Pages

July 18, 2014

Hanya Kau Yang Pertama Bagiku


Credit


Grrrr. Grrrr. Telefon bimbit di atas riba Alwani bergetar. Terganggu seketika tumpuannya pada Dr Stuart yang sedang memberi tutorial mengenai ECG di hadapan. Matanya teralih pada mesej yang baru masuk.

Salam. Apa khabar iman semua? Dan semoga sentiasa dalam peliharaan Allah. =) Akak just nak remind homework hari tu. Hehe. Harap semua boleh habiskan Usul 20 time cuti ni ye. Dan sharelah nota masing-masing nanti. ;) p/s: homesick =(

Alwani tersenyum membaca mesej akak naqibahnya di Watsapp group usrah.

"Haih. Orang lain je yang cuti. Aku ni masih tersangkut kat hospital nih." Alwani bermonolog sendirian.

Dipandang sekali lagi mesej tadi. Matanya tertancap pada perkataan 'homesick'. 

Tiba-tiba hatinya sayu. Sedih mengenangkan dirinya yang sedang berpuasa dan bakal beraya di negeri orang tahun ini. Buat pertama kalinya. Bersendirian pula. Sedang teman-teman serumahnya yang lain sedang bercuti di Malaysia selama sebulan lebih. Cuti musim sejuk. Sempat mereka berpuasa sebulan malah masih sempat beraya di tanah air tahun ini. Kebetulan raya tahun ini jatuh dalam cuti musim sejuk. Hanya pelajar perubatan sepertinya sahaja yang cutinya tidak sama seperti yang lain.

Kata-kata Dr Stuart di hadapan sudah tengggelam dalam lautan perasaan yang bercampur-baur. Rindu pada keluarga semakin menggamit. Lebih-lebih lagi kurang dua minggu lagi raya akan menjelang.

Sebelum ini, pernah Alwani menyatakan hasrat untuk beraya di tanah air tahun ini pada ibu-bapanya. Tetapi permintaannya itu ditolak memandangkan dia perlu memohon cuti dengan pihak universiti yang mana cuti itu mungkin akan mengganggu pelajarannya. Serta cuti yang akan diberi oleh pihak universiti hanyalah 5 hari bekerja.

"Bukan mak dengan ayah tak nak bagi balik tapi buat penat badan je kalau balik. Bukannya dekat. Cuti pun tak lama. Nak kena naik jumpa Dekan lagi nak minta cuti. Mak tak nak Alwani susah. Tu je. Bukan tak nak bagi balik." Ibunya pernah memujuk.

Akhirnya setelah dipujuk beberapa kali oleh ibu bapanya, Alwani mengalah. Dibatalkan hasratnya untuk pulang. Ada benar juga kata ibu bapanya. Memang memenatkan badan kalau balik. Kerana perjalanan pulang sahaja boleh memakan masa dua hari untuk sampai ke kampungnya. Nak berjumpa Dekan universiti lagi untuk memohon cuti. Renyah dan menyusahkan.

Tapi hari ini, hatinya berbolak-balik. 

Betul ke aku tak nak balik ni. Macam sedih sangat je kalau tak balik ni. Raya sorang-sorang.

Ke, balik je lah. Tak yah bagitau mak dan ayah. Balik senyap-senyap. Hatinya membisikkan idea baru.

Pantas telefon bimbit di tangan dibuka dan aplikasi carian tiket murah di talian ditekan. 

"Boleh tahan jugak harga tiket ni. Mahal sikit. Tapi boleh lagi kalau nak balik ni."Alwani berkira-kira. 

Hatinya sudah hampir membulatkan tekad untuk pulang beraya di kampung. 

Tetapi tiba-tiba dia teringatkan satu program umum yang dirancang untuk dijalankan bersama teman-teman seusrahnya seminggu selepas hari raya. Setelah mereka semua kembali apabila cuti musim sejuk tamat. 

Alamak, bertindan dengan program la pulak kalau balik. Hati Alwani merungut.

Dia serba salah. Nak mengikut kata hati atau mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Kalau ikut hati memang dia nak balik. Tapi mengingatkan komitmen yang diberi untuk event yang bakal diadakan malah kepercayaan teman-teman seusrah yang lain, dia ragu-ragu.

Homesick jugak. Dah start survey tiket dah. Possible je balik Malaysia untuk raya tahun ni. Huhu.  =(

Alwani membalas mesej Watsapp group usrahnya. 

Dia berharap ada ahli usrahnya yang akan memujuk. Jika tidak pun, sekadar memberi simpati. Itu juga sudah cukup baginya.

*****

Belakang Alwani sakit-sakit. Kakinya juga sudah lenguh-lenguh. Sakit dan lenguh setelah berdiri lebih empat jam kerana membantu satu pembedahan. Dia sendiri yang mencari penyakit. Ditawarkan diri untuk berada dalam salah satu pembedahan membaiki abdominal aortic anerysm (AAA) hari itu. Tetapi malangnya, terdapat komplikasi ketika pembedahan menyebabkan ia terpaksa dilanjutkan.

Sampai sahaja di rumah Alwani terus melabuhkan punggung di kerusi dapur. Sambil mengurut-ngurut betisnya yang lenguh, matanya menatap skrin telefon bimbit. Ditekan butang Watsapp group usrahnya. 

Sampai hati diaorang. Ignore je apa aku cakap. Terus cakap pasal program yang nak buat tu. Takde lah nak berbasa-basi ke. Ke memang dia orang tak pernah suka aku pun. Sebab macam selalu je macam ni. Selalu kena ignore. Hati kecil Alwani berbisik. Agak terguris dengan perlakuan ahli usrahnya.

