntuti anda secara dekat sepanjang perjalanan, dan anda pula tiada teman untuk berbicara dan tiada earphone untuk disumbat pada lubang telinga yang sedang ternganga luas.

Sudah pasti bukan salah anda bukan jika perbualan mereka menyinggah dan mengetuk gegendang telinga anda sebelum disalurkan pada koklea dan dinterpretasikan oleh otak?

Nampaknya saya cuba menjustifikasikan perbuatan saya yang SANGAT TIDAK DISENGAJAKAN pada hari ini.

Bagaimana mungkin jika saya berada dalam situasi di atas dapat mengelak daripada menjadi pencuri kepada perbualan mereka. Nak ditutup telinga dengan tangan sepanjang jalan, bimbang dikatakan tidak waras pula. Saya cuba mengelamun untuk seketika. Berfikir ini dan itu. Tetapi berapa lama sangatlah bertahan. Nak tak nak akhirnya kembali ke dunia realiti juga.

Tetapi alhamdulillah apa yang saya dengar bukanlah aib orang. Bukan gosip liar orang. Bukan juga cerita perihal rumah tangga orang. Cuma sekadar cerita kehidupan dua orang pelajar universiti yang saling meng'update' perihal diri selepas mereka tidak berjumpa buat seketika sepanjang cuti musim sejuk.

Tidaklah secara terperinci saya mendengar perbualan mereka. Hanya sedikit sahaja yang sampai ke pendengaran saya memandangkan suasana bingit jalan raya menjadi penghadang butiran kata mereka. Dan juga bukanlah saya ini penjaga tepi kain orang yang cuba memanjangkan tengkuk ke belakang semata-mata untuk mendengar dengan penuh konsentrasi perbualan rancak mereka.

Tidak! Sama sekali tidak! 

Ini semua tidak lah disengajakan. Yang masuk ke corong telinga, akan saya dengar dan cuba lupakan. Yang tidak terdengar tu syukur alhamdulillah.

Dalam perbualan di antara mat salleh dan minah salleh yang saya dengar tanpa disengajakan itu, ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya dan membuatkan saya berfikir pengajaran disebaliknya. 

Dengar dengar juga. Kalau dapat ambil ibrah atau iktibar itu lebih baik.

Antara yang menarik perhatian saya adalah apabila si minah salleh ini mengadu kepada rakannya mengenai saiz comel tubuhnya yang genit itu. Atau bahasa kampungnya, tak cukup tinggi. Betapa dia teringin menjadi seperti rakan-rakan lain yang bersaiz model. Tinggi lampai. Jika tidak, tinggi 5'3" pun sudah memadai.

Wah. Nampaknya minah salleh ni memang sangat kecil dan comel. 

Detik saya dalam hati memandangkan saya tidak nampak mereka berdua yang berjalan di belakang saya.

Saya sendiri pun berketinggian 5'5". Boleh dikategorikan sebagai wanita yang tinggi jika berada di Malaysia. Tetapi jika di sini, saya termasuk dalam kalangan wanita bersaiz sederhana atau sebenarnya di bawah tahap ketinggian normal. Boleh masuk dalam kategori kecil jugalah. 

Yalah. Mat salleh besar-besar dan tinggi-tinggi saiz mereka. Jadi saya agak memahami luahan hati minah salleh tadi.

Mat salleh, teman kepada minah salleh tadi juga menyuarakan keinginannya untuk mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 6'. Mereka berdua ni memang kecil-kecil rupanya. Itu jika dibandingkan dengan ketinggian masyarakat mereka. Kalau di Malaysia, mereka pasti tidak akan mengomel omongan-omongan seperti ini. Pasti gembira sahaja berjalan dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersaiz comel-comel dan genit-genit.

Ketidakpuasan hati mereka tidak terhenti di situ. Minah salleh ini menyambung cerita bagaimana pada tahun pertama pengajian dia memilih untuk memakai stilettos ke kelas. Semata-mata untuk kelihatan lebih tinggi dan ranggi. 

Seminggu berkasut tumit tinggi, dia terpaksa mengangkat bendera putih. Terlalu jerih baginya untuk istiqamah dengan kasut sedemikian. Tidak sanggup katanya menaiki dan menuruni bas dengan kasut yang cantik bergaya tetapi membunuh kaki itu. Akhirnya dia membuat pilihan bijak dengan memilih sneakers sebagai kasut rasminya untuk ke universiti.


Stilettos yang cukup mengancam! Credit


Bahkan, minah salleh ini menambah lagi bahawa kini dia sudah tidak lagi  peduli untuk berpakaian ranggi, bersolek tebal seinci dan berdandan rambut berjam-jam semata-mata untuk ke kelas. Sudah dia berhenti melakukannya setelah sebulan berada di kampus pada tahun pertama pengajian. Bukan ada orang memandang, bukan juga ada yang peduli katanya. Dia kini lebih selesa dengan gaya rambut biasa-biasa, berbaju ringkas dengan sepasang jeans dan tiada solekan.

Ketawa kecil keluar dari mulut mat salleh mendengarkan kata-kata minah salleh tadi. Dia mengiyakan kata-kata temannya. Dia sendiri merasakan agak lucu dan kelakar apabila melihatkan pelajar-pelajar terutamanya pelajar perempuan tahun pertama yang baru memulakan sesi pengajian. Kelakar melihatkan gelagat mereka yang terlajak berhias dan tergedik-gedik cuba menarik perhatian orang lain. Minah salleh tadi juga bersetuju dengan kenyataan temannya. Dia sendiri kadang-kadang tidak faham apa tujuan mereka berperlakuan sedemikian.

Inilah antara intipati perbualan mereka yang saya dengar dengan TIDAK SENGAJA. Sangat menarik mendengar luahan hati mereka. Tetapi saya kemudiannya terfikir. Betapa manusia ini sememangnya makhluk yang tidak pernah bersyukur. Sering tidak berpuas hati dengan apa yang mereka ada. Sering merungut dengan apa yang mereka tidak miliki. Sering membanding-bandingkan kekurangan diri dan dengki dengan kelebihan yang ada pada orang lain.

Jika mat salleh dan minah salleh tadi mempunyai agama, pasti mereka tidak akan merungut dan mengeluh sedemikian. Mereka pasti bersyukur dengan nikmat kehidupan yang mereka miliki sekarang. Mereka sudah diciptakan Allah dengan cukup sifat. Cukup anggota dan sihat tubuh badan. Cukup sempurna sekali

Apa lagi nikmat yang mereka inginkan?

Bayangkan orang yang cacat anggotanya dan tidak mempunyai kaki. Ketinggian sudah tidak lagi menjadi perkara utama. Cukup sudah bagi mereka jika mempunyai sepasang kaki yang boleh membawa mereka berjalan menjelajah bumi Tuhan yang luas ini.

Cukup sudah jika mereka dapat rasai bagaimana rasanya rumput dan pasir membelai kaki mereka.

Cukup sudah jika mereka dapat berlari girang dengan kurniaan sepasang kaki.

Tetapi itulah manusia. Tidak akan pernah menghargai apa yang ada disekeliling mereka sehinggalah mereka kehilangannya. Malah mereka ini tanpa segan silu merungut dengan segala pemberian dan nikmat kurniaan Allah.  

Ibaratnya, anda menghadiahkan sebuah hadiah kepada orang yang sangat anda sayangi, tetapi dia mengkritik pemberian anda dihadapan anda. Lebih buruk lagi apabila dia mengubah hadiah pemberian anda itu sesuka hatinya. Dihadapan anda pula tu.

Apakah agaknya reaksi anda?

Adakah anda akan berkecil hati?

Adakah anda akan terus mengamuk kemarahan?

Atau lebih ekstrim lagi, adakah anda akan merampas kembali hadiah pemberiaan anda itu?

Tepuk kepala tanya otak.

Begitu jugalah dengan Allah. Sudah dihadiahkan dan dikurniakan dengan sebaik-baik nikmat pada hambaNya yang sangat dikasihi. Tetapi hambaNya pula menyombong dan bersikap angkuh dengan merungut dengan segala pemberianNya. Malah mengubah pula ciptaanNya yang cukup teliti lagi sempurna itu.

Alah, kenapa lah aku ni pendek sangat. 

Alah, kenapa lah aku ni montel sangat.

Alah, kenapa lah hidung aku ni penyet sangat.

Alah dan alah. Kenapa dan kenapa. Rungutan dan rengekan yang tidak pernah sudah.

Dah ada kaki, tangan, hidung, mulut, telinga dan semua anggota lain pun dah cukup. Macam mana jika Allah tak bagi? Apa yang boleh anda katakan?

Dan sudah pasti Allah boleh murka dan menuntut kembali kurniaanNya kalau kita ni banyak songeh sangat, bukan?

Allah menciptakan setiap daripada kita dengan cukup unik. Dengan rupa yang tersendiri. Dengan identiti tersendiri. Tidak ada seorang pun di dunia ini yang mempunyai cap jari yang sama. Malah jika kembar seiras sekali pun, pasti ada titik perbezaan yang membezakan rupa paras mereka.  

Maka, mengapa kita masih membanding-bandingkan diri kita dengan apa yang dimiliki oleh orang lain? Tidak syukurkah kita?

Kerana itu Allah sudah menyatakan dalam kitabNya perangai manusia yang memang tidak tahu bersyukur ini.


Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya serta meniupkan padanya Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (supaya kamu bersyukur) tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.
(As-Sajdah, 32:9)



Lihat, Allah sangat arif dengan ciptaanNya sampai Dia sangat arif dan tahu bahawa manusia ini memang sedikit sekali yang bersyukur. 

Allah.

Jadi adakah anda dan termasuk diri saya sendiri tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang kerek dan muka tembok tidak tahu malu berbangga dengan pemberian Allah dan kemudiannya mengaku hak milik sendiri? 

Bahkan tidak tahu untuk berterima kasih kepada Sang Pemberi?

Semoga kita dijauhkan daripada termasuk dalam golongan yang sedemikian. 

Dengan kesempurnaan yang dimiliki, maka sudah sewajibnya ia digunakan sebaik mungkin sebagai tanda syukur kepadaNya. Dengan mendekatkan lagi diri kepadaNya.

Maka hargailah apa yang anda miliki. Syukurilah nikmatNya. Dan jangan pernah diungkit perbezaan, kelebihan dan kekurangan yang ada.  

Jom raikan hari berhenti merungut sedunia! 

  



2 comments:

  1. Yeap. Kekadang selalu rasa diri ni macam tak cukup lagi. Padahal Allah dah bagi segalanya yg cukup utk kita. Antara sedar atau tidak je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dan Allah juga pemilik segala-galanya. Kita ni peminjam je. Jadi kita tak bolehlah merungut atau guna sesuka hati barang orang lain. Sebab suatu hari Dia akan minta balik barang pemberianNya. =)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...