Bukanlah Alwani inginkan begitu banyak perhatian. Tetapi dia sering rasakan bahawa dia sahaja yang sering berusaha untuk mengembirakan yang lain. Dia yang sering terpaksa berkorban. Dia yang sering terpaksa menelan dan menahan perasaan. Sedangkan yang lain kadang-kadang boleh buat tidak tahu. Malah buat muka lagi. Itu kadang-kadang membuatkan Alwani terasa seperti bertepuk sebelah tangan.

Alwani malas ambil pusing perbualan ahli usrahnya yang lain di Watsapp group. Terus didial nombor ibunya.

Gembira bukan kepalang dia mendengar suara ibunya. Mereka berbual panjang. Lamanya sehingga lebih satu jam mereka di telefon. Bertanya khabar sambil bergurau-senda.

Segala masalah dicurahkan kepada ibunya. Segala apa yang terjadi di hospital diceritakan pada ibunya. Segala yang berlaku dalam hidupnya hari itu dikongsikan dengan ibunya. Semuanya tanpa ada rahsia. Hubungannya dengan ibunya sejak dari dahulu begitu. Mereka cukup rapat sehinggkan jika ditanya siapa sahabat karib, Alwani tanpa ragu-ragu menjawab sahabat karibnya adalah ibunya sendiri.

Alwani gembira setelah bercerita dengan ibunya. Senyumannya kembali terukir di bibir.

Tetapi walaubagaimana dia tersenyum sekalipun, dia tidak dapat menipu diri sendiri. Hatinya masih ada rasa kurang senang, tidak tenang dan bercelaru.

Alwani tidak tahu mengapa. Hatinya masih ada rasa tidak puas hati. Masih ada rasa jengkel. Masih ada rasa yang menghimpit. Dadanya rasa sesak dengan semua perasaan ini. Tetapi dia buntu. Buntu mencari jalan penyelesaiannya.

*****

Usai solat isyak, tangan Alwani mencapai al-quran tafsir di atas meja. Dibacanya satu muka sebelum mentadabbur ayat-ayatnya. 

Sampai pada satu ayat, dia berhenti. Ditatap lama ayat itu. Kemudian dibaca ayat itu sekali lagi. Ayat ini cukup menyentuh sanubarinya. Tiba-tiba air matanya bergenang. Sebak mula menguasai diri dan tidak semena-mena setitis air matanya gugur. Tetapi, dibiarkan sahaja air mata itu tidak diseka.  

Matanya masih tidak berganjak daripada ayat tadi. Dibaca lagi ayat itu berulang kali dan dimaknai bait-baitnya. Hatinya terasa cukup basah dengan ayat yang dibaca sehinggakan pipinya juga turut mula dibasahi dengan air mata dan disusuli dengan esakan kecil.


Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan, dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim menjadi kesayanganNya.
(An-Nisa', 4;125)


Allah. Zalimnya aku selama ni. Jahilnya aku. 

Agama aku rupanya masih ada lompang yang perlu diperbaiki. Dalam sedar atau tak aku masih tidak ikhlas dalam amalku untukMu.  Aku masih buat sesuatu kerana mencari redha makhluk marhaenMu. Sedangkan yang aku patut utamakan adalah redhaMu. 

Tak kiralah apa reaksi manusia lain dengan kebaikan yang dihulurkan. Mereka menerima atau tidak. Mereka menyukai atau tidak. Itu sepatutnya aku tolak tepi. Kerana segala kebaikan yang aku lakukan hanyalah keranaMu. Kerana apa aku ikut tarbiyah semua kalau bukan keranaMu.

Tapi seolah-olahnya sekarang aku lakukan semua ini bukan keranaMu. Aku masih tidak ikhlas. Aku masih berkira dan tidak berlapang dada. 

Aku masih mengharap perhatian makhlukMu sedangkan 24 jam tanpa henti Kau memberi perhatian padaku. 

Aku masih mengharap sekelumit balasan daripada makhlukMu sedang Kau sudah memberi pelbagai bentuk nikmat yang tidak terkira padaku. 

Aku masih belum betul-betul berserah diri padaMu apabila aku mencari keluargaku untuk meluahkan perasaan dan masalah sedang Engkaulah yang Maha Mendengar dan sentiasa dekat denganku.

Aku masih merindui keluargaku lebih daripada rasa rindu untuk berjumpa denganMu di akhirat sedangkan Kau setiap detik merindui dan menanti hambaMu kembali padaMu.

Dan aku masih meletakkan Engkau di tangga kedua dalam hidupku tanpa aku sedar sedangkan Engkau tidak pernah sesekali melupakan aku.

Allahu.
Patutlah hatiku selalu tak tenang. Patutlah aku resah. Kerana walaupun aku dalam tarbiyah, hatiku masih ada karat-karat jahiliyyah tanpa aku sedar. Karat-karat halus yang aku sendiri tidak nampak. 

Mungkin aku sudah jauh dari maksiat dan jahiliyyah yang besar. Tapi rupanya hati aku masih tidak terlepas. Masih banyak perlu aku lakukan untuk mencungkil dan membuang semua karat-karat ini, ya Allah.

Allah ampunkan aku diatas kealpaanku.

Ampunkan aku di atas kekhilafanku.

Kini aku kembali sedar. Sedar sekali lagi dengan rahmat kasih sayang dan petunjukMu.

Dan kini aku berjanji.

Berjanji hanya Kau yang pertama bagiku.







 

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